Bahagia Allah bersama kita

Tuesday, June 4, 2013

Pemahaman Muallaf dalam Islam



PENDAHULUAN
Pemahaman Muallaf dalam Islam merupakan sesuatu yang perlu kita ambil perhatian dan bagaimana kefahaman mereka terhadap Islam sekali gus memahami dan mengetahui kehidupan dan amalan mereka dalam kehidupan seharian.Ini merupakan perkara penting bagi masyarakat Islam bagi mengetahui sejauh mana tahap kefahaman mereka dalam Islam dan kaitan sejarah hidup mereka memeluk agama Islam serta faktor yang bagaimana sehingga mereka berniat dan bertindak untuk memasuki agama Islam .
Ini menjadi persoalan kepada saya, sejauh mana tahap kefahaman mereka dan bagaimana mereka membawa ajaran dan pegangan hidup mereka dalam melayari hidup sebagai saudara baru atau Muallaf. Maka, di situ kita akan dapat lihat di mana kekurangan dan kelompangan yang boleh kita perbaiki dan atasi supaya tahap kefahaman golongan Muallaf dapat dipertingkatkan sehingga menjadi Muslim yang diredai Allah. Justeru, menjadi tanggungjawab kita sebagai Muslim bagi memberikan hak mereka sebagai saudara baru dan sebagai saudara seakidah.
Di sini saya cuba untuk membincangkan kajian-kajian dahulu yang telah dibuat seperti masyarakat Muallaf Orang Asli di Pahang dan masyarakat Siam di Kelantan. Saya juga akan membincangkan segelintir individu Muallaf yang terkenal di Malaysia dan bagaimana kisah kehidupan mereka dan sejauh mana pemahaman mereka dalam Islam sebelum dan selepas menganut agama Islam.
Justeru, saya berharap kertas kerja ini memberi impak yang besar dalam mencari dan meneroka sejauh mana tahap kefahaman Muallaf dalam Islam di Malaysia khususnya sama ada positif atau negatif dan  sebelum atau selepas golongan Muallaf menganut agama Islam dan bagaimana pandangan Islam dalam menjawab persoalan mereka terhadap ajaran Islam sekiranya pemahaman atau tanggapan mereka terhadap Islam adalah negatif.





Pemahaman Muallaf dalam Islam
Muallaf merupakan orang yang dipujuk dan dijinakkan hatinya dengan harapan dapat menguatkan pegangan mereka terhadap ajaran Islam atau orang yang dipujuk supaya tertarik untuk menganut agama Islam. Ini kerana, Muallaf orang yang baru memeluk agama Islam , imannya masih belum teguh dan mereka berhak mendapatkan sebahagian tertentu daripada harta zakat.2
Selain itu tempoh seseorang yang dikategorikan sebagai Muallaf  adalah mengikut kepada penilaian terhadap individu Muallaf itu dalam usaha mempelajari dan melaksanakan syariat Islam. Walaupun begitu tempoh lima hingga tiga tahun adalah memadai bagi seseorang itu mengenali dan mengamalkan ajaran Islam itu dengan baik dan sempurna.3 Oleh itu, tahap pemahaman individu Muallaf itu adalah berdasarkan tempoh selama ia menganut agama Islam juga merupakan faktor yang boleh dibincangkan.
Manakala Islam merupakan agama yang sangat menitik beratkan soal kedamaian , ketenangan dan kebahagiaan. Perkataan Islam itu juga sangat sinonim dengan perkataan salam yang bermaksud selamat, terjaga terlindung aman dan berasa tenang sama ada secara zahir dan spiritual seseorang. Islam juga merupakan agama yang menjaga dan memelihara kedamaian tanpa mengira rupa paras atau warna kulit sesuatu bangsa sebagaimana sabda baginda ketika ditanya:
 “ Siapakah manusia yang paling disukai Allah ? lalu Nabi SAW menjawab orang yang memberi manfaat kepada orang lain.”
Manfaat yang dimaksudkan tidak hanya terbatas kepada kaum Muslim tetapi memberi syafaat kepada sesiapa jua.1 Ini jelas kepada kita bahawa Islam itu menyeluruh dan manfaatnya tidak hanya kepada Muslim sahaja. Ini lah merupakan faktor penarik bagi orang bukan Islam kepada ajaran di dalam Islam.
Menurut 3 dalam sesi wawancara berhubung asnaf Muallaf telah ditanya antara faktor yang menyebabkan orang bukan Islam tertarik untuk memeluk agama Islam iaitu pertama dari segi keindahan dan ketinggian syariat Islam dalam mengatur proses atau perjalanan kehidupan manusia dalam semua aspek. Islam juga mempunyai garis panduan yang jelas dan ia membabitkan tiga aspek utama iaitu aqidah , syariat dan akhlak.
