Golongan
Munafik amat sukar dikenali kerana apa yang terkandung di dalam hati mereka
tidak sama dengan apa yang mereka lakukan. Pada umumnya mereka adalah orang
yang menyembunyikan isi hati mereka tetapi pada lahirnya mereka menunaikan
amalan Islam sebagai menarik perhatian manusia. Ada juga sebahagian mereka yang
mengejar kebendaan sehingga sanggup mengadai agama dengan mengeluarkan
pandangan yang bertentangan dengan tuntutan Islam dan ajaran Islam. Mereka
selalu melakukan pembohongan dan mempengaruhi golongan awam untuk melihat
bahawa mereka adalah orang yang paling kuat imannya.
Golongan munafik ini hanya dapat
dikenali oleh Allah dan diri mereka sendiri kerana mereka menyembunyikan apa
yang terkandung di dalam hati dan menzahirkan perbuatan yang sama seumpama
orang yang beriman. Mereka mempunyai perkara lain di sebalik melakukan ibadat
di khalayak ramai. Antara sifat mereka ialah mempunyai penyakit hati yang
membawa kepada kerosakkan dan kegelapan sehingga dia tidak dapat membezakan antara
yang hak dan yang batil. Dia akan sentiasa mengikut hawa nafsunya untuk
mencapai hasrat duniawi dan kedudukan. Hanya orang Islam yang benar-benar
mengetahui selok-belok perjalanan tingkah laku umat Islam dapat mengecam
golongan munafik ini. Tetapi tidak boleh menentukan seseorang itu sebagai
munafik. Mereka hanya boleh menyatakan sifat seumpama itu adalah sifat orang
munafiq.
Begitu
juga yang berlaku kepada dakwah baginda Nabi Muhmmad s.a.w oleh golongan
munafik ini di Madinah. Rasulullah s.a.w
menerima pelbagai tentangan dan halangan dari dalam umat Islam sendiri.
Seandainya virus munafik ini tidak dihalang, maka ia akan terus merebak kepada
umat Islam yang lain. Justeru kertas kerja kursus ini ingin menyelongkar metodologi
dakwah Rasulullah s.a.w dalam berdepan dengan golongan Munafikun yang mana
merangkumi definisi, sejarah, faktor, ciri-ciri, peringkat , bentuk dan
strategi rasulullah dalam berdepan dengan golongan munafik di Madinah.
2.0 DEFINISI
DAKWAH
Asal penggunaan perkataan “dakwah” terdapat di
dalam al-Quran adalah sebanyak 212 kali dalam pelbagai surah (Sulaiman Ibrahim
2001: 11). Penggunaan perkataan dakwah ini boleh didapati pengertiannya dari
segi bahasa dan istilah. Berikut merupakan pengertian dakwah:-
2.1 Bahasa
Perkataan dakwah diambil daripada bahasa arab
da’wah (دعوة). Dakwah ialah perkataan yang berasal daripada perkataan Arab (دعا
يدعو دعوة دعاية) yang memberi erti
seruan, panggilan atau ajakan (Sulaiman Ibrahim 2001: 12).
2.2 Istilah
Dakwah mengikut pandangan agama ialah ajakan
yang ditujukan kepada manusia oleh Allah melalui para rasul-Nya supaya percaya
dan yakin kepada agama yang sebenarnya iaitu agama Islam. Selain itu, takrifan
dakwah dari segi syarak secara umumnya ialah menghimpun manusia dalam kebajikan
dan menunjukkan mereka jalan yang benar dengan suruhan melakukan kebaikan dan
mencegah kemungkaran (Abd Aziz 1997: 1).
Dakwah juga merupakan satu usaha seseorang
atau berkumpulan untuk menyeru manusia dengan menggunakan beberapa pendekatan
tertentu untuk membawa manusia kepada keredhaan Allah.
3.0
DEFINISI MUNAFIK
Kemunafikan (an-nifaq) adalah perbuatan orang munafik. Dikatakan :
nafaqa – yunafiku -munafaqatun wa nifaqan, yang diambil dari perkataan
an-nafiqa (lubang tikus), iaitu sarang tempat keluar jika terdapat lubang
tempat masuk ke dalamnya dan disebut al-qashi’a’ (lubang sarang binatang
sejenis tikus). Kemunafikan masuk ke dalam Islam dari satu perkara dan keluar
dari perkara yang lainnya. Ia adalah nama Islam yang tidak diketahui orang Arab
dalam makna yang khusus sebelum Islam. Orang munafik adalah orang yang menutup
kekafirannya dan memperlihatkan keimanannya. (Muhammad Yusuf Abdu 2011:29).
4.0 SEJARAH
KEMUNCULAN GOLONGAN MUNAFIK
Bermulanya sejarah dan munculnya orang-orang
munafikyang pertama di kalangan umat Islam ialah setelah Nabi muhammad s.a.w
berhijrah ke Madinah. Semasa di Makkah, tidak wujud orang munafik sama ada secara
individu atau kelompok. Ini kerana hanya ada dua golongan sahaja semasa Nabi
Muhammad s.a.w menyebarkan dakwah Islamiyah di makkah iaitu
(http://rasuldahri.tripod.com/articles/kka1_dua.htm 16/3/2014):-
Pertama:
Golongan kaum Muslimin yang kebanyakkannya merahsiakan keimanan mereka demi
untuk menyelamatkan Islam, iman dan dirinya dari tindakan orang-orang kuffar
musyrikin. Kedua: Golongan atau kaum musyrikin yang kuat penentangannya
terhadap orang-orang yang beriman.
Contoh
yang dibawakan oleh sejarah tentang orang-orang munafik ialah peranan Kabilah
Aus dan khazraj serta orang–orang yang mengikuti mereka. Mereka adalah golongan
munafik pertama muncul di Madinah, kemudian mereka mengumpulkan dan menghasut
orang-orang di Madinah menjadi munafik seperti mereka kerana perasaan benci dan
sakit hati mereka diatas kemenangan yang dimiliki oleh kaum Muslimin dalam
peperangan Badar (Ibnu Hussien. t.t)
Golongan
munafik ini diketuai dan dipimpin oleh Abdullah bin Ubai bin Salul yang menjadi
ketua Kabilah Khazraj. Beliau perbah dinobatkan oleh orang-orang Yahudi sebagai
raja di Yathrib (Madinah) tetapi terhalang dan tidak berjaya setelah kedatangan
Nabi Muhammad s.a.w sehingga menggagalkan rancangannya untuk menguasai Madinah (Ibnu
Hussien. t.t)
Gerakan munafik bermula di madinah di bawah
pimpinan Abdullah bin Ubai. Sebelum kedatangan Rasulullah s.a.w ke Madinah,
Abdullah bin ubai merupakan seorang yang sangat berpengaruh di sana sebagaimana
kedudukan Abu Sufyan di Makkah. Selepas Perang Bu’as tamat, penduduk Madinah
(nama asalnya Yatrib) sudah sepakat untuk melantik Abdullah bin Ubai sebagai
raja di madinah, malah mahkotanya pun sudah siap dibuat. Masyarakat Madinah
bersetuju melantik Abdullah bin Ubai menjadi raja yang menunjukkan dia memiliki
sifat-sifat yang menyebabkan dia dihormati dan dimuliakan(Ibnu Hussien. t.t).
