Bahagia Allah bersama kita

Tuesday, June 4, 2013

IMAM ABU HASAN AL-ASY’ARI : ANALISA BERHUBUNG SUMBANGAN TAJDID DAN ISLAHNYA.




Pendahuluan
Imam Abu Hasan al-Asy’ari  merupakan  ulama’ Islam yang terkenal  dan mempelopori satu aliran pemikiran dalam bidang akidah iaitu aliran al-Asya’irah. Aliran ini mendapat tempat di hati umat Islam dan telah mempengaruhi keutamaan dan keunggulannya mendominasi pegangan majoriti umat Islam di seluruh dunia. Sokongan yang dicapai kerana kombinasi yang digunakan iaitu berpaksikan al-Quran dan al-Sunah sebagai asas akidah dan pemikirannya serta mengambil rasional akal dalam huraian-huraiannya terhadap kenyataan-kenyataan dalam al-Quran. Serentak dengan pengaruh besarnya ini telah meletakkan Imam Abu Hasan Al-Asy’ari sebagai ulama’ mujaddid mewakili kurun ketiga hijrah.
Tajdid al-Din dari perspektif Islam yang bermaksud membezakan sesuatu perkara yang merupakan tuntutan agama daripada sesuatu perkara yang bukan selainnya. Oleh itu, peranan tajdid dan islah ialah membersih dan memurnikan penghayatan dan amalan masyarakat daripada penyelewengan dan bid’ah , sama ada penyelewengan itu lahir daripada faktor dalaman masyarakat itu sendiri atau dari anasir pengaruh pemikiran asing yang tidak menepati tuntutan agama.  
Sehubungan dengan ini, Ibnu Taimiyyah  berpendapat bahawa penyelewengan dalam agama selalu melibatkan dua kategori. Pertama iaitu penyelewengan pemikiran iaitu menganggap kebenaran sebagai kebatilan dan keburukan sebagai kebaikan. Kedua iaitu penyelewengan peribadi dan akhlak yang lahir dari dorongan nafsu , syahwat dan kebendaan. Ibnu Taimiyyah menyifatkan bahawa penyelewengan pemikiran iaitu bida’ah atau syubhat lebih berbahaya daripada penyelewengan dari sudut keperibadian dan akhlak.
Demikianlah, akan diulas lebih terperinci akan contoh dan usaha yang dilakukan oleh Abu Hasan Al-Asy’ari dalam memperbaiki penyelewengan pemikiran dan keperibadian beliau.