Tambahan lagi, Islam juga dipandang sebagai aturan hidup yang telah diaturkan dengan misi yang jelas apabila ia dikaitkan dengan hakikat kejadian manusia itu sendiri iaitu sebagai khalifah di muka bumi dengan memakmurkan bumi Allah dan sebagai hamba yang sentiasa mengabdikan dirinya kepada Allah. 3Sebagaimana kejadian manusia di dunia ini telah dijelaskan oleh Allah Taala dalam surah az-Zariat ayat 56 melalui firman-Nya yang bermaksud:
“ Tidak Kami jadikan jin dan manusia kecuali untuk mengabdikan diri kepadaku.”    
Inti pati pengabdian diri manusia kepada Allah ialah menjadikan semua urusan dan aktiviti yang dilakukannya sama ada berbentuk iktikad , kata-kata, atau amalan menepati keredaan dan kesukaan Allah. Maka, manusia yang mengabdikan diri kepada Allah hendaklah mencorakkan tingkah laku dan kehidupannya menepati hidayah dan syariat Allah.5
Seterusnya umat Islam telah berpegang kepada prinsip hamlum minallah wa hamlum minannas. Manusia di muka bumi ini tidaklah dicipta dengan sia-sia melainkan akan kembali kepada Allah dengan bekal yang dapat di dunia untuk akhirat tempat kekal abadi selamanya.3
Ketiga-tiga aspek inilah yang membuatkan yang bukan Islam tertarik dengan Islam iaitu kepercayaan wujudnya Pencipta iaitu akidah Islam, sistem aturan yang diatur dengan sempurna  dan bijaksana iaitu syariat Islam dan keluhuran dalam membentuk insan yang seimbang dari segi intelek , rohani, jasmani dan emosi yang dapat dizahirkan dengan contoh teladan yang baik dan nilai-nilai murni dan penghayatan Islam dalam keharmonian hidup masyarakat yang bersifat kasih sayang , toleransi dan lain-lain iaitu dikategorikan dalam akhlak Islam.3
Selain itu, nilai indah yang terdapat dalam Islam antaranya toleransi juga merupakan faktor penarik orang bukan Islam kepada ajaran Islam. Islam sangat bertoleransi  terhadap kewujudan pelbagai agama di dunia. Menerusi Islam semua masyarakat dapat menganuti agama yang diyakini tanpa sebarang bantahan. Seterusnya Islam sangat mengalakan persaudaraan tanpa mengira agama, warna kulit , bangsa , keturunan dan lain-lain. Di sini terpancar bahawa Islam itu agama yang bertoleransi. Kerana Islam sama sekali tidak memasak masyarakat multi etnik untuk memeluk agama Islam. Sebagaimana dalam firman-Nya dalam surah ala-Baqarah ayat 256 bermaksud:
“Tidak ada paksaan (untuk memeluk)dalam agama Islam...”4
Ini kerana, Islam itu menjaga keharmonian dalam kehidupan pelbagai agama dengan langkah berikut iaitu mengetahui persamaan dan menghormati persamaan dan perbezaan yang memisahkan, memahami nilai hidup bermasyarakat , menghargai dan mengurus kepelbagaian dalam kehidupan beragama, dan mewujudkan keadaan yang selesa untuk menghargai identiti diri dan orang lain.1
Walaupun Islam sangat mengalakkan toleransi dalam aspek namun toleransi Islam bukanlah sewenang-wenangnya dan bebas dalam semua aspek sehingga wujudnya kebebasan tanpa syarat. Dalam Islam, Muslim tidak dibenarkan untuk bertoleransi demi kepentingan atau memenangi sesuatu pihak. Secara khususnya dalam Islam, toleransi tidak boleh diamalkan dalam hal-hal yang melibatkan akidah dan beberapa bahagian dalam syariah. 4
Selain itu, dalam bahagian syariah juga melibatkan hal ibadah iaitu hubungan manusia dengan tuhan dan kemudian beberapa aspek syariah muamalat iaitu hubungan manusia dengan manusia. Meskipun bersyarat tetapi pengamalan toleransi masyarakat manusia akan dapat mewujudkan keamanan dan keharmonian dalam perhubungan manusia dengan manusia. Ini akan dibincangkan dalam pemahaman Muallaf dalam aspek akidah dan syariah.4
Seterusnya, seperti yang kita sedia maklum bahawa  Islam itu merangkumi tiga cabang utama di dalamnya iaitu akidah , syariah dan akhlak. Oleh itu , saya akan meletakkan setiap pemahaman mualaf pada setiap daripada tiga cabang tersebut , kemudian akan diulas dan dikaitkan dengan golongan Muallaf di Malaysia. Perlu diketahui, bahawa pemahaman Muallaf dalam Islam juga boleh dikategorikan kepada dua bahagian iaitu pertama pemahaman Muallaf dalam Islam dari sudut positif dan kedua ialah dari sudut negatif.