Sebelum
Nabi Muhammad s.a.w berhijrah ke Madinah, kaum Yahudi sudah lama bertapak di
sana. Kaum Yahudi dikenali sebagai ahli kitab, orang beragama yang memiliki peradaban
yang mulia. Kaum Yahudi juga menguasai bidang ekonomi dan mempunyai kekuatan
dalam bidang ketenteraan. Kaum Yahudi yang dikenali sebagai ahli agama, ahli
ilmu, ahli ekonomi dan ahli ketenteraan menyebabkan mereka dipandang tinggi
oleh orang Arab Madinah(Ibnu Hussien. t.t).
Arus
perkembangan Islam melanda Madinah dengan deras dan menyeluruh. Dalam masa
kurang daripada satu tahun, hampir keseluruhan penduduk Madinah sudah memeluk
agama Islam. Segala aktiviti berpusat kepadsa Nabi Muhammad s.a.w dan agama
Islam. Kumpulan Abdullah bin ubai yang memandang diri mereka sebagai lebih
mulia itu tidak ada pilihan lain melainkan ikut serta di dalam rentak
perkembangan Madinah, jiwa tidak mereka akan tersisih. Penyataan mereka di
dalam arus tersebut juga bertujuan mencari jalan untuk merampas semula
kekuasaan di madinah sebagaimana sebelum kedatangan agama Islam dan nabi
Muhammad s.a.w. Mereka mahu orang-orang Makkah meninggalkan madinah(Ibnu
Hussien. t.t).
Oleh
sebab mereka tidak mempunyai satu bentuk kepercayaan yang jelas dan tidak ada
satu agama yang mereka pertahankan, maka mereka boleh bergerak cergas dalam apa
jua medan kepercayaan atau agama. Istilah dosa, pahala, syurga, neraka, hari
kiamat, halal dan haram tidak ada pada mereka. Akhirat tidak ada dalam
pandangan mereka. Apabila tidak ada agama yang diperjuangkan dan tidak ada
kepercayaan kepada perkara ghaib, kumpulan tersebut menyertai kegiatan agama
orang lain dalam keadaan yang dipanggil munafik. Mereka memakai baju agama
padahal mereka tidak ikhlas berbuat demikian dan tidak merelakannya(Ibnu
Hussien. t.t).
Munafik
berbeza daripada orang kafir. Orang kafir tidak percaya agama Islam kerana
mereka mempunyai kepercayaan sendiri dan mereka mempertahankan kepercayaan
tersebut. Penentangan mereka terhadap islam adalah jelas. Manakala orang
munafik pula di samping tidak beriman kepada agama Islam, mereka tidak
mendatangkan kepercayaan yang menjadi alternatif dan mereka tidak meyebarkan
sebarang bentuk kepercayaan. Oleh yang demikian, mereka menyertai kegiatan
Islam seolah-olah mereka adalah orang Islam sejati dan merteka boleh menentang
Islam seolah-olah mereka adalah orang Islam sejati dan mereka boleh menentang
Islam seolah-olah mereka adalah orang kafir tulen(Ibnu Hussien. t.t).
Puak munafik tidak mengakui kenabian dan
kerasulan Nabi Muhammad s.a.w. Bagi mereka, Nabi Muhammad s.a.w hanyalah
seorang lelaki Arab yang sama dengan lelaki Arab yang lain, yang tergolong
dalam kalangan bangsa Arab yang mereka pandang lebih rendah kedudukannya
daripada mereka. Mereka menolak kepimpinan Nabi Muhammad s.a.w. mereka mahu
agar baginda s.a.w mengikuti kepimpinan mereka. Mereka juga tidak mempunyai
perasaan hormat kepada Nabi Muhammad s.a.w. Mereka tidak menerima menerima
kedudukan wahyu sebagai kalam Allah S.W.T. Ini kerana , mereka menganggap wahyu
hanyalah perkataan Nabi Muhammad s.a.w yang sama dengan perkataan orang lain
yang boleh dihujah dan ditolak. Pihak munafik dengan kerjasama dengan kaum
Yahudi sangat aktif dalam mempertikaikan wahyu dann hadis Nabi Muahmmad s.a.w(Ibnu
Hussien. t.t).
5.0
TOKOH-TOKOH MUNAFIK
1. Abdullah bin Ubay bin Salul
Beliau telah mengubah perjalanan sejarah umat
Islam atau meninggalkan kesan buruk yang lukanya masih belum sembuh hingga
sekarang. Beliau adalah anak As-Sauda, aslinya seorang dzimmi Yahudi .
Kemudiannya memperlihatkan dirinya sebagai Islam dan melakukan bidaah perbuatan
dan perkataan yang banyak dan melakukan helah dan tipu daya (Mustafa, Ibrahim ,
Abdul Hafiz. 2006 :338-339).
Beliau telah memimpin suatu kegiatan rahsia lagi menakutkan untuk
menyebarkan keyakinan yang rosak, menghancurkan pemerintahan Islam dan
meruntuhkan perpaduan orang Muslim. Bagi tujuan ini, beliau berpindah-randah
dari saatu kota ke kota lain dan dari satu daerah ke daerah yang lain sehingga
perjalanannya meliputi seluruh kota yang besar sepanjang sejarah umat Islam.
Beliau menyebarkan seruan yang mempunyai tujuan tertentu, maklumat yang batil,
kata-kata yang bohong, dan berbagai tuduhan pada khalifah yang benar Uthman bin
Affan r.a, meniru sifat penolong Ahlul Bait dan pembantu yang melayaninya, lalu
mengambil hak mereka yang dirampas seperti yang diakuinya (Mustafa, Ibrahim , Abdul Hafiz. 2006
:338-339).
Pemikiran ini diakui oleh orang bodoh, diikut oleh orang yang umum
dan rakyat jelata. Mereka menerima pemikirannya, menyebarkannya dalam kalangan
orang ramai dan menawarkannya dengan gaya bahasa memaklumkan dan sistematik (Mustafa, Ibrahim , Abdul Hafiz. 2006 :338-339).
Abdullah bin Ubai bin Salul pernah bertindak memasang khemahnya
menyendiri di bawah Rasulullah s.a.w menghadap ke gunung Zuhab. Para ulama
berkata bahawa bilangan temannya bersama Abdullah bin Ubai itu sangat ramai.
Ketika Rasulullah s.a.w berangkat meneruskan perjalanan, Abdullah bin Ubai
tidak ikut berangkat bersama orang-orang munafik dan orang-orang yang serba
ragu (Mustafa, Ibrahim , Abdul Hafiz. 2006 :220).
2.
