Bahagia Allah bersama kita

Thursday, May 29, 2014

Kunci kepada Keamanan dunia, Hudud? Ta'zir?



Hudud
Pengertian hudud: hukuman yang telah ditetapkan kadarnya oleh syara’. Hukuman ini tidak boleh ditambah atau dikurangkan atas nama hukum hudud. Antara hukuman hudud yang telah ditetapkan dalam Islam ialah zina, tuduhan zina, mencuri, minum minuman yang memabukkan , merompak  dan murtad[1].
Jenayah hudud ialah jenayah yang boleh mengancam keselamatan awam, kehormatan manusia, nyawa, harta, akal dan agama. Oleh sebab besar kesan buruk jenayah ini kepada masyarakat , maka Allah mengkategorikan jenayah ini sebagai jenayah menceroboh hak Allah dan hukuman keseksaan yang dikenakan adalah berat[2].
Tambahan lagi, pelaksanaan hukum hudud hanya boleh dilaksanakan oleh pemerintah atau wakil yang dilantiknya. Hukuman ini tidak boleh dilaksanakan oleh orang lain selain daripada yng disebutkan ini. Cuma dikecualikan bagi hamba lelaki atau hamba perempuan , hukuman hudud berhak dilaksanakan oleh tuan kepada hamba tersebut[3]
Tambahan lagi, hukuman hudud adalah hak milik Allah yang telah ditentukan dan ditetapkan hukumannya di atas kesalahan-kesalahan yang melibatkan hak Allah atau yang merosakkan kepentingan masyarakat umum dan ketenteraman orang ramai. Hukuman hudud juga tidak boleh dimaafkan oleh sesiapa pun kerana hukuman hudud itu adalah hak Allah. 41. Sebagaimana dalam firman Allah yang bermaksud:
“Talak (yang boleh dirujuk kembali itu hanya) dua kali. sesudah itu bolehlah ia (rujuk dan) memegang terus (isterinya itu) Dengan cara Yang sepatutnya atau melepaskan (menceraikannya) Dengan cara Yang baik dan tidaklah halal bagi kamu mengambil balik sesuatu dari apa Yang telah kamu berikan kepada mereka (isteri-isteri Yang diceraikan itu) kecuali jika keduanya (suami isteri takut tidak dapat menegakkan aturan-aturan hukum Allah. oleh itu kalau kamu khuatir Bahawa kedua-duanya tidak dapat menegakkan aturan-aturan hukum Allah, maka tidaklah mereka berdosa - mengenai bayaran (tebus talak) Yang diberikan oleh isteri untuk menebus dirinya (dan mengenai pengambilan suami akan bayaran itu). itulah aturan-aturan hukum Allah maka janganlah kamu melanggarnya; dan sesiapa Yang melanggar aturan-aturan hukum Allah, maka mereka itulah orang-orang Yang zalim[4].”
Hudud juga ditetapkan sebagai suatu hukuman pencegahan supaya manusia tidak melakukan perbuatan yang disukai tabiat manusia dengan cara yang tidak dibenarkan syara’.
Hukuman keseksaan yang ditetapkan oleh Islam dalam jenayah hudud bertujuan untuk menjaga hak-hak kepentingan masyarakat dan individu serta melindungi mereka daripada pencerobohan terhadap harta , kehormatan, akal, nyawa mereka dan sebagainya.[5]
Di samping itu juga bertujuan untuk mendisiplinkan masyarakat supaya hidup dalam keamanan dan penuh timbang rasa terhadap orang lain serta membina kemesraan hubungan antara satu sama lain. Hukuman keseksaan ini dapat mengajar dan mendidik masyarakat supaya mematuhi undang-undang dan bagi penjenayah dapat membersihkan diri daripada kesalahan di dunia dan akhirat[6].
Hukuman Hudud
Hukuman hudud yang boleh di dakwa di bawah kesalahan yang dikatakan hukuman hudud ke atas mereka yang melakukan kesalahan itu telah ditetapkan dan ditentukan oleh Allah s.w.t  dan Rasul-Nya adalah tertakluk kepada tujuh kesalahan ini sahaja[7]. Berikut ialah:
1.      Jenayah zina
Berzina iaitu melakukan persetubuhan tanpa nikah yang sah mengikut hukum syara’. Hukumannya ialah disebat sebanyak seratus kali sebatan. Firman Allah:
“ Perempuan Yang berzina dan lelaki Yang berzina, hendaklah kamu sebat tiap-tiap seorang dari keduanya seratus kali sebat; dan janganlah kamu dipengaruhi oleh perasaan belas kasihan terhadap keduanya Dalam menjalankan hukum ugama Allah, jika benar kamu beriman kepada Allah dan hari akhirat; dan hendaklah disaksikan hukuman seksa Yang dikenakan kepada mereka itu oleh sekumpulan dari orang-orang Yang beriman.”[8]
2.      Menuduh orang berzina (qazf)
Qazf iaitu tuduhan zina ke atas orang yang baik lagi suci atau menafikan keturunannya dan tuduhan itu tidak dapat dibuktikan dengan empat orang saksi yang adil. Hukumannya ialah disebat sebanyak lapan puluh kali sebatan. Sebagaiman dalam firman Allah yang bermaksud:
Dan orang-orang Yang melemparkan tuduhan (zina) kepada perempuan Yang terpelihara kehormatannya, kemudian mereka tidak membawakan empat orang saksi, maka sebatlah mereka delapan puluh kali sebat; dan janganlah kamu menerima persaksian mereka itu selama-lamanya; kerana mereka adalah orang-orang Yang fasik.[9]