Pemahaman Muallaf dalam Akidah
Ketika manusia dilahirkan ke dunia, jiwanya dalam keadaan fitrah. Fitrah manusia adalah kenal kepada tuhan-Nya, cenderung kepada kebaikan dan tidak suka kepada kejahatan.5 Sebagaimana Firman Allah dalam surah ar-Rum ayat 30 yang bermaksud:
Maka hadapkan wajahmu dengan lurus kepada agama Allah, tetaplah atas fitrah Allah yang telah menciptakan manusia menurut fitrah itu
Begitulah fitrah semula jadi manusia berkehendak kepada agama. Tidak kira apa bangsa sekalipun fitrah beragama merupakan agenda utama dalam mengatur kehidupan dunia mereka. Agama Islam merupakan agama yang benar di sisi Allah Taala dan mempunyai garis panduan peraturan hidup yang lurus dan jelas iaitu al-Quran dan al-Sunnah. Agama Islam adalah agama yang dibawa oleh para Rasul. Semua Rasul telah mengajak manusia ke jalan Allah SWT .Mereka telah menyampaikan risalah yang sama iaitu mengesakan Allah SWT iaitu berkait dengan akidah umat Islam.2
Sebagaimana kisah yang berlaku kepada Nur Athiroh Masyaa’il Tan @ Tan Ai Paoyang cuba meminati ajaran Islam sejak di bangku sekolah menengah lagi. Ini kerana dalam kajian psikologi menunjukkan  dalam diri manusia secara tabiinya mempunyai dorongan yang akan mendorongnya mencari hakikat tentang sesuatu kebenaran sehingga ia berpuas hati dengan pencapaian tersebut. Dalam soal mencari kebenaran seseorang yang bukan Muslim akan membuat analisis dan melakukan penilaian terhadap kebenaran sesuatu agama yang sesuai dengan fitrah dirinya.
Akhirnya apabila telah dikenal pasti sesuatu agama yang memberi ketenangan jiwanya , maka ia akan meneruskan pencarian sehingga akhirnya mendapati agama Islam menepati fitrah tabii manusia berkehendakkan ketuhanan yang hak dan beramal dengan ajarannya sehingga dirinya merasai ketenangan dan kebahagiaan yang mutlak. Sepanjang proses pencarian kebenaran sesuatu agama itu, saudara Muslim akan menghadapi situasi kesamaran , ketidakyakinan, kekeliruan dan kesangsian dalam diri mereka yang akhirnya akan membawa kepada cabaran spiritual dalam pencarian dan menentukan agama yang seiring dengan fitrah dirinya.
Situasi ini juga berlaku kepada Izzud Deen Abdullah @Rano hasil temu ramah  saudara Muslim pada julai 2007 di Universiti Kebangsaan Malaysia mendapati beliau juga cuba mengenal Islam sebelum mengucap dua kalimah.kenyataan ini dikuatkan lagi dengan kisah saudara Muslim Mohamad Dharmalingan yang memeluk agama Islam pada 27 April 1979.Beliau ditemu ramah oleh Noorzila Jamaludin dari majalah Al-Islam keluaran Disember 1994. Beliau telah mengecapi nikmat memeluk agama Islam setelah sekian lama mencari kebenaran Islam sejak dari kecil dan sering mengucapkan perkataan Ahad.2 Berikut merupakan kisah saudara baru yang berkeinginan dengan fitrah ingin mencari agama yang diredai.
Tambahan lagi,  terdapat juga saudara baru kita yang memeluk agama Islam atas banyak faktor-faktor lain untuk memeluk Islam. Berikut hasil dapatan kajian yang didapati daripada kalangan saudara baru masyarakat Siam di Kelantan .Antaranya sebabnya ialah berkahwin , kerelaan sendiri, pengaruh rakan dan lain-lain. Hasil kajian menunjukkan kerelaan sendiri atau atas kehendak hati mereka sendiri merupakan faktor yang tertinggi berbanding faktor berkahwin dan pengaruh rakan.7
Namun begitu , terdapat juga faktor utama memeluk agama Islam iaitu perkahwinan. Berikut ialah dapatan kajian yang dibuat kepada masyarakat Orang Asli di Negeri Pahang. 6 Selain itu terdapat faktor-faktor lain iaitu hidayah Allah s.w.t dan pengaruh rakan sebaya. Masyarakat ini tertarik kepada ajaran Islam adalah disebabkan hidayah seta keinginan hati, tertarik kepada habuan , terpengaruh oleh janji-janji pemimpin perkahwinan dan tawaran pembangunan. Namun, kajian ini menyimpulkan bahawa mereka yang memeluk agama Islam berdasarkan hidayah dan kerelaan hati , maka kesan terhadap ajaran yang mereka perolehi setelah memeluk agama Islam adalah amat berkesan berbanding mereka yang memasuki agama Islam kerana habuan, tawaran pembangunan dan perkahwinan.