Mirba’ bin Qaiziy
Rasulullah telah bersabda kepada sahabat-sahabatnya, dan mengatakan
siapakah yang dapat membawa kami menghampiri musuh melalui jalan lain menuju
mereka, maka berkata Abu Khaithamah saudara Bani Harithah bahawa dia yang akan
membawa Rasulullah melewati antara tanah hitam berbatu Bani Harithah dengan
kebun-kebun mereka sehingga melewati kebun milik Mirba’ bin Qaiziy. Ia seorang
buta yang munafik. Ketika ia mendengar pergerakan Rasulullah s.a.w bersama
sahabat-sahabat dari Muslimin , ia berdiri untuk melemparkan tanah ke wajah
mereka dan berkata jika benar-benar Rasulullah s.a.w merupakan pesuruh Allah,
dia tidak mengizinkan memasuki kebunnya (Mustafa, Ibrahim , Abdul Hafiz. 2006 :39).
Selain itu, ada juga yang berkata bahawa Mirba’ bin Qaiziy memegang
segenggam tanah, kemudia berkata bahawa sekiranya dia tahu tanah ini tidak
mengenai orang selain diri Nabi, dia akan lemparkan semuanya kepadanya. Kaum
Muslimin serentak ingin membunuh Mirba’ namun Rasulullah s.a.w bersabda supaya
jangan membunuhnya dan mengatakan bahawa orang ini buta hati dan matanya (Mustafa, Ibrahim , Abdul Hafiz. 2006 :39).
3.
Hatib bin Umayyah
Ashim bin Umar bin Qatadah berkata bahawa salah seorang daripada
penduduk Madinah terdapat seorang bernama Hatib bin Umayyah bin Rafi’. Ia
mempunyai anak bernama Yazid bin Hatib yang terluka dalam perang Uhud dan
dibawa ke rumah kaumnya dengan keadaan hendak meninggal dunia. Para penghuni
rumah dan kaum Muslimin, berkata kepada Yazid bahawa dia akan bergembira di
dalam syurga yang ketika itu Hatib telah tua dan mengatakan bahawa khabar
gembira apakah yang telah Muslimin katakan, apakah syurga dari pasir (kubur),
demi Allah, kalian telah menipunya. Jelas terpancar sikap munafik Hatib bin
Umayyah (Mustafa, Ibrahim , Abdul Hafiz. 2006 :70).
4.
Quzman
Ashim bin Umar bin Qatadah telah berkata bahawa dalam kalangan kita
terdapat seorang lelaki asing yang tidak diketahui asal-usulnya, ia bernama
Quzman. Jika namanya disebutkan kepada Rasulullah s.a.w Baginda bersabda bahawa
sesungguhnya dia adalah termasuk dalam kalangan penghuni neraka. Kerana dalam
perang Uhud, Quzman bertempur habis-habisan dan mampu membunuh tujuh atau lapan
orang daripada kaum musyirikin. ia seorang yang kuat serta mendapat luka dalam
perang Uhud (Mustafa, Ibrahim , Abdul Hafiz. 2006 :72).
Kemudian ia dibawa ke penempatan Bani Zafar, beberapa orang lelaki
dari Muslimin berkata kepadanya bahawa demi Allah, dia telah berjaya pada hari
ini dan bergembiralah. Quzman berkata apakah yang dimaksudkan dengan khabara
gembira, dan demi Allah, dia telah berperang untuk membela kehormatan kaumnya.
Tanpa sebab itu, dia tidak akan berperang. Ketika luka Quzman semakin parah, ia
mengambil anak panah dari tabung anak panah, kemudian membunuh diri dengannya (Mustafa, Ibrahim , Abdul Hafiz. 2006 :72).
6.0 CIRI-CIRI
MUNAFIK
Antara ciri utama personaliti jenis ini ialah menzahirkan perkara
yang baik dan menyembunyikan keburukan dan keengkaran mereka terhadap ajaran
Islam. Mereka sering berpura-pura Islam dan menyokong Islam, tetapi di
belakang, mereka menyokong pihak musuh. Ciri-ciri utama personaliti munafik ini
ialah suka mengadu-domba, mempermain-mainkan dan memperbodohkan orang lain,
menipu daya dan lemah dalam mengharungi cabaran kehidupan. Hati golongan ini
juga penuh dengan kejahatan dan kejahilan. Ciri-ciri lain ialah tidak mempunyai
pendirian yang teguh, kadang-kadang menyokong Islam dan kadang-kadang
menyebelahi orang kafir. Mereka juga sering melakukan kerosakan dan kejahatan
di atas muka bumi. (Fariza Md Sham 2013:21).
Jadi orang munafik adalah yang mengaku beriman dengan ucapan dan
memperlihatkan dirinya sebagai orang Mukmin. Pada saat yang sama, dia
menyembunyikan kekafiran dan bersekutu dengan keluarganya dalam memusuhi Allah,
Rasul-Nya dan orang Mukmin. Apakah sebab yang menjadikan golongan manusia ini
bimbang di antara iman dan kekafiran serta hidup dalam keadaan tidak wajar.
(Muhammad Yusuf Abdu 2011:31).
Kebanyakan ulama berkata penyebabnya adalah ketakutan mereka kepada
orang Muslim. Sebabnya, dengan memperlihatkan kepalsuan ini, mereka dapat
melindungi diri, harta, anak-anak, dan kehormatan mereka dari orang Muslim. Di
sini, telah diperincikan faktor seseorang itu menjadi munafik. (Muhammad Yusuf
Abdu 2011:32).
7.0 FAKTOR MUNAFIK
a) Mempunyai sikap lemah peribadi, gelisah pemikiran, tidak mampu membuat
keputusan, kurang sabar dan teguh. Allah
S.W.T berfirman:
Maksudnya: Perumpamaan mereka adalah
seperti orang yang menyalakan api. Maka setelah api itu menerangi sekelilingnya
Allah hilangkan cahaya (yang menyinari) mereka, dan membiarkan mereka dalam
kegelapan, tidak dapat melihat. (Surah al-Baqarah : 17)
Ayat di atas menjelaskan bahawa sebahagian
orang munafik beriman pada satu saat dan kafir pada satu saat yang lain,
kadangkala memperlihatkan kebenaran dan kadangkala mengeluh. Mereka kebingungan
di antara mengetahui dan bodoh, sehingga tidak dapat memilih salah satunya
kerana kelemahan peribadinya dan tidak mampu mengambil keputusan yang wajar.
Mereka berada dalam kebingungan dan kesesatan yang mereka adakan pada diri
mereka sendiri. (Muhammad Yusuf Abdu 2011:32).
b) Mengintip orang Mukmin dan menyebarkan fitnah dan kegelisahan dalam
kalangan mereka. Allah S.W.T berfirman:
Maksudnya: Jika mereka berangkat
bersama-sama kamu, niscaya mereka tidak menambah kamu selain dari kerusakan
belaka, dan tentu mereka akan bergegas maju ke muka di celah-celah barisanmu,
untuk Mengadakan kekacauan di antara kamu; sedang di antara kamu ada
orang-orang yang amat suka mendengarkan perkataan mereka dan Allah mengetahui
orang-orang yang zalim.