3.      Minum arak atau minuman yang memabukkan sama ada sedikit atau banyak, mabuk atau tidak. Hukumannya ialah disebat tidak lebih dari lapan puluh kali sebatan dan tidak kurang empat puluh kali sebatan. Hukuman ini adalah berdalilkan hadis Rasulullah s.a.w yang diriwayatkan oleh Ali bin Abi Talib r.a yang bermaksud :

“Rasulullah s.a.w telah menyebat (orang yang minum arak) sebanyak empat puluh kali sebatan, dan sayydina Abu Bakar telah menyebat empat puluh kali sebatan juga dan sayydina umar menyebat sebanyak lapan puluh kali sebatan. Semua adalah sunnah Rasulullah. Dan ini lebih aku sukai ( empat puluh sebatan)[10]

4.      Mencuri: iaitu memindahkan secara bersembunyi harta alih dari jagaan atau milikan tuannya tanpa persetujuan tuannya dengan niat untuk menghilangkan harta itu dari jagaan atau milikan tuannya. Hukumannya ialah dipotong tangan si pencuri . Sebagaimana dalam Firman Allah yang bermaksud:
“ lelaki yang mencuri dan orang perempuan yang mencuri , maka hukumnya potonglah tangan mereka sebagai satu balasan dengan apa yang telah mereka usahakan.”[11]

5.      Murtad iaitu orang yang keluar dari agama Islam sama ada dengan perbuatan atau dengan perkataan atau dengan I’tiqad kepercayaan. Hukumannya ialah dibunuh, sama ada lelaki atau perempuan, tua atau muda tanpa perbezaan. Sabda Rasulullah s.a.w dalam hadith yang diriwayatkan daripada Ibnu Abbas r.a yang bermaksud:
“ sesiapa yang menukar agamanya (murtad) maka bunuhlah dia[12]

6.      Merompak (hirabah) iaitu keluar seorang atau berkumpulan dengan senjata yang bertujuan untuk mengambil harta atau membunuh atau menakut-nakutkan atau mengugut dengan cara kekerasan. Hukuman adalah seperti berikut:
·         Hukuman mati : perompak yang telah membunuh orang yang dirompaknya tanpa mengambil harta atau barangan orang yang dirompak dan yang dibunuhnya.
·         Hukuman mati di kayu palang: perompak yang telah membunuh dan mengambil harta atau barangan orang yang dibunuhnya atau harta orang lain.
·         Hukuman potong tangan dan kaki kiri : perompak yang hanya mengambil harta atau barangan orang yang dirompaknya tanpa membunuh dan mencederakannya.
·         Hukuman buang negeri : perompak yang hanya menakut-nakutkan orang sahaja di jalan-jalan.  Hukuman-hukuman ke atas perompak .