Maka dapat disimpulkan bahawa pemahaman seseorang Muallaf itu juga bergantung pada niat dan kehendak hatinya dalam mencari kebenaran Islam. Seandainya hatinya tulus ikhlas dalam berusaha mencari cahaya agama Allah, maka Allah akan hadir memberi hidayah atau petunjuk bagi mereka yang benar berkehendak kepada-Nya. Namun, masyarakat Islam juga perlu sedar bahawa peranan mereka bagi membetulkan niat dan sentiasa bersama memberi bimbingan dan ajaran Islam supaya Muallaf yang memasuki agama Islam selain kerelaan hati dapat menjadi Mukmin sejati setelah dilatih dan diasuh dengan ajaran tauhid , fiqh dan akhlak. Oleh itu, di situlah peranan pendakwah atau masyarakat khususnya bagi mengambil berat dan memerhatikan setiap tindak tanduk mereka agar sentiasa dalam landasan Islam dan berpegang teguh dengan ajaran Islam dan mengamalkan dengan sepenuh kerelaan hati.
            Seterusnya dapatan kajian yang menunjukkan tahap pemahaman daripada kalangan saudara baru masyarakat Siam di Kelantan. Hasil dan dapatan kajian ini didapati kebanyakan responden memahami tentang konsep kefahaman Islam dengan baik sekali. Mereka mengetahui konsep ketauhidan kepada Allah dan menyedari tentang amalan-amalan ibadat yang wajib bagi seseorang Muslim . Ini dapat disimpulkan bahawa konsep pemahaman terhadap Islam dapat difahami dengan baik sekali. Namun begitu, saya dapati bahawa analisis yang dibuat tidak menyeluruh dan masih perlukan pembaikan misalnya memasukkan soalan yang lebih maksimum supaya melengkapi keseluruhan kefahaman berkenaan dengan rukun iman yang enam dan rukun Islam yang lima dengan sempurna.
Ini kerana, Kepercayaan kepada rukun iman merupakan asas penting dan paling utama bagi Muallaf khususnya. Rukun iman iaitu kepercayaan kepada Allah, Malaikat, Kitab, Rasul, Hari Kiamat dan Qada’ dan Qadar. Sekiranya ini tidak dapat difahami dengan baik, maka tiadalah nilai iman mereka. Pemahaman mereka berdasarkan konsep rukun iman yang enam merupakan perkara yang perlu dipandang berat dan sangat perlu diberi bimbingan dan pengajaran secara berterusan agar kefahaman atau pemahaman mereka terhadap konsep iman dapat dibetulkan dan diteguhkan sehingga kepada tahap yakin.
Namun perlu juga di ambil perhatian bahawa, toleransi Islam tidak wujud kompromi dalam hal akidah. Ini disebabkan akidah ialah perkara pokok yang menunjukkan ia adalah seorang Muslim seperti mengucapkan dua kalimah syahadah menandakan seseorang memeluk agama Islam. Akidah diibaratkan seperti sebuah kepercayaan yang kukuh di dalam jiwa manusia akan keimanan dan hukum-hukum Allah seperti tali yang tersimpul dan tidak dapat dirungkai lagi. Andai terjadi toleransi dalam hal akidah ini, memberi makna bahawa perkara kunci yang menandakan seseorang Islam itu juga sudah tiada.4
Kerana itu, pemahaman akidah bukan sekadar yang asas tetapi adat atau budaya yang bertentangan dengan Islam  daripada keluarga Muallaf  yang belum Islam juga perlu diberi kefahaman dan bimbingan tentangnya serta saudara Muallaf boleh menolak secara baik apa yang bertentangan dengan ajaran Islam.
 Begitu juga kepada tahap pemahaman mereka kepada konsep rukun Islam yang lima mereka juga memahami konsep rukun Islam  ini dengan baik sekali iaitu mengucapkan dua kalimah syahadah, menunaikan solat lima waktu sehari semalam, berpuasa pada bulan Ramadhan, mengeluarkan zakat dan akhir sekali menunaikan haji bagi yang berkemampuan. Ini dapat disimpulkan bahawa, kefahaman tentang konsep rukun Islam perlu diberi perhatian. Jika mereka belum memahami, adalah menjadi tanggungjawab kita untuk melaksanakan tugas menyampaikan dan mengajar tentang konsep ajaran rukun Islam yang lima ini supaya menjadi sesuatu perkara wajib di fahami dan di dalami dengan penuh penghayatan  oleh setiap orang Islam.
Tambahan lagi, saya melihat bahawa kajian yang telah dibuat sebenarnya untuk mencari pemahaman Muallaf berkenaan dengan ilmu yang telah mereka dapat dan fahami.Ini bertujuan bagi melahirkan golongan Muallaf yang sempurna dan mempunyai matlamat iaitu semakin mendekatkan diri kepada Allah s.w.t dan mendapat kebahagiaan hidup di dunia dan di akhirat. Kerana itu, kajian itu dibuat untuk mengetahui sejauh mana tahap kefahaman Muallaf  dalam ilmu fardu Ain  mereka.