(Surah al-Taubah : 47)
Yang jelas dari ayat itu dan perumpamaannya
bahawa orang munafik yang memperlihatkan dirinya Islam mereka dan masuk ke
dalam barisan orang Muslim bukanlah untuk melindungi apa yang disebutkan berupa
jiwa, anak, harta dan kehormatan melainkan untuk memindahkan maklumat orang
Mukmin dan kelemahan mereka kepada pihak musuh, menyebarkan fitnah dalam
kalangan orang Mukmin dan merosakkan mereka sebagai mengabdikan diri pada musuh
mereka yang kafir. (Muhammad Yusuf Abdu 2011:33).
c) Takut pada masa hadapan dan tamak akan manfaat.
Takutnya orang munafik akan masa depan yang
menjadikan mereka membuat pelbagai tanggapan akan berbagai kemungkinan.
Kemudian mereka bersikap waspada dan mengumpulkan beberapa perkara yang
memperbanyakkan bantuan dan menisbatkannya. Itulah yang hampir sama dengan apa
yang dikatakan dalam bahasa moden dengan menjaga keseimbangan di antara kekuatan
dan pihak lawan. Inilah yang diperkatakan istilah keji yang menunjukkan
kelicikan orang yang melakukannya kerana berada bersama dengan orang yang
menang dari dua kekuatan yang bertelingkah. (Muhammad Yusuf Abdu 2011:35).
d) Cinta harta dan kedekut serta tamak. Allah S.W.T berfirman:
Maksudnya : Dan di antara mereka ada orang
yang mencelamu tentang (distribusi) zakat; jika mereka diberi sebahagian dari
padanya, mereka bersenang hati, dan jika mereka tidak diberi sebahagian dari
padanya, dengan serta merta mereka menjadi marah.
(Surah al-Taubah : 58).
Mereka lebih mencintai harta dan kedekut serta
tamak dalam mengumpulkannya, ingkar daripada mengeluarkan infak atau tidak
memberinya serta kedekut. (Muhammad Yusuf Abdu 2011:36).
e) Menghalang jalan Allah dan memerangi Islam dari dalam. Allah S.W.T
berfirman :
Maksudnya : Mereka menjadikan sumpah-sumpah
mereka sebagai perisai, lalu mereka halangi (manusia) dari jalan Allah; karena
itu mereka mendapat azab yang menghinakan.
(Surah al-mujadalah : 16).
f)
Kurang tabah dan sabar.
Sebahagian orang munafik yang mana apabila sampai kepada mereka
kebaikan dunia seperti kesenangan, kesihatan, dan kelapangan hidup, mereka
kekal dalam agamanya tetapi apabila ditimpa sesuatu yang dibenci pada diri atau
harta atau anaknya maka dia kufur dan kembali kepada keadaannya yang awal iaitu
kufur. Apabila ditimpa bahaya kerana Allah dan agamanya, mereka ketakutan dan
tidak sabar sehingga menjadikan bahaya ini sebagai azab Allah yang terdapat
pada orang kafir dan yang derhaka di akhirat, maka mereka mentaati manusia
seperti mentaati Allah. (Muhammad Yusuf Abdu 2011:39).
Keenam-enam perkara di atas apabila dikaitkan dengan perkara atau
sebab yang disebutkan jumhur ulama merupakan sebab di sebalik fenomena yang
sakit iaitu fenomena munafik. Kewujudan orang munafik berbeza-beza. Demikian
juga keadaan mereka sangat beragam. Di antara mereka ada yang menyatakan
memeluk Islam untuk melindungi diri, harta, anak, dan kehormatannya. Di antara
mereka juga ada yang melakukannya untuk menyokong mengintip dan melakukan
kerosakan. Dan sebahagian lainnya ada yang memeluk Islam secara terang-terangan
untuk menyelamatkan dirinya sesuatu, untuk mendapatkan kebahagiaan dunia dan
seluruh faedahnya atau bertindak munafik untuk menghalang hak harta yang
sepatutnya. (Muhammad Yusuf Abdu 2011:40).
Selain itu, mereka melakukan perbuatan itu kerana kelemahan di
dalam diri dan keinginannya, miskin akan kemampuan yang teguh dalam beriman
seperti awal dan sebab yang telah dibincangkan. Tindakan membuta tuli yang
mengerikan dalam kehidupan mereka ini dan sentiasa bingung antara golongan
Mukmin dan kafir adalah sebahagian dari kesesatan. (Muhammad Yusuf Abdu
2011:40).
8.0 PERINGKAT DAKWAH NABI MUHAMMAD S.A.W KETIKA DI
MADINAH.
Selepas Nabi Muhammad s.a.w berusaha
mengembangkan dakwahnya di Mekah selama lebih kurang 13 tahun, Nabi Muhammad
s.a.w mengembangkan dakwahnya pula di
Madinah iaitu dalam masa lebih kurang 10 tahun. Dakwah Nabi Muhammad s.a.w
semasa di Madinah mengandungi tiga peringkat (Sulaiman Ibrahim(Sulaiman Ibrahim, etl 2001:174).
Berikut iaitu :
Peringkat pertama: Rasulullah s.a.w bersama-sama pengikutnya
telah memulakan dakwahnya ke Madinah iaitu dengan berhijrah dari Mekah ke
Madinah .
Peringkat kedua: peringkat mempertahankan dakwah.
Peringkat ini dimulai dengan mempersiapkan Muslimin untuk mempertahankan dakwah
Islamiah dari serangan musuh-musuh Islam. Pada peringkat inilah Muslimin diizinkan untuk berperang mempertahankan
dakwah Islamiah.
Peringkat
ini dilaksanakan sehingga kepada pembukaan negeri Mekah. Peringkat
mempertahankan Islam dari segi ketenteraan merupakan arahan dari Allah. Pihak
Muslimin telah merancang , mengatur, dan menjalankan gerakan perang bagi
mempertahankan dan memperteguhkan kedudukan mereka yang sentiasa menerima
ancaman daripada pihak musuh (Sulaiman Ibrahim, etl 2001:174-176).
Peringkat ketiga: peringkat pembukaan kota Mekah. Peringkat
ini merupakan peringkat perkembangan dan kecemerlangandakwah Islamiah apabila
pihak Muslimin berjaya membuka dan menawan kembali kota Mekah.
Dengan
terlaksananya tiga peringkat dakwah selepas hijrah, maka teguh dan sempurnalah
dakwah Islamiah , seterusnya membawa kepada pembagunan Negara Islam sebagai
sebuah negara ideal yang menjadi contoh bagi umat Islam pada setiap tempat dan
masa (Sulaiman
Ibrahim, etl 2001:174-176)
9.0 BENTUK DAKWAH NABI MUHAMMAD S.A.W
KETIKA BERDAKWAH DI MADINAH.
Bentuk dakwah Nabi Muhammad s.a.w di
Madinah yang memakan masa lebih kurang 10 tahun agak berbeza dengan bentuk
dakwah Nabi Muhammad ketika di Mekah. Setelah teras Islam dibina semasa di
Mekah atas asas iman yang kuat dalam hati setiap orang Islam iaitu di kalangan
keluarga dan sahabat terdekat , maka teras itu dikembangkan lagi semasa di
Madinah (Sulaiman Ibrahim, etl 2001:177)
Tambahan
lagi, ayat-ayat al-Quran yang diturunkan ketika di Madinah banyak menerangkan
tentang Ahli Kitab, hukum-hukum untuk ibadat, muamalat, siasah dan peperangan ,
mendirikan kerajaan dan perundangan secara umum serta teguran kepada golongan
munafik(Sulaiman Ibrahim, etl 2001:177).