Sebagaimana firman Allah:   
Hanyasanya balasan orang-orang Yang memerangi Allah dan RasulNya serta melakukan bencana kerosakan di muka bumi ialah Dengan dibalas bunuh (kalau mereka membunuh sahaja Dengan tidak merampas), atau dipalang (kalau mereka membunuh dan merampas), atau dipotong tangan dan kaki mereka bersilang (kalau mereka merampas sahaja), atau dibuang negeri (kalau mereka hanya mengganggu ketenteraman umum). hukuman Yang demikian itu adalah suatu kehinaan di dunia bagi mereka, dan di akhirat kelak mereka beroleh azab seksa Yang amat besar. Kecuali orang-orang Yang bertaubat sebelum kamu dapat menangkapnya, (Mereka terlepas dari hukuman itu). maka ketahuilah, bahawasanya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”[13]

7.      Pemberontakkan (bughat) iaitu segolongan ummat Islam yang melawan dan menderhaka kepada ulil amri iaitu pemimpin /kerajaan yang adil yang menjalankan hokum-hukum syariat Islam (hukum Allah yang disebut di dalam al-Quran dan Hadith). Orang-orang Islam yang menentang dan menderhaka kepada pemimpin tidak terkeluar daripada Islam( murtad) tetapi masih dalam agama Islam. Allah Taala menyifatkan penderhaka ini sebagai orang Islam dan mereka boleh diperangi. Sebagaimana dalam firman Allah:

Dan jika dua puak dari orang-orang Yang beriman berperang, maka damaikanlah di antara keduanya; jika salah satunya berlaku zalim terhadap Yang lain, maka lawanlah puak Yang zalim itu sehingga ia kembali mematuhi perintah Allah; jika ia kembali patuh maka damaikanlah di antara keduanya Dengan adil (menurut hukum Allah), serta berlaku adillah kamu (dalam Segala perkara); Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang Yang berlaku adil.”[14]