Latar belakang keluarga dan pendidikan
Nama Imam Abu Hasan Al-Asy’ri ialah Ali bin Ismail bin Abi Basyr Ishaq bin Salim bin Ismail bin Abdullah bin Musa bin Bilal bin Amir Basrah bin Abi Burdah Amir bin Abi Musa Abdullah bin Qays bin Haddar al- Ays’ari al-Basri al-yamani. Beliau dilahirkan di Basrah, Iraq pada tahun 160H / 873 M dan meninggal pada tahun 324 H / 935 M  di kota Baghdad. Berdasarkan penjelasan ini, ternyata beliau adalah dari keturunan salah seorang sahabat Rasulullah s.a.w tersohor iaitu Abu Musa Al-Asy’ari.
Pendidikan: ketika ayahnya hampir meninggal dunia, beliau telah diwasiatkan kepada ulama’ terkenal dalam bidang fiqh dan hadis iaitu zakaria bin yahya al-sahi. Ini menjadikan beliau mempunyai kecenderungan dan pegangan yang kuat kepada hadis kerana pengaruh bapa dan gurunya. Setelah kematian ayahnya, ibunya telah berkahwin dengan seorang tokoh Muktazilah iaitu Abu Ali al-Jubba’i.Ini telah mempengaruhi beliau dan telah menguasai ilmu kalam dengan mendalam , bahkan menjadi antara tokoh yang terkenal Muktazilah yang pernah mewakili aliran tersebut dalam perdebatan dengan para ulama’ ahli sunah wal jemaah.
Pengikhtirafan Ulama sezaman terhadap ketokohannya
Ibn Shakir al-Zarkali: hasil tulisan beliau mencecah 300 buah karangan kecil dan besar. Di mana tulisan-tulisan beliau merangkumi bidang akidah, tafsir, syariah dan usul.
Al-Khatib al-Baghdadi: Beliau adalah Ulama kalam yang menulis kitab dan karangan yang banyak khususnya menolak aliran Mulhid dalam masyarakat dan semua aliran bida’ah.
Abu Bakr al-Sayrafi: Aliran Muktazilah mendapat kedudukan tinggi untuk beberapa ketika, sehinggalah beliau diberi petunjuk lalu keluar dan bangkit menentang aliran Muktazilah.
Ibn Khaldun: Menyifatkan beliau tokoh yang menegak dan memperjuangkan aliran ahli sunah wal jemaah sehingga dinisbahkan sebagai aliran al-Asy’ari.
Ibn Asakir : beliau seorang yang wara’, menjaga penglihatan, tinggi kualiti, malu dengan dunia, dan cergas dengan amalan akhirat.
Peringkat-peringkat pemikirannya
Beliau telah melalui peringkat-peringkat pemikiran yang berbeza atas faktor persekitaran yang mempengaruhi pemikirannya. Pada mulanya beraliran Muktazilah kerana memperoleh didikan daripada Abu Ali al-Juba’i,bapa tirinya. kemudian telah bertaubat setelah berumur 40 tahun kerana bermimpi bertemu dengan rasulullah s.a.w meminta beliau bangun dan mendukung dan mempertahankan aliran ahli hadis dan salaf al-ummah. dan mengisytiharkan keluar dari mazhab tersebut pada hari Jumaat di Masjid Jami’ Basrah. Kemudian beliau telah mengikuti aliran ahli sunah wal jemaah  melalui pendekatan khalaf atau secara khususnya aliran Abdullah bin Sa’id bin Kilab.
Di peringkat ini, Beliau bangun mengemukakan kritikan dan penentangan terhadap aliran Muktazilah sebagaimana dijelaskan di bukunya  al Luma’ fi al- Rad ‘al-Ahl al Zaigh wa al-bida. Pada peringkat ini juga, beliau jelas menyokong mazhab Imam Ahmad bin Hanbal dalam bukunya al-Ibanah ‘an Usul al-Diyanah.
Metodologi Imam Abu Hasan Al-Asy’ari
Jika dahulu beliau beraliran Muktazilah, dengan menggunakan pendekatan aliran ini dalam akidah yang mendahulukan akal ke atas naqal. Kemudian beliau telah mendapat petunjuk dan bertaubat dari pemikiran Muktazilah dengan mengubah metodologinya kepada menyepadukan antara al-Quran dan hadis dengan menganalisa keduanya berasaskan rasional akal.
Imam Abu Hasan Al-Asy’ari sebagai Mujaddid
Antara asas dan pendekatan tajdidnya dapat disimpulkan seperti berikut:
a)Teladan memenuhi taubat akibat aktiviti penyelewengan pemikiran
Beliau telah diberi petunjuk dan kembali kepada kebenaran. Oleh itu, beliau telah mengisytiharkan taubatnya dan menarik pernyataan beliau sebelum ini dan seterusnya bekerja keras memperbetulkan pemikiran masyarakat serta menentang Muktazilah .Pengisytiharan ini dilakukan di masjid dengan suara yang nyaring bagi menegaskan akan azam beliau untuk memperbaiki penyelewengan-penyelewengan masyarakat dan menentang Muktazilah.
Kesan daripada itu, aliran Muktazilah semakin lemah dan sekali gus berjaya mempertingkatkan keyakinan meluas kefahaman masyarakat yang telah yakin dengan terhadap keterangan-keterangan kitab dan  sunah berasaskan pendekatan ahli sunah wal jemaah. Di sini membuktikan beliau telah memenuhi prasyarat taubat dengan bangkit memperbaiki pemikiran masyarakat yang rosak kepada kebenaran yang tepat dan benar sama ada melalui media lisan atau tulisan.