Dakwah
Nabi Muhammad s.a.w ketika di Madinah adalah berbentuk untuk melahirkan suatu
golongan yang mempunyai ikatan yang kukuh dengan perpaduan antara satu sama
lain. Dengan itu, dakwah tersebut banyak menyentuh hal-hal yang berhubung
dengan tanggungjawab dan kewajipan individu tehadap diri dan masyarakat(Sulaiman Ibrahim, etl 2001:177).
Bagi membentuk masyarakat yang utuh, Nabi
Muhammad s.a.w telah membentuk program iaitu
dengan mendirikan masjid Quba’, mempersaudarakan Muhajirin dan Ansar dan
mengikat perjanjian bagi penduduk Madinah iaitu antara orang Islam dan Yahudi (Sulaiman Ibrahim, etl 2001:178)
Berikut perincian strategi yang digunakan
oleh Nabi Muhammad s.a.w. ialah:
1.
Pembinaan Masjid Sebagai Asas Pembinaan Modal Insan
Pembinaan
Masjid selain tempat untuk mendirikan solat, ia juga dijadikan tempat
masyarakat mengajar agama, tempat perbincangan untuk menyelesaikan masalah dan
menjatuhkan hukuman serta tempat perlindungan sementara bagi orang musafir(Sulaiman Ibrahim, etl 2001:178)
Melalui
masjid itu merupakan langkah awal sebagai asas perpaduan masyarakat, pembinaan
jasmani dan rohani, biimbingan dan pendidikan akhlak, serta membentuk disiplin
melalui waktu solat dan merapatkan saf dalam solat (Abu Muhammad Tolha .
2009:526)
2.
Berusaha menyatukan ukhuwah antara suku-suku kaum.
Agenda
seterusnya ialah membentuk penyatuan dan persaudaraan antara Muhajirin dan
Ansar supaya orang-orang Islam terus berada dalam satu barisan yang kuat dan
bersatu padu. Manakala perjanjian antara penduduk Madinah iaitu Aus dan khazraj
dengan orang Yahudi adalah untuk saling hormat-menghormati dan saling bantu
membantu terutama dalam mempertahankan Madinah dari serangan musuh (Sulaiman Ibrahim, etl 2001:178)
Tambahan
lagi, kaum Yahudi yang mempunyai kedudukan dan pengaruh di Madinah. Mereka
lebih senang untu membuat fitnah yang boleh mencetuskan pergolakkan antara kaum
Muslimin, bahkan dalam hati mereka terdapat perasaan hasad dengki terhadap Nabi
Muhammad s.a.w . Dimana, mereka menjangkakan baginda akan mempengaruhi
tokoh-tokoh atau pemimpin mereka yang berkepentingan dalam masyarakat (Abu
Muhammad Tolha . 2009:529)
3.
Mengubal Piagam Madinah sebagai asas penyatuan ummah sejagat
Setelah menetap di kota Madinah, baginda terus melakukan strategi
politik baginda. Ketika baginda melihat masyarakat di Madinah terdiri daripada
pelbagai golongan, suku , agama dan kepercayaan . Maka Baginda memulakan
langkah dengan menyusun piagam dan bertulis pertama di dunia yang menjamin
perpaduan dan perdamaian (Roziah Sidik. 2007:531)
Bermula dengan penggubalan ‘piagam Madinah’ yang menggarapkan
intergasi dan penyatuan ummah sejagat yang meliputi kaum yahudi, Nasrani,
Muhajirin dan Ansar, Aus dan khazraj dan
suku-suku minority lain yang ada di Madinah. Piagam yang dilaksanakan pada
tahun 622 Masihi ( Tahun 1 Hijrah) bertujuan untuk memberikan garis panduan
yang jelas terhadap komitmen dan hak-hak antara golongan masing-masing (Roziah
Sidik. 2007:531)
4.
Menyusun sistem pentadbiran dan mengatur strategi siasah
Perlembagaan kerajaan Islam telah
diwujudkan oleh Rasulullah s.a.w di Madinah iaitu Sahifah Madinah yang
menggariskan kewujudan perkara-perkara berikut:
·
Ketua Negara: Nabi Muhammad s.a.w
·
Rakyat: penduduk kota Madinah dan sekitarnya iaitu Islam atau bukan
Islam
·
Kawasan Negeri: daerah-daerah di semenanjung tanah Arab , Madinah
sebagai tempat pusat.
·
Undang-undang: kitab al-Quran dan al-Hadis
·
Perlembagaan: undang-undang dasar Negara yang diambil daripada
al-Quran dan al-Hadis (Abu Muhammad Tolha . 2009:549)
Secara keseluruhannya , Sahifah Madinah mengandungi dua bahagian
dengaan 47 fasal kesemuanya . Bahagian pertama meliputi fasal-fasal 1-23. Ia
menggariskan peraturan mengenai golongan Muhajirin dan Ansar. Sementara
bahagian kedua ialah melibatkan fasal-fasal 24-47. Ia menggariskan hak dan
tanggungjawab golongan Yahudi di Madinah. Keseluruhan kandungannya mencerminkan
perkara-perkara yang perlu diwujudkan dalam mana-mana perlembagaan di mana-mana
negara sekali pun( Roziah Sidik. 2007:101-102).
Demikianlah,
sebagai program pengukuhan kepada masyarakat Islam yang baru dibina, banyak
kewajipan dan larangan disyarakkan di Madinah. Antara kewajipan itu ialah
berpuasa di bulan Ramadhan yang diwajibkan pada tahun kedua Hijrah. Bagi tujuan
pengukuhan untuk masyarakat Islam , maka dakwah Baginda di Madinah menekankan
dua perkara iaitu pembersihan masyarakat dari gangguan dalaman dan
memperkenalkan Islam ke luar Madinah dengan menekankan konsep jihad (Sulaiman Ibrahim, etl 2001:178)
Namun
disini , hanya difokuskan untuk pembersihan masyarakat Islam dari gangguan
dalaman sahaja, pertamanya iaitu Rasulullah s.a.w telah mewujudkan Piagam Madinah. Di bawah
piagam ini, penduduk Madinah telah disatukan di bawah satu kesatuan politik,
ummah, kewarganegaraan dan keperibadian beragama. Dengan adanya piagam ini,
penduduk Islam Madinah dapat dilindungi dari gangguan kaum Yahudi yang berada
di Madinah. Di dalam fasal 25 Piagam Madinah telah menetapkan bahawa
orang-orang Islam dan Yahudi dianggap sama dari segi hak dan tanggungjawab.