Pensabitan jenayah Hudud
Ketujuh-tujuh jenis jenayah yang dijelaskan di atas iadalah jenayah besar yang melibatkan ketenteraman awam, harta, nyawa, kehormatan diri, agama dan akal. Justeru itu, untuk mensabitkan kesalahan jenayah ini memerlukan prosedur yang ketat kerana hukuman yang akan dikenakan kepada penjenayah amat berat jika telah disabitkan kesalahannya dan jika ada sedikit keraguan atau kesamaran yang timbul , maka hukuman keseksaan tidak dapat dilaksanakan kerana sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud [15]:
“ Tolaklah hukuman hudud jika ada keraguan[16]
Pensabitan jenayah hudud dapat dibuktikan dengan perkara-perkara berikut:
Peyaksian
Penyaksian bermaksud menyampaikan penyaksian untuk mensabitkan sesuatu hak dalam dalam majlis perbicaraan rasmi ia juga satu cara untuk mensabitkan jenayah hudud.
Jenayah zina dapat disabitkan dengan penyaksian.  Bilangan saksi yang diperlukan ialah empat orang lelaki mukallaf yang adil menjelaskan dengan betul tentang perlakuan jenayah yang disaksikannya dan kenyataan mereka seragam dan tidak bercanggah. Namun dibolehkan  sama ada dilakukan secara serentak atau berasingan mengikut mazhab Syafie. Manakala Abu Hanifah dan Malik mesti dilakukan serentak. Jika penyaksian itu berlaku , maka jenayah zina dapat disabitkan[17].
Jenayah qazf juga dapat disabitkan dengan penyaksian. Bilangannya dua orang saksi lelaki yang mukallaf dan adil serta penyaksian mereka hendaklah jelas untuk mensabitkan berlakunya jenayah berkenaan. Penyaksian jenayah qazf juga ada beberapa syarat sama dengan penyaksian jenayah zina kecuali bilangannya berbeza iaitu dua orang saksi lelaki yang adil[18].
Jenayah minum arak juga dapat disabitkan dengan penyaksian . Bilangan saksi yang diperlukan ialah dua orang lelaki mukallaf yang adil. Penyaksian mereka seragam dan tidak bercanggah[19].
Jenayah mencuri juga dapat disabitkan dengan penyaksian. Bilangan ialah dua lelaki mukallaf yang adil mengikut jumhur ulama’ atau seorang lelaki yang mukallaf yang adil dan dua orang perempuan mukallaf atau lebih yang adil mengikut ulama’ zahiri[20].
Pengakuan
Pengakuan maksudnya menyatakan sesuatu dengan benar tentang tindakan atau hak terhadap diri seseorang. Pengakuan penjenayah merupakan kenyataan yang paling kuat untuk mensabitkan jenayah hudud. Pengakuan jenayah zina dikehendaki mengulang sebanyak empat kali mengikut pendapat Abu Hanifah dan Imam Ahmad. Ini berdasarkan pengakuan Muaz yang membuat pengakuan sebanyak empat kali di hadapan Rasulullah s.a.w untuk mensabitkan kesalahanya. Imam malik dan syafie berpendapat memadai dengan pengakuan sekali sahaja. Pengakuan adalah penting untuk mensabitkan jenayah dan jika yakin dengan pengakuan itu, sekali pengakuan sudah memadai[21].
Pengakuan itu tidak semestinya di hadapan pasangan. Jika perempuan menafikan dia terbabit dengan zina , maka dalam kes ini lelaki tersebut dikenakan hukuman dan perempuan dibebaskan mengikut mazhab syafie dan Hanbali. Mazhab Hanafi pula berpendapat , lelaki yang dinafikan itu juga tidak dikenakan hukuman kerana penafian yang dibuat oleh perempuan itu.Pengakuan jenayah mestilah jelas dan tiada sebarang keraguan. Dan dibuat di hadapan pihak berkuasa.
Jenayah qazf juga boleh disabitkan dengan pengakuan. Orang yang menuduh orang lain berzina dan membuat pengakuan terhadap tuduhan itu, disabitkan ke atasnya kesalahan jenayah qazf. Pengakuan itu mencukupi dengan sekali sahaja di hadapan pihak berkuasa , jika dilakukan pengakuan itu di tempat lain, memerlukan kepada saksi mengikut pendapat Abu Hanifah[22].
Jenayah arak juga boleh disabitkan dengan pengakuan . pengakuan itu mencukupi dengan sekali pengakuan sahaja mengikut pendapat jumhur ulama’. Abu Yusuf berpendapat pengakuan itu mestilah dua kali sebagaimana saksi memerlukan dua orang[23].
            Jenayah mencuri juga boleh disabitkan dengan pengakuan. Mengikut jumhur ulama’ pengakuan sekadar sekali sahaja manakala Abu yusuf berpendapat dua kali di hadapan pihak berkuasa. Menarik balik pengakuan sebelum pelaksanaan hukuman itu dijalankan boleh menghalang pelaksanaan hukuman itu kerana penarikan itu menimbulkan keraguan terhadap kesahihan pengakuannya yang pertama[24].
Demikian juga jenayah hirabah, dengan pengakuan boleh disabitkan kesalahan. Pengakuan jenayah hirabah sama dengan pengakuan jenayah mencuri. Pengakuan ini terang dan jelas tanpa sebarang keraguan dan dibuat di hadapan pihak berkuasa[25].
Qarinah
Bermaksud sesuatu yang diyakini ada kaitan secara langsung dengan sesuatu jenayah yang berlaku. Atau sesuatu yang dapat diambil kesimpulan daripadanya oleh qadi tentang berlakunya sesuatu jenayah itu[26].
Pada hakikatnya, dalam syariat ia hanya diambil kira sebagai satu saluran untuk mendapatkan kenyataan terhadap kesalahan jenayah ketika ketiadaan fakta-fakta lain.
Di dalam syariah , qarinah diambil kira sebagai satu alasan untuk mensabitkan jenayah hudud. Perempuan yang tidak bersuami sekiranya mengandung menjadi satu tanda berlaku jenayah zina . Bau arak di mulut seseorang sebagai tanda dia melakukan jenayah minum arak[27].
Qarinah ini boleh dijadikan sebahagian daripada alasan untuk mensabitkan sesuatu jenayah tetapi keadaanya tidak sekuat penyaksian dan pengakuan [28].
Maklumat hakim
 Hakim yang pernah menyaksikan jenayah hudud , contohnya zina, apakah dia boleh menjatuhkan hukuman ke atas penjenayah berdasarkan maklumatnya?
Mengikut pendapat ulama’ shafie bahawa , hakim tidak harus menjatuhkan hukuman berdasarkan maklumat yang ada padanya. Dia memerlukan kepada kenyataan saksi-saksi yang ditetapkan dalam nas sebelum dijatuhkan hukuman. Dalam sudut ini, hakim tidak ada beza dengan orang yang lain. Terdapat juga pandangan mazhab Hanafi dan Zahiri yang mengharuskan hakim menghukum berdasarkan kepada maklumat yang ada padanya. Alasan mereka ialah maklumat yang ada pada mereka seperti maklumat yang ada pada saksi , malah maklumatnya adalah lebih jelas kerana dia sendiri melihatnya[29].
Taubat dan hukuman hudud
Terdapat pelbagaihak yang berkaitan dengan manusia. Sebahagiannya adalah hak Allah semata-mata dan sebahagiannya pula adalah hak manusia semata-mata. Hak yang semata-mata hak Allah mungkin boleh digugurkan dengan taubat. Sementara hak yang semata-mata hak manusia tidak boleh digugurkan dengan taubat atau pengampunan terhadap penjenayah[30]. Berikut adalah keterangan mengenai hukuman yang boleh dan tidak boleh digugurkan dengan taubat[31].
Hukuman hudud yang boleh digugurkan dengan taubat.
1.      Hukuman hudud meninggalkan sembahyang .
Apabila pesalah benar-benar bertaubat , hukuman yang sepatutnya dikenakan akan diugurkan walaupun setelah dihadapkan kepada pemerintah. Ini kerana, hukuman ini dituntut berdasarkan kedegilan untuk terus meninggalkan sembahyang bukan berdasarkan perbuatan yang lalu.