Bila berbicara soal ilmu yang telah dikaitkan dengan pemahaman individu Muallaf sebenarnya ia memang sangat berkait rapat. Ini kerana, ilmu merupakan panduan bagi kefahaman bagi seseorang Muallaf. Justeru, dapat dilihat bahawa, ilmu fardu ain ini merupakan ilmu asas yang wajib dipelajari oleh semua orang dan Muallaf khususnya. Menurut Imam Al-Ghazali hukum mempelajari sesuatu ilmu  menjadi fardu ain iaitu menjadi tanggungjawab yang wajib dipikul oleh setiap individu , sementara ilmunya berkaitan syariah dan segala cabangnya dimulai dengan menghayati al-Quran dan ibadat dasar seperti syahadah , solat, puasa, zakat dan lain-lain kerana ia merupakan ilmu untuk mengetahui cara mengamalkan perkara yang wajib. Ilmu fardu ain terdiri daripada tiga bidang asas iaitu:
1-      Iman yang berkaitan dengan kepercayaan (iktikad) .Ia wajib dipelajari oleh setiap Muslim .Al- Ghazali berpendapat lagi bahawa sudah cukup mempelajari dan menerima secara takliq (ikutan) sahaja.
2-      Melaksanakan perintah-perintah agama iaitu berkaitan kehidupan seharian. Misalnya wajib mempelajari bagaimana melaksanakan kewajipan ibadat.
3-      Menghindarkan diri daripada larangan-larangan Allah. Wajib bagi setiap Muslim mengetahui semua perkara larangan Allah.
Ini merupakan perkara asas yang perlu difahami oleh Muallaf bagi memahami Islam dengan baik.

Pemahaman Muallaf dalam Syariah
Syariah boleh meliputi segala bidang antaranya, ibadah,  perkahwinan, muamalat perniagaan, ekonomi, politik, sosial, perundangan, pendidikan dan sebagainya. Ini adalah yang berkaitan dengan hukum-hakam syariah.
Berikut adalah dapatan kajian daripada amalan masyarakat Siam di Kelantan menunjukkan responden memberikan respon yang positif setelah memeluk agama Islam. Berdasarkan analisis yang dibuat, menunjukkan responden telah melakukan amalan Islam dengan sempurna. Terutamanya sekali dalam ibadat-ibadat wajib seperti puasa dan sembahyang. Di samping itu, mereka juga melaksanakan amalan-amalan yang boleh mendatangkan pahala seperti membaca al-Quran, menghadiri ceramah-ceramah agama, berpakaian menutup aurat dan juga menitik beratkan soal halal haram dalam kehidupan mereka. Mereka juga bergaul dalam kelompok masyarakat majmuk. Meskipun terdapat segelintir di kalangan mereka yang masih mengamalkan amalan adat masyarakat tradisi Siam iaitu adat laikatong iaitu satu perayaan berbentuk kesenian yang merupakan adat membuang sial dalam diri sesorang.7
Oleh itu, peranan masyarakat dan pendakwah khususnya berperanan sekali lagi bagi memastikan kefahaman mereka jelas dan tidak bertentangan dengan ajaran agama Islam. Pemahaman bagi Muallaf terhadap Islam perlu dipertingkatkan dari segi amalan harian mereka diisi dengan amalan-amalan yang boleh membawa manfaat dan kebaikan yang selari dengan tuntutan syarak.
Pemahaman kepada Muallaf ini juga perlu diberikan berdasarkan faktor sekeliling mereka, umpamanya , sekiranya mereka ingin membuang sial di dalam diri mereka, perlulah diajar akan cara atau garis panduan yang telah ditetapkan oleh agama Islam dengan membaca doa-doa tertentu , solat hajat dan sebagainya bagi menolak musibah dan dimudahkan urusan. Oleh itu, amalan-amalan harian Muallaf  Siam ini perlu dipenuhkan dengan amalan-amalan Islam dalam kehidupan harian mereka sehingga mereka tidak merasa susah untuk dilakukan dan berterusan diamalkan. Bagaimanapun hasil dapatan kajian secara keseluruhannya , saudara baru masyarakat Siam di Kelantan telah mencapai tahap kefahaman dan amalan agama Islam yang agak baik. Ini terbukti mereka menjadikan Islam sebagai jalan untuk mencapai keredaan illahi.