Mereka juga bebas melakukan ibadat mengikut kepercayaan masing-masing (Sulaiman Ibrahim, etl 2001:179)
Seterusnya
bagi pembersihan masyarakat Islam dari gangguan dalaman ialah dakwah Rasulullah telah memberi perhatian
kepada hal-hal yang berkaitan dengan golongan munafik. Ini kerana, gerakan
munafik amat berbahaya terhadap perpaduan masyarakat Islam. Banyak ayat- ayat al-Quran yang membincangkan
secara khusus tentang orang-orang munafik supaya orang Islam lebih berhati-hati
dan tidak terpengaruh dengan golongan ini (Sulaiman Ibrahim, etl 2001:179)
10. STRATEGI RASULULLAH KETIKA BERDEPAN
DENGAN GOLONGAN MUNAFIK.
Ø
Membiarkan golongan munafik
Ketika Rasulullah s.a.w bersama para
sahabat tiba di al-Syaut sebuah daerah di antara Madinah dan Uhud, Abdulullah
bin Ubai bin Salul berserta sepertiga pengikutnya memisahkan diri dari
Rasulullah s.a.w . Abdulullah telah mempengaruhi pengikutnya sehingga timbul
keraguan dan supaya tidak ikut berperang lalu mereka pulang semula ke Madinah (Mustafa,
Ibrahim , Abdul Hafiz. 2006 :38).
Kemudian
orang-orang Ansar berkata kepada Rasulullah, kenapa kita tidak meminta bantuan
daripada Yahudi? Rasulullah bersabda: Kita tidak memerlukan mereka (Mustafa,
Ibrahim , Abdul Hafiz. 2006 :38). Perbuatan Rasulullah s.a.w ini jelas menunjukkan bahawa golongan munafik
in hanya lagi menambahkan kesusahan tentera Islam untuk berperang ketika itu.
Ø
Pengisytiharan keluar berperang menzahirkan golongan munafik
Ketika Rasulullah s.a.w mengisytiharkan
agar keluar berperang dan menyeru agar mengeluarkan nafkah untuk kelengkapan
peperangan ini. Orang-oraang munafik melemahkan semangat manusia lalu berkata “
jangan kamu keluar pada cuaca panas terik ini. Sebahagian mereka pergi kepada
nabi s.a.w memberi alasan palsu agar mereka diizinkan untuk tidak ikut
berperang , lalu baginda mengizinkannya. Maka Allah mencelanya.
Ayat-ayat
ini mula turun untuk membezakan antara orang-orang munafik dengan orang-orang
beriman di dalam peperangan. Lalu Allah
menjelaskan bahawa orang beriman dengan Allah s.w.t dan hari kiamat tidak akan
meminta izin untuk meninggalkan jihad pada jalan Allah , namun ia adalah sikap
munafik yang meminta keizinan untuk tidak berperang tanpa keuzuran (Ali
Muhammad. 2008:345)
Justeru
pengisytiharan perang Tabuk telah membuka kemunafikan dalam diri mereka. Telah
jelas dan tiada lagi untuk berselindung bagi orang munafik dan berbaik-baik
dengan mereka. Menentang mereka sesuatu yang pasti agar mereka tidak menghasut
kaum muslimin (Ali Muhammad. 2008:346)
Ø
Membakar tempat berkumpul orang Munafik
Kemudian
Rasulullah menerima laporan bahawa sejumlah orang-orang munafik berkumpul di
rumah Suwailim (orang Yahudi) yang terletak di Jesum. Orang-orang munafik
menghasut (provokasi) manusia agar mereka tidak berangkat bersama Rasulullah
s.a.w di Perang Tabuk. Lalu Rasulullah
s.a.w mengutus Talhah bin Ubaidiyyah
berserta sejumlah sahabat dan memerintahkan mereka membakar rumah Suwailim (Mustafa,
Ibrahim , Abdul Hafiz. 2006 :217).
Ini
membuktikan pengawasan kaum Muslimin yang rapi dan pengetahuan mereka tentang
keadaan orang-orang munafik dan Yahudi. Sesungguhnya pasukan pengintip kaum
Muslimin sentiasa memantau pergerakan dan perhimpunan Yahudi serta munafikin.
Bahkan mereka mengetahui rahsia-rahsia dan pertemuan mereka secara terperinci ,
serta rancangan jahat , hasutan dan pendustaan untuk mempengaruhi manusia agar
tidak keluar berperang dan Rasulullah menghadapi penyebar-penyebar fitnah dan
tempat-tempat pertemuan mereka dengan tegas. Manhaj ini yang digunakan oleh
baginda bagi menghentikan penyebar-penyebar fitnah dan sumber-sumber berita
menyesatkan yang boleh mendatangkan kemudharatan kepada individu , masyarakat
dan negara kerana membiarkan perkara tersebut boleh mengancam keamanan dan
ketenteraman(Ali Muhammad. 2008:342)
Ø
Peringatan Rasulullah s.a.w terhadap ucapan orang-orang munafik
Beberapa
orang munafik di antaranya Wadi’ah bin Thabit saudara Bani Amru bin Auf dan
salah seorang daripada Asyja’. Bani Salamah yang bernama Mukhasysyin bin Humayyir.
Mereka berjalan menyusul Rasulullah s.a.w yang sedang berjalan ke arah Tabuk.
Sebahagian mereka berkata kepada sebahagian yang lain “ Apakah kamu beraggapan
bahawa peperangan dengan tentera Rom itu seperti peperangan dengan bangsa Arab?
Demi Allah, sepertinya engaku akan ditawan esok hari (Mustafa, Ibrahim , Abdul
Hafiz. 2006 :228).
Mereka berkata-kata
seperti itu bertujuan untuk menakut-nakutkan dan menggoyahkan hati kaum
Muslimin. Lalu Rasulullah mengutuskan Ammar bin Yasir dan sampaikan ucapan baginda“ Temui kaum
munafik itu, kerana mereka telah terbakar dan tanyakan kepada mereka apa yang
telah mereka ucapkan. Lalu Wadi’ah bin Thabit berjumpa dengan Rasulullah dan
berkata” Wahai Rasulullah , kami hanya bersenda gurau dan bermain-main sahaja.
Kemudian turunlah ayat 65 surah al-Taubah (Mustafa, Ibrahim , Abdul Hafiz. 2006
:229).
Istifham (soalan) di dalam firman Allah
dalam ayat 65 ialah istifham inkari. Kemudian Allah menjelaskan bahawa senda
gurau dan main-main mereka membawa kepada kekufuran. Ini bermakna jangan kamu
sebutkan alasan dusta ini untuk mempertahankan kesalahan ini, kerana tidak
boleh bermain-main dalam kekufuran , maka alasan dusta kamu adalah pengakuan
bagi dosa kamu (Ali Muhammad. 2008:365)
Ø
Memenuhi Permintaan Anak Abdullah bin Ubai
Ketika kematian Abdulllah bin Ubai yang
sakit pada malam akhir Syawal dan meninggal pada Zulkaedah tahun ke Sembilan
Hijrah. Usamah bin Zaid menemani Rasulullah s.a.w untuk melawat Abdullah bin
Ubai. Lalu Rasulullah berkata “ Aku telah melarang kamu daripada mengasihi
Yahudi”. Lalu Abdullah menjawab “ sesungguhnya Saad bin Zurarah telah membenci
mereka lalu meninggal (Ali Muhammad. 2008:408)
Ketika
Abdullah bin Ubai meninggal dunia , datang anaknya Abdulllah bin Abdullah
menemui Rasulullah s.a.w lalu meminta pakaian Rasulullah s.a.w untuk
mengkafankan jenazah ayahnya. Rasulullah s.a.w memenuhi permintaan tersebut,
kemudian beliau meminta Rasulullah s.a.w menyembahyangkan jenazah ayahnya. Maka
Rasulullah berdiri untuk memenuhi permintaan tersebut (Ali Muhammad. 2008:408)
Kemudian
Umar berkata “ Wahai Rasulullah adakah engkau menziarahi musuh Allah?