2.      Hukuman hudud tuduh zina. Hukuman ini boleh digugurkan apabila pihak yang dituduh mengampunkan pesalah di hadapan mahkamah. Ini kerana , hukuman ini disyariatkan untuk manusia. Apabila pihak yang berhak menggugurkan haknya , hukuman itu dengan sendirinya digugurkan.

3.      Hukuman hudud hirabah . Hukuman ini digugurkan apabila pesalah yang terlibat bertaubat sebelum dihadapkan ke mahkamah. Walau bagaimanapun, pesalah masih tertakluk kepada hak-hak lain yang bersangkutan dengan hak manusia dan hak Allah seperti hukuman bunuh, curi, minum arak, merampas harta dan sebagainya[32].

Hukuman yang tidak boleh digugurkan dengan taubat.
Selain daripada hukuman yang dinyatakan di atas, terdapat hukuman lain yang tidak boleh digugurkan dengan taubat seperti hukuman curi, minum arak dan zina. Hukuman ini adalah berdasarkan dalil-dalil yang dinyatakan bersifat umum tanpa sebarang huraian dan pengecualian. Ini kerana dalam masalah ini ,hak Allah lebih diutamakan[33].
Apa yang dimaksudkan dengan taubat tidak akan menggugurkan hukuman ini ialah pelaksanakan hukuman ini di dunia di hadapan mahkamah wajib dilaksanakan. Namun, di antara pesalah dengan tuhannya , ia berbeza kerana taubat yang jujur akan menggugurkan semua kesan kesalahan tersebut pada hari kiamat[34].
Justeru, perbezaan antara hukuman di dunia dan di akhirat ialah hukuman kehakiman di dunia ini dilaksanakan bagi memberikan hak yang sama rata dan memelihara sistem serta institusi masyarakat.Oleh sebab itu, taubat tidak boleh mempengaruhi pelaksanaan hukuman ini. Sementara tanggungjawab dan dosa ukhrawi bagi maksiat yang dilakukan ia disebabkan kelalaian dalam melaksanakan hak  Allah SWT kerana tidak komited dengan larangan serta perintah-Nya . Oleh itu, taubat yang jujur akan menghapuskan segala dosa yang melibatkan hak Allah[35].
Namun di dalam Islam juga menggalakan agar merahsiakan sesuatu kesalahan dosa yang terlibat dengan hukuman jenayah di hadapan hakim. Sebaiknya bertaubat dan tidak mengulangi perbuatan tersebut. Walaubagaimanapun, Islam membenarkan pengakuan dosa dan akan dihapuskan dosa oleh Allah.[36]