Tambahan lagi, kajian penduduk masyarakat Orang Asli di Pahang juga memberangsangkan .Ini disebabkan hasil kajian di kalangan mereka telah mengamalkan ajaran Islam dengan baik sebagai contoh membaca doa ketika makan, makan makanan yang halal, dan menjaga kebersihan. Tahap pemakaian mereka juga bersih dan menutup aurat. Dari segi sosial pula, mereka sangat sukakan aktiviti bersama atau yang berbentuk kemasyarakatan. Kehidupan mereka juga tidak berpuak-puak seperti dahulu. Dari segi ekonomi pula mereka mampu untuk berdikari dan sebahagian mereka telah mencapai kejayaan. Dari segi pendidikan Islam, juga tidak dilupa, masyarakat Orang Asli ini mampu mengambil wudu’ dan melakukan solat dengan sempurna. Ini kerana, hasil daripada program-program ceramah , latihan amali , kelas fardu ain dan  kursus-kursus dilihat sedikit sebanyak menyumbang ke arah keberkesanan dalam meningkatkan tahap kefahaman masyarakat Orang Asli Muallaf di Negeri Pahang.4
Namun harus diteliti juga dalam soal ibadah, Islam tidak membenarkan sebarang bentuk toleransi dalam soal ibadah khusus seperti solat, puasa, zakat, dan sebagainya. Islam tidak memaksa untuk memeluk agama Islam namun Islam tidak bebas dalam pengamalan ibadah selain Islam, lantaran ibadah adalah tiang bagi seseorang Muslim , maka tiada toleransi dalam hal tersebut. Jika seseorang dapat berkompromi dalam hal demikian maka ia menafikan rukun Islam iaitu kunci atau syarat beragama seorang Islam. Islam melarang umatnya mengamalkan ibadah agama lain, sama ada untuk berkompromi sahaja dalam hal ibadah agama lain tersebut.4
Seterusnya dalam aspek perkahwinan, dapatan kajian membuktikan antara faktor utama masyarakat Orang Asli di Pahang menganut agama Islam ialah kerana perkahwinan. Justeru, saya akan cuba membincangkan soal perkahwinan lebih dalam dan sejauh mana tahap kefahaman atau pemahaman mualaf dalam perkahwinan dalam Islam.
  Sering kali kita akan mendengar ramai Muallaf juga memasuki atau menganut agama Islam disebabkan atas faktor perkahwinan. Hakikatnya inilah yang mendorong mereka untuk memeluk agama Islam. Perlu difahami bahawa Allah s.w.t itu memberikan hidayah-Nya kepada sesiapa sahaja yang dikehendaki dan hidayah itu juga datang melalui pelbagai cara dan salah satu daripadanya adalah melalui perkahwinan.
Pemelukan agama Islam oleh seseorang Muallaf atas dasar untuk bernikah dengan orang Islam hanyalah sebagai suatu  penyebab mengapa ia memeluk Islam. Masyarakat kita sering kali menyelar tindakan ini dengan melabelkan seseorang itu memeluk Islam kerana hendak berkahwin.Ini merupakan satu tanggapan yang salah. Apabila tanggapan ini diberikan kepada  Muallaf menyebabkan mereka seperti tidak diiktiraf oleh masyarakat Islam. Oleh itu, masyarakat Islam khususnya seharusnya berperanan dalam mengurus urusan Muallaf bagi yang berkemampuan dengan memberikan bantuan , bimbingan serta sokongan daripada semua pihak.7
Bagaimanapun dalam hal perkahwinan , tiada perkahwinan dengan agama lain. Islam tidak bertoleransi dalam hal perkahwinan .Sekiranya wujud hanya akan menyebabkan berlakunya kekeliruan dan kekacauan. Ini kerana, toleransi Islam bagi mewujudkan keamanan dan keharmonian dalam perhubungan sesama Muslim mahupun sesama non-Muslim.
Perlu difahami bahawa, kesan apabila berlaku perkahwinan , sebelum atau selepas mengucapkan kalimah syahadah kemudian  telah menganut agama Islam, Muallaf mesti difahamkan segera dengan perkahwinan tersebut boleh mendatangkan kesan antaranya ialah sekiranya salah seorang daripada pasangan suami atau isteri telah memeluk agama Islam, maka mereka mempunyai tempoh idah iaitu selama tiga quru’ . Jika dalam tempoh tersebut salah sorang daripada mereka (suami atau isteri) masih kekal dengan agama asalnya yakni tidak memeluk agama Islam , maka perkahwinan itu terbatal dengan sendirinya dan sekiranya kedua-dua telah memeluk agama Islam, maka tidak perlu akad yang baru.
Selain itu, seseorang anak yang dalam sesebuah keluarga memeluk Islam, sebenarnya tidak terjejas dan tidak terputus sama sekali. Sebagaimana segelintir Muallaf berpandangan terputus hubungan kekeluargaan.Ini kerana, banyak berlaku ibu bapa yang tidak dapat menerima kerana anak mereka sudah menganut agama Islam. Namun,  Di sinilah terletaknya keindahan Islam yang mengajar umatnya supaya sama sekali tidak memutuskan hubungan kekeluargaan meskipun ibu bapa mereka masih belum menerima anak mereka setelah menganut agama Islam.    