Rasulullah tersenyum dan berkata “ Hai Umar beriku waktu kerana aku diberi
pilihan, kemudian aku mengambil pilihanku. Slepas pengebumiannya selesai
turunlah suarh al-Taubah ayat 84 . Setelah itu, Rasulullah tidak lagi
mensolatkan jenazah munafik sehingga baginda wafat Mustafa, Ibrahim , Abdul
Hafiz. 2006 :298).
Rasulullah
s.a.w menyolatkan jenazahnya kerana baginda menjalankan hukum zahir ke atasnya
iaitu Islam,juga termasuk menghormati anaknya Abdullah (yang termasuk pembesar
sahabat) yang meminta kepada nabi s.a.w untuk membunuh ayahnya ketika ayahnya
mengatakan perkataannya pada peperangan Bani Mustaliq . Selain itu,
kemaslahatan syariah iaitu menjinakkan hati kaumnya dan pengikut-pengikutnya
kerana sekumpulan besar orang-orang munafik tunduk kepadanya. Mudah-mudahan
mereka boleh mendapat kesan dan meninggalkan kemunafikan serta mengambil
ikhtibar dan mengikhlaskan diri kepada Allah s.w.t da Rasul-Nya (Ali Muhammad.
2008:409)
Sekiranya
baginda tidak memenuhi permintaan anaknya dan tidak menyolatkan jenazahnya
sebelum datangnya larangan tegas, nescaya hal itu boleh menyebabkan penghinaan
ke atas anak dan kaumnya. Maka Rasulullah s.a.w melakukan yang terbaik di
antara dua perkara di dalam pilihan sehingga datang larangan lalu Baginda
meninggalkannya (Ali Muhammad. 2008:410)
Adapun
Rasulullah s.a.w memberikan pakaiannya kerana ia lebih memerlukannya sedangkan
Rasulullah bersifat dermawan dan Rasulullah s.a.w tidak pernah menghampakan
permintaan orang yang berhajat dan ia juga merupakan pembalasan baginya kerana
dia pernah memberikan pakaiannya kepada al-Abbas, iaitu bapa saudara Nabi
ketika ditawan pada perang Badar. Demikianlah akhlak Rasulullah s.a.w iaitu
membalas kebaikan dengan kebaikan yang lebih baik daripadanya (Ali Muhammad.
2008:410)
Dengan
kematian Abdullah bin Ubai bin Salul surutlah gerakan munafik di Madinah yang
mana kita tidak dapati bagi mereka sebarang aktiviti pada tahun kesepuluh
hijrah dan tidak tinggal kecuali sebilangan yang tidak dikenali melainkan oleh
pemilik rahsia Rasulullah s.a.w iaitu Hudzaifah bin al-Yaman dan Umar setelah
kewafatannya Rasulullah tidak menyolatkan jenazah sesiapa yang telah diketahui
keadaannya sehinggalah Hudzaifah bin al-Yaman menyolatkan jenazah tersebut
kerana dia mengetahui individu-individu munafik kerana Rasulullah s.a.w telah
memberitahu kepadanya(Ali Muhammad. 2008:408)
Tahun
kesembilan hijrah adalah tahun kelumpuhan gerakan munafik di dalam masyarakat
Islam. Maka peraturan Islam telah sampai kepada kekuatan. Dengan itu, telah
ditetapkan langkah-langkah baru untuk menghadapi setiap kekuatan dengan jelas
dan nyata. Ibnu Qayyim mengambil langkah Islam ini untuk menghadapi orang-orang
munafik. Maka ia adalah perkara yang diterima daripada zahir mereka dan setiap
rahsianya diserahkan kepada Allah s.w.t dan dilarang untuk menyolatkannya,
berdiri atas kubur mereka dan meminta keampuan buat mereka(Ali Muhammad.
2008:408)
Di antara
hukum hakam yang muncul dalam peristiwa ini terhadap orang-orang munafik ialah
tidak dibenarkan untuk menyolatkan jenazah mereka dan terbukti kekufuran
mereka, keluarnya perintah jihad menentang orang-orang munafik sama seperti
memerangi orang-orang kafir sama ada dalam bentuk peperangan, dialog, atau perbincangan(Ali
Muhammad. 2008:408)
11. KAEDAH BERHADAPAN DENGAN GOLONGAN
MUNAFIK
Allah S.W.T berfirman
Maksudnya:
Dan mereka (orang-orang munafik) mengatakan: "(Kewajiban Kami hanyalah)
taat". tetapi apabila mereka telah pergi dari sisimu, sebahagian dari
mereka mengatur siasat di malam hari (mengambil keputusan) lain dari yang telah
mereka katakan tadi. Allah menulis siasat yang mereka atur di malam hari itu,
Maka berpalinglah kamu dari mereka dan tawakallah kepada Allah. cukuplah Allah
menjadi Pelindung.
(Surah al-Nisa’: 81).
Di
dalam ayat di atas, ada membincangkan tentang nabi s.a.w dan orang Mukmin yang
menyuruhnya berpaling dari orang munafik dan menyerahkan urusannya kepada
Allah. Ini kerana Dialah yang mencukupinya. Hendaklah orang Mukmin bersabar dan
teguh menghadapi segala apa yang datang dari orang munafik berupa gangguan,
kejahatan, tipu daya dan tipu muslihat tanpa membalasnya dengan perkara yang
serupa (Dr. Muhammad Yusuf’ Abdu 2011: 325).
Turun
ayat lain yang menyuruh Nabi s.a.w bersama orang Mukmin supaya memerangi orang
munafik dan bersikap tegas pada mereka. Sebagaimana Allah S.W.T berfirman:
Maksudnya: “Wahai Nabi, berjihadlah
(melawan) orang-orang kafir dan orang-orang munafik itu, dan bersikap keraslah
terhadap mereka. tempat mereka ialah Jahannam. dan itu adalah tempat kembali
yang seburuk-buruknya.” (Surah
al-Taubah : 73)
Maksudnya: “Wahai Nabi, perangilah
orang-orang kafir dan orang-orang munafik dan bersikap keraslah terhadap
mereka. tempat mereka adalah Jahannam dan itu adalah seburuk-buruknya tempat
kembali.”