Ta’zir
Pengertian ta’zir: hukuman yang tidak ditetapkan oleh syara’[37]. Hukuman ini dilaksanakan atau dijatuhkan berdasarkan pandangan pemerintah atau hakim yang beragama Islam dan adil.[38]
Jenayah ta’zir ialah tindakan atau tinggalan maksiat yang dilakukan oleh seseorang. Tindakan ini tidak ada ketetapan nas hukuman terhadapnya sama ada hukuman had atau qisas. Kesalahan-kesalahan ini boleh menimbulkan pencabulan terhadap ketenteraman awam dan individu. Kesalahan ta’zir ini termasuk perbuatan maksiat[39].
Terdapat juga kesalahan-kesalahan ta’zir ini yang di naskan di dalam al-Quran seperti kesalahan berjudi , rasuah, riba’ dan makan makanan haram. Namun, hukuman keseksaan di dunia tidak dinyatakan dan dijelaskan tetapi dinyatakan dalam bentuk pembalasan di akhirat. Justeru itu, ia dikategorikan sebagai kesalahan ta’zir yang hukumannya boleh ditentukan oleh oleh pihak berkuasa mengikut kesesuaiannya[40].
Termasuk dalam kesalahan ta’zir juga ialah kesalahan-kesalahan jenayah qisas atau hudud yang tidak boleh dikenakan hukuman asal disebabkan hukuman asalnya tidak mencukupi syarat-syarat yang ditetapkan. Contohnya kanak-kanak mencui boleh dikenakan hukuman ta’zir sebagai pengajaran[41].
Dimana hukuman yang dirasakan boleh mencegah manusia melakukan perbuatan keji ini. Hukuman ini boleh dikenakan dalam bentuk sebatan , buang negeri, penjara atau kecaman. Ia juga tiada tempoh tertentu yang ditetapkan bagi hukuman penjara. Malah pemerintah boleh memberi pengampunan jika perlu. Ta’zir juga sebagai ganti kepada hudud apabila hudud tidak dapat dilaksanakan kerana tiada hukuman yang ditetapkan oleh ajaran Islam[42].
Hukuman keseksaan ta’zir
Hukuman sebat
Hukuman sebat ialah hukuman keseksaan yang ditetapkan ke atas penjenayah hudud , tetapi hukuman ini juga dilaksanakan ke atas kesalahan ta’zir.
Bagi hukuman ini, bilangan sebat tidak ditetapkan, tidak sebagaimana yang terdapat dalam jenayah hudud. Abu Hanifah dan Muhammad berpendapat bahawa bilangan sebat bagi kesalahaan ta’zir ialah 39 kali. Shafii seberpendapat dengan Abu Hanifah , sedangkan Abu Yusuf pula berpendapat bahawa bilangan sebat ialah sebanyak 75 kali[43].
Perbezaan pendapat ulama’ dalam menentukan kadar hukuman sebat ini adalah disebabkan terdapat beberapa hadith yang berkaitan dengannya.
Ada pendapat lain daripada kalangan mazhab Shafie yang berpendapat bahawa sebat boleh melebihi 75 kali tetapi tidak melebihi 100 kali. Kadar ini diambil daripada asas hukuman had zina dan had qazf . Justeru, cara perlaksanaan hukuman sebat ta’zir adalah sama sebagaimana perlaksanaan hukuman sebat yang terdapat dalam jenayah-jenayah hudud[44].
Hukuman Tahanan
Hukuman tahanan adalah satu jenis hukuman keseksaan bagi kesalahan ta’zir. Masa yang ditentukan dalam tahanan itu adalah berbagai-bagai. Ada yang berpendapat bahawa hukuman tahanan yang paling ringan ialah satu hari , tiada kesepakatan ulama’ dalam penentuan hukuman tahanan yang paling lama[45]
Ada yang berpendapat bagi hukuman tahanan yang maksimum ialah tidak melebihi enam bulan. Ada juga berpendapat tidak melebihi satu tahun dan ada pendapat lain menyerahkan ketetapan kadar masa kepada pihak berkuasa. Mazhab Syafie pula menetapkan masa tahanan tidak melebihi setahun , diqiyaskan kepada masa di buang kawasan terhadap penjenayah zina[46].
Hukuman buang kawasan
Hukuman buang kawasan pada asalnya ialah hukuman terhadap jenayah zina. Dalam kesalahan Ta’zir , hukuman ini dikenakan apabila kesalahan itu menjadi amalan kebiasaan dalam kehidupan.
Imam shafie dan Ahmad b. Hambal berpendapat kadar masa hukuman buang kawasan terhadap penjenayah hendaklah tidak melebihi satu tahun. Ini berasaskan kepada masa buang kawasan bagi hukuman had adalah selama satu tahun, maka bagi kesalahan ta’zir kadar masanya sudah tentu lebih ringan . Abu Hanifah dan Malik berpendapat bahawa had masa buang kawasan boleh melebihi satu tahun kerana hukuman ini bukan hukuman had tetapi hukuman ta’zir.
Ada juga pendapat lain yang tidak menetapkan had masa bagi buang kawasan , yang mana ia bergantung kepada baiki dirinya , maka dia dibebaskan. Buang kawasan bagi jenayah ta’zir tidak semestinya dibataskan di kawasan tertentu dan ia mencukupi sekadar dihadkan kebebasannya dengan pemerhatian pihak berkuasa . Rasulullah s.a.w pernah membuang kawasan orang yang menyerupi dirinya perempuan supaya ia keluar dari Madinah.
Hukuman Nasihat
 Nasihat dalam kesalahan ta’zir dikira sebagai satu hukuman.Hakim boleh mengenakan hukuman nasihat sahaja untuk membaiki tabiat tidak baik terhadap pesalah. Dalam kehidupan berkeluarga jelas sekali disebut oleh nas tentang hukuman ini[47].