Tambahan lagi, seseorang anak yang telah memeluk agama Islam terhadap ibu bapanya yang belum  beragama Islam masih lagi sama dan dituntut seperti menghormati dan mengasihi kedua ibu bapa, menziarahi keduanya sekiranya perlu, menjaga ketika sakit , memberi nafkah dan sebagainya. Islam tidak meletakkan sebarang perbezaan dan tembok pemisah sekalipun mereka berlainan agama. Oleh itu , si anak wajib mentaati kedua ibu bapanya selagi mana keduanya tidak menyuruh kepada perbuatan maksiat dan mungkar.
Walau bagaimanapun, perlu diketahui bahawa batas pergaulan antara seseorang Muallaf sama ada lelaki atau perempuan dengan ahli keluarganya yang bukan Islam adalah sama dengan batas pergaulan atau aurat di antara orang Islam dengan bukan Islam yang lain.7
Tambahan lagi, si anak tidak boleh menghadirkan diri dalam sebarang majlis atau perayaan keluarganya yang melibatkan upacara keagamaan bukan Islam. Ini kerana, terdapat batas dan halangan tertentu dan ia adalah melibatkan persoalan akidah sekalipun hanya sekadar untuk menghormati keluarganya. Si anak boleh menghormati keluarganya yang bukan Islam apabila ia melibatkan hubungan sesama insan seperti berbuat baik, bantu-membantu, hormat-menghormati kepada kedua-dua ibu bapa dan keluarga yang lain.

Pemahaman Muallaf dalam Akhlak
Dewasa ini, masyarakat Islam tidak lagi menjaga akhlaknya. Akhlak yang dianjurkan oleh Islam tidak lagi menjadi satu amalan bagi umat Islam. Islam menjadi kabur kerana akhlaknya tidak dihayati. Islam juga telah  di salah fahamkan kerana akhlaknya ditinggalkan. Ini menyebabkan kekeliruan segelintir Golongan Muallaf terhadap akhlak umat Islam kerana disebabkan oleh akhlak masyarakat Islam yang gagal mencerminkan kemuliaan akhlak.  
Sebagaimana telah berlaku oleh Sebahagian besar daripada kita tentu sudah mengetahui bahawa artis terkenal di Malaysia iaitu Adam Corie atau nama sebenar beliau ialah Corie Lee telah menganut agama Islam. Di dalam kesyukuran umat Islam kepada Adam kerana telah menganut agama Islam, namun turut hadir sebahagian masyarakat Islam yang mengucapkan sesuatu yang tidak baik dan merendah-rendahkan agama yang telah dianuti oleh Adam Corie sehingga beliau membalas dengan kata-kata sebagai tanda luahan kesal kepada segelintir masyarakat yang berpandangan negatif terhadap beliau.  Berikut ialah pernyataan beliau di laman sosial muka buku “Ooo macam ni rupanya pandangan segelintir masyarakat pada saudara baru seperti saya. saya peluk Islam kerana saya mencari pegangan dalam hidup saya setelah mengkaji semua agama, bukan kerana wanita , harta, politik, dan nama. hanya kerana Allah Taala. Hati memang terguris tapi tak mengapa saya maafkan mereka semua, semoga Allah rahmati kita semua.”
Tambahan lagi, sebahagian saudara Muallaf yang baru memeluk agama Islam juga mengakui segelintir masyarakat Melayu Muslim memberi bimbingan utama dengan mengubah corak dan cara hidup Muslim. Misalnya,  menyediakan pakaian baju kurung bagi saudara Muslim wanita, mengajar memakai kain sarung , memakai jubah dan serban , tidak perlu ziarah dan menyambut perayaan seperti tahun baru cina. Dengan suasana begini , jelas menunjukkan masyarakat tidak cuba memahami bahawa kemungkinan wujudnya sensitiviti  di kalangan saudara Muslim kerana mengubah cara dan gaya hidup mereka yang selama ini perbuatan dan amalan tersebut tidak sekalipun bertentangan dengan tuntutan agama. Oleh sebab itu, secara umumnya masyarakat cina beranggapan bahawa menukar agama kepada agama Islam bererti masuk Melayu. 2
Begitulah di dalam Islam mementingkan pendidikan akhlak, seperti yang telah dinyatakan, Rasulullah s.a.w yang berakhlak mulia dan diutus untuk menyempurnakan akhlak manusia. Baginda adalah contoh dan ikutan yang baik dan akhlak baginda juga umpama jelmaan dari ajaran al-Quran. Masyarakat Islam boleh mengambil semula sirah akhlak nabi Muhammad s.a.w kepada saudara yang baru memeluk agama Islam. Menurut Ibn al-Athir : Akhlak adalah gambaran batin insan , tingkah laku dan budi pekerti yang lahiriah (al-suluk)adalah gambaran  sifat-sifat akhlak yang batin itu. Akhlak juga telah disimpulkan oleh ulama’ iaitu akhlak ialah sifat maknawi dan kejiwaan ia terjelma dan lahir melalui tingkah laku dan budi pekerti seseorang, akhlak adalah asas sumber tingkah laku dan budi pekerti dan gambarannya,  tingkah laku yang buruk menggambarkan akhlak yang buruk dan demikian sebaliknya.