(Surah al-Tahrim : 9)
Makna
firman-Nya “Lawanlah orang kafir dan munafik dan bersikap tegaslah pada
mereka”, telah mengelirukan para ulama. Mengenai perkara itu al-Fakhr Razi
telah menyebutkan beberapa pendapat: Pendapat pertama, bahawa maknanya adalah
melawan orang kafir dan bersikap tegas pada orang munafik.Pendapat kedua,
setelah Allah S.W.T menjelaskan kepada Rasulullah s.a.w supaya mengadili
berdasarkan aspek zahir, Rasulullah s.a.aw bersabda,”Kami mengadili berdasarkan
aspek zahir”. Dan golongan itu memperlihatkan dirinya Islam dan membantah
kekufuran, maka memerangi mereka tidak diperbolehkan (Dr. Muhammad Yusuf’ Abdu
2011: 330).
Pendapat
ketiga pula, “memerangi” itu merupakan gambaran pengarahkan usaha dan tidak ada
di dalam lafaz itu sesuatu yang menunjukkan berperang dengan pedang atau
kata-kata atau cara lain. Maka kami katakan, “Sesungguhnya ayat itu menunjukkan
kewajipan memerangi kedua golongan itu”. Sedangkan bagaimana usaha itu
dilakukan, maka lafaz ayat iti tidak
menunjukkannya, tetapi diketahui dari dalil lain (Dr. Muhammad Yusuf’
Abdu 2011: 330).
Apabila perkara itu telah ditetapkan, maka
kami megatakan, “Beberapa dalil yang terpisah telah menunjukkan bahawa
memerangi orang kafir wajib dengan pedang dan memerangi orang munafik
kadangkala pertama dengan memberi nasihat, kedua dengan meninggalkan kasih
sayang dan ketiga pula dengan dihukum bunuh. Mengenai firman-Nya “Lawanlah
orang kafir dan munafik”, Abdullah mengatakan, kadangkala dengan pedang dan
kadangkala dengan kata-kata. Sesiapa tidak mampu juga, hendaklah menunjukkan
pada wajahnya, dan sesiapa tidak mampu juga, hendaklah dengan hati. Al-Hassan
menafsirkan “memerangi orang munafik”, adalah dengan melaksanakan hukum ke atas
mereka apabila mereka ingkar. Manakala al-Qadhi pula berkata, perkara ini tidak
benar kerana pelaksanaan hukum adalah wajib ke atas orang yang bukan munafik
sehingga perkara ini tidak ada hubungannya dengan nifak (Dr. Muhammad Yusuf’
Abdu 2011: 330).
Adalah perlu bagi imam dan umat sekaligus pada
ketika bergaul agar tidak percaya pada orang munafik dan bersikap waspada di
depan mereka. Perkara ini agar urusan mereka tidak membahayakan dan kejahatannya
tidak bertambah, sedangkan orang Mukmin berada dalam keadaan alpa dengan
mereka. Dan hendaklah tidak cenderung pada mereka kerana akrab atau sesuatu
yang lain (Dr. Muhammad Yusuf’ Abdu 2011: 334).
Itulah kaedah berdakwah dengan orang munafik
di dalam masyarakat Islam dan di tengah-tengah pemerintahan Islam. Sedangkan
berperang dan memisahkan diri dilakukan apabila bahaya itu datang dengan
tiba-tiba dan kejahatannya nampak jelas.
Adapun mengawasi, waspada dan memantau
dilakukan apabila tidak berlaku perkara sedemikian itu. Inilah yang dapat
disimpulkan berkenaan dengan sikap Nabi s.a.w dengan orang munafik serta segala
apa yang diriwayatkan dari para sahabatnya r.a dalam perkara ini.
12. PENUTUP
Di sini
didapati perbezaan Rasulullah s.a.w di dalam muamalah dan pergaulannya terhadap
orang-orang munafik ketika mereka menyatakan keuzuran kepadanya dengan kaum
muslimin yang benar imannya. Dimana Rasulullah menghadapi orang-orang munafik
dengan sikap lemah-lembut dan kemaafan sebaliknya baginda bersikap tegas dan
menghukum orang-orang Islam yang benar imannya. Tidak diragukn bahawa kekerasan
dan ketegasan terhadap kaum muslimin pada tempat ini adalah satu bentuk
penghormatan dan kemuliaan dan ia tidak layak bagi orang-orang munafik dan
bagaimana orang-orang munafik layak mendapat teguran terus daripada Allah
dengan ayat Taubat kerana sesungguhnya mereka kufur dan tiada sesuatu yang
dapat menyelamatkan mereka daripada sikap suka berpura-pura atau talam dua
muka.
Sesungguhnya
peletak syarak Allah memerintahkan kita agar menyeru mereka dengan apa yang
mereka berpura-pura dengannya dan menjalankan hukum-hukum dunia mengikut zahir
mereka. Maka tidak perlu meneliti hakikat keuzuran mereka dan hakikat
ucapan-ucapan mereka , tidak perlu mengkukum mereka di dunia atas pendustaan
mereka lakukan kerana kita hanya memberikan kepada mereka yang zahir sahaja
daripada muamalah dan hukum-hukum seperti mana yang mereka zahirkan kepada kita
dalam bentuk keadaan dan akidah mereka.
13. RUJUKAN
Al-Quran
Ab. Aziz Mohd. Zin. 1997. Pengantar Dakwah
Islamiah. Kuala Lumpur: Universiti Malaya.
Abu Muhammad Tolha . 2009. Teladan
Sepanjang Zaman Peribadi Nabi Anugerah Suci. Batu Caves: Thinkers Library Sdn. Bhd.
Al-Buthy. 2009. Fikih Sirah. Bandung:
Mizan media Utama (MMU).
Ali Muhammad. 2008. Biografi Rasulullah
SAW. Terj. Ariffin Ladari. Jilid 3. Puchong: Berlian Publications Sdn Bhd.
Al-Qadrawi , Yusuf.1978. Thaqafah
al-Da’iyah. Beirut.
Fariza Md Sham. Personaliti dari Perspektif al-Ghazali.
2013. Bangi: Universiti Kebangsaa Malaysia.
Http://ibnuhussain.wordpress.com/pengajian-kitab/kebenaran-hakiki-bhg-pertama/28-ciri-ciri-dan-doktrin-munafik/ 16 Mac 2014.
Http://rasuldahri.tripod.com/articles/kka1_dua.htm/ 16 Mac 2014.
Mustafa, Ibrahim , Abdul Hafiz(pnys). 2006.
Sirah Nabawiyah Ibnu Hisyam. Terj. Fadhli Bahri. Jilid 3. Shah Alam: Pustaka Dini.
Mustafa, Ibrahim , Abdul Hafiz(pnys). 2006.
Sirah Nabawiyah Ibnu Hisyam. Terj. Fadhli Bahri. Jilid 4. Shah Alam: Pustaka Dini
Roziah Sidik. 2007. Genius Muhammad bin
Abdullah. Batu Caves: PTS Publications
Sulaiman Ibrahim, Ahmad Asnawi, Berhanundin
Abdullah & Fariza md Sham. 2001. Metodologi
dakwah. Bangi: Universiti Kebangsaan Malaysia.
* semester 4 / 2014 ( kertas kerja)
0 comments:
Post a Comment