Hukuman mengasingkan pesalah
Kesalahan ta’zir boleh dikenakan hukuman pengasingan pesalah daripada bercampur dengan masyarakat. Rasulullah s.a.w pernah mengenakan hukuman pengasingan ini kepada tiga orang yang tidak menyertai peperangan Tabuk[48].
Hukuman Cercaan
Antara hukuman keseksaan dalam jenayah ta’zir ialah menggunakan kata-kata yang memburukkan . Qadi memadai dengan menghukum pesalah dengan kata-kata yang boleh menyedarkan pesalah terhadap perbuatan buruknya[49].
Hukuman ancaman
Kata-kata ancaman dan tindakan yang menunjukkan ancaman juga dikira sebagai hukuman kesalahan ta’zir. Tetapi kata-kata ancaman itu hendaklah tiada unsur pembohongan. Antara hukuman ancaman yang boleh dilakukan oleh Hakim ialah dengan memberi amaran sekiranya mereka mengulangi perbuatan jenayah tersebut, maka mereka akan dikenakan hukuman lebih berat seperti ditahan dan sebagainya[50].
Hukuman pengisytiharan
Pengisytiharaan secara terbuka dikira sebagai satu jenis hukuman terhadap kesalahan ta’zir. Hukuman pengisytiharan dilakukan kepada masayrakat umum terhadap kesalahan penjenayah yang bertujuan untuk mengelakkan kepercayaan umum terhadap penjenayah. Hukuman ini biasanya bagi kesalahan yang melibatkan penyaksian palsu dan penipuan[51].
Hukuman pembayaran ganti rugi
Terdapat hukuman kesalahan ta’zir dengan pembayaran ganti rugi. Hukuman ini dijadikan sebagai hukuman umum bagi kesalahan-kesalahan ringan . Misalnya kesalahan mencuri buah di pokok, boleh dikenakan hukuman ganti rugi dua kali ganda daripada harga barang yang dicuri[52].
Hukuman bunuh
Hukuman keseksaan bunuh selalunya dikenakan kepada penjenayah yang melakukan jenayah yang besar seperti jenayah hudud dan qisas. Sungguhpun begitu, hukuman bunuh juga kita dapati dalam kesalahan jenayah liwat yang berterusan dan pembunuhan yang tidak boleh dikenakan hukuman qisas mengikut pendapat mazhab Hanafi. Manakala Malik dan Shafie pula berpendapat bahawa hukuman bunuh boleh dikenakan dalam kesalahan tertentu seperti menjadi pengintip bagi pihak musuh, mengajar ilmu yang membawa kekufuran dan tindak-tanduk yang boleh memecahkan kesatuan dan perpaduan ummah[53].