 Oleh itu, gambaran yang buruk jika ditonjolkan hanya akan membuat orang bukan Islam membenci agama Islam sedangkan ia datang daripada masyarakat Islam itu sendiri. Justeru, akhlak merupakan dakwah utama bagi menarik mualaf iaitu orang yang belum menganut agama Islam yang dijinakkan hatinya agar tertarik dengan Islam. Ini secara langsung merupakan dakwah yang paling berkesan yang pernah dilakukan oleh baginda Nabi Muhammad s.a.w. Sekali gus, mengubah minda orang bukan Islam kepada keindahan akhlak dalam Islam dan masyarakat Islam khususnya.
Namun begitu, pemahaman Muallaf dalam Islam dapat dilihat juga dalam hasil dapatan kajian saudara baru masyarakat Siam di Kelantan telah dibuat kesimpulan bahawa mereka telah mengetahui tentang pahala dan dosa, mereka telah mengaplikasikan akhlak dan akidah Islam dalam kehidupan seharian. Mereka telah difahamkan bahawa  Islam sangat menggalakkan umatnya menjalinkan hubungan yang baik sesama manusia, tidak mengira bangsa, warna kulit , adat mahupun budaya. Kerana itulah pergaulan mesra di kalangan semua bangsa terjalin erat. Walaupun telah bergelar Muslim, mereka masih berhubung dengan bangsa mereka yang tidak Islam dengan baik sekali. Begitu juga dapatan kajian masyarakat orang Asli di Pahang , mereka tidak lagi berkawan dengan puak-puak mereka sendiri. Mereka juga lebih senang berkawan dengan suku bangsa yang berlainan dengan mereka.   Jelas sekali ini memperlihatkan bahawa mereka tidak pernah  merasa tersisih dalam kelompok asal mereka. Hubungan persaudaraan mahupun persahabatan masih boleh diteruskan walaupun telah bergelar seorang Muslim.
Justeru, keindahan akhlak dalam Islam perlu diberi perhatian yang sewajarnya agar golongan Muallaf tidak berasa tersisih dengan menyediakan keperluan, bimbingan dan kebajikan atau kewangan yang sepatutnya agar mereka merasakan agama Islam ialah agama yang sentiasa menjaga kebajikan saudara baru seperti mereka dan memelihara mereka yang tidak berupaya dan yang perlukan bantuan.
Penutup
Islam adalah agama yang syumul. Ruang lingkupnya mencakupi segala keperluan manusia iaitu akidah , syariah dan akhlak. Islam menghormati dan menjamin hak-hak individu dan masyarakat tanpa mengira kedudukan dan status seseorang, sama ada lelaki atau perempuan. Hak-hak orang bukan Islam juga dipelihara dan dihormati.
Muallaf di Malaysia telah diberikan keadilan dari segi hak-haknya. Pelbagai usaha telah dilakukan dan dilaksanakan. Ini kerana masyarakat Islam memahami bahawa keadilan dalam Islam berteras kepada tauhid. Justeru keadilan adalah sebahagian daripada tuntutan ajaran Islam yang perlu ditegakkan dan dilaksanakan dalam kehidupan bermasyarakat dan pemerintahan. Begitu juga Dari perspektif Islam kehidupan manusia mencakupi bukan sahaja tuntutan kebendaan dan hubungan sesama manusia dalam bidang muamalah, bahkan mencakupi ibadat.
Tambahan lagi,  Muallaf dituntut untuk memahami bahawa Ibadat adalah suatu tuntutan syarak yang mesti dilaksanakan oleh setiap individu Muslim iaitu dengan melakukan perkara yang disukai oleh Allah s.w.t. sama ada perkataan atau perbuatan, zahir dan batin. Tuntutan dalam melaksanakan perintah ibadat tidak dibezakan antara lelaki dan perempuan. Begitu juga dengan balasannya. Selain itu, golongan Muallaf juga perlu difahamkan dengan matlamat dalam kehidupan orang Islam adalah untuk mendapatkan kebahagiaan hidup di dunia dan di akhirat dan matlamat mereka diciptakan.
Sehinggalah kepada pembentukan masyarakat bermula daripada keluarga dan rumah tangga juga mesti difahamkan kepada golongan Muallaf bahawa unit-unit keluarga ini akan membentuk masyarakat dan ummah. Islam memberi garis panduan bagaimana sesebuah rumah tangga itu dibentuk dengan cara yang adil dan sesuai dengan naluri manusia.

Justeru manusia itu tiada perbezaan