b)Usaha menangani penyelewengan
Antara usaha yang dilakukan dalam menghapuskan penyelewengan sama ada gerakan Muktazilah, atau golongan mujassimah dan karamiah.
1-      Menyertai perdebatan dan perbahasan dengan pimpinan pelbagai aliran menyeleweng berasaskan objektif kebenaran, beretika dan baik. Menerusi wasilah ini, beliau telah berjaya memperlihatkan kelemahan dan kesilapan pemikiran yang menjadi pegangan golongan yang menyeleweng serta berjaya mengetengahkan bahawa pendokong Muktazilah lebih bersikap terbawa-bawa dan dengan kecenderungan hawa nafsu dan taqlid.
2-      Menggunakan pendekatan persuratan dan penulisan dalam membudayakan penghayatan kebenaran dan kebaikan. Di mana, kepentingan dan keperluan umat Islam untuk membuat pembacaan dan penyelidikan kepada ayat-ayat Allah. Berasaskan ini, beliau telah menggunakan lapangan persuratan dalam mengembalikan kemurnian aqidah dan pemikiran umat kepada landasan pemikiran dan keperibadian yang benar dan diredai Allah.Antara himpunan tulisannya pula melebihi 300 buah kitab mengikut riwayat zakkali dan 55 buah kitab riwayat Ibn Hazm.
3-      Beliau juga membuka madrasah pengajaran supaya dapat melahirkan ilmuan yang ramai sehingga memberi pengaruh besar ke seluruh pelosok dunia. Muncullah ulama’ besar yang menyebar luas pemikiran beliau antaranya al-Qadi Abu Bakr, Syeikh Abu Ishaq, Abd Malik termasuk juga Imam al-Ghazali.
c) Mengasaskan Ilmu Kalam Sunni
Beliau telah menggunakan pendekatan melalui senjata ilmu kalam sebagai senjata menyerang balas. Ini kerana, Kalangan pemimpin Muktazilah menggunakan ilmu kalam sebagai penegak pemikiran aqidah mereka. Beliau dikatakan menggunakan ilmu kalam sunni kerana menggunakan dan menganalisa ayat-ayat al-Quran berasaskan rasional akal bagi menolak kebatilan pemikiran Muktazilah. Melalui pendekatan ini, beliau berjaya  membetulkan dan menghalang perkembangan dan perluasan aliran-aliran tersebut. Pendekatan Baru ini telah meletakkan beliau sebagai tokoh besar yang mengambil pendekatan pertengahan antara Muktazilah dan Muhaddisin.
Ini memberi kesimpulan bahawa agama dan akidah yang benar selari dengan rasional akal dan rasional akal yang sah dan benar ialah yang mendukung agama dan akidah yang sah. Tidak akan berlaku pertentangan antara keduanya, jika berlaku sebaliknya ternyata rasional akal itu tidak sah dan mesti ditolak.
d) Memperkenalkan pendekatan pendidikan akidah uluhiah melalui klasifikasi sifat nafsiah , sifat salbiah dan sifat ma’aniah
Beliau juga adalah ulama’ Islam yang memperkenalkan pendidikan akidah uluhiyah (sifat-sifat Allah) melalui 13 sifat yang diklasifikasikan kepada sifat nafsiah, sifat salbiah dan sifat ma’aniah. Kemudian telah ditambah 7 sifat lagi oleh Imam Abu Mansur al-Maturidi yang dinamakan sebagai kumpulan sifat al-ma’nawiyyah. Ini telah meletakkan umat Islam sebagai asas pendidikan akidah generasi muda dan seterusnya.
Keunggulan pendekatan pendidikan akidah berasaskan konsep sifat 20 begitu kukuh menguasai umat Islam kerana ia diperkukuhkan dengan konsep dan asas daripada dalil-dalil al-Quran dan hadis di samping dalil-dalil rasional akal.
Kesimpulan

Imam Abu Hasan al-Asy’ari telah mengembalikan peranan wahyu mengatasi akal serta menyatukan asas pendalilan dalam akidah Islam kepada naqal dan akal. Di sini menunjukkan bahawa beliau telah membawa pendekatan tersendiri di mana beliau mengambil pendekatan sederhana dan pertengahan mengenai pemikiran falsafah dalam isu-isu yang mempunyai hubungan dengan nas-nas al-Quran dan Sunah. Ini merupakan sesuatu yang tidak dapat dilakukan oleh Hadis dan fuqaha sebelumnya bagi menentang pemikiran yang menyeleweng. Sekali gus memperlihatkan kelebihan beliau dalam memberi sumbangan terhadap akidah umat Islam sehingga kini. Di samping beliau berjaya memberi pengaruh besar sehingga ke pelusuk dunia akan aliran yang di bawa iaitu aliran ahli sunah wal jemaah sehingga melayakkan beliau sebagai ulama’ mujaddid.
* Disusun semula

0 comments:

Post a Comment