Sa’id b. Ibrahim. 2000. Pelaksanaaan hukuman hudud dalam perundangan Islam  berteraskan     Quran dan Hadith. Kuala Lumpur: Darul Ma’rifah.
Al-Khin, Mustafa Al-Bugha Mustafa & Al- Syarbaji, Ali. 2009. Al-Fiqh al-Man     Mazhab al-Syafie. Terj. Zulkifli Mohammad etl. Jilid 6. Bandar Baru Bangi: Darul Syakir enterprise. 
Sayid Sabiq. 1990. Fikih Sunnah. Terj.moh. Nabhah Husein. Jilid 9. Kuala Lumpur: Victory Agencie






[1] Al-Khin, Mustafa Al-Bugha Mustafa & Al- Syarbaji, Ali. 2009.hlm.71
[2] Ibid.hlm.71
[3] Ibid.hlm.41
[4]
[5] Sa’id b. Ibrahim. 2000. hlm. 11
[6] Ibid.hlm. 11
[7] Ibid.hlm. 13-19
[8] Al-Quran. An-Nur. 2
[9] Al-Quran. An-Nur. 4
[10] Hadis riwayat Muslim
[11] Al-Quran, al-Maidah. 38
[12] Hadis riwayat Imam Bukhari dan Muslim
[13] Al-Quran, al-Maidah. 33-34
[14] Al-Quran, al-Hujurat. 9
[15] Abdul Halim El-Muhammady. 2005. hlm.
[16] Hadis riwayat Ibn Majah
[17] Abdul Halim El-Muhammady. 2005. hlm.100
[18] Ibid,hlm.100
[19] Ibid,hlm.100
[20] Ibid,hlm. 100
[21] Abdul Halim El-Muhammady. 2005. hlm.100-101
[22] Ibid.hlm.101
[23] Ibid.hlm.101
[24] Ibid.hlm.101
[25] Ibid.hlm.101
[26] Abdul Halim El-Muhammady. 2005. hlm.102
[27] Ibid.hlm,102
[28] Ibid.hlm,102
[29] Ibid.hlm,102-103
[30] Abdul Halim El-Muhammady. 2005. hlm.125
[31] Ibid, hlm. 125
[32] Ibid, hlm. 125
[33] Ibid, hlm. 126
[34] Abdul Halim El-Muhammady. 2005. hlm.127
[35] Ibid, hlm. 127
[36] Sayid Sabiq. 1990.hlm.27-29
[37] Al-Khin, Mustafa Al-Bugha Mustafa & Al- Syarbaji, Ali. 2009.hlm.71
[38] Ibid.hlm.88
[39] Ibid.hlm.71
[40] Ibid.hlm.71
[41] Al-Khin, Mustafa Al-Bugha Mustafa & Al- Syarbaji, Ali. 2009.hlm.88
[42] Ibid.hlm.88
[43] Abdul Halim El-Muhammady. 2005. hlm.91
[44] Ibid.hlm.91
[45] Abdul Halim El-Muhammady. 2005. hlm.91
[46] Ibid.hlm.91
[47] Ibid.hlm.91
[48] Abdul Halim El-Muhammady. 2005. hlm.92
[49] Ibid.hlm.92
[50] Ibid.hlm.92
[51] Ibid.hlm.92
[52] Abdul Halim El-Muhammady. 2005. hlm.93
[53] Abdul Halim El-Muhammady. 2005. hlm.93


mohon sekiranya maklumat yang diberikan tidak bertepatan, teguran amat digalakkan.. ^_^
UKM/ 2014

0 comments:

Post a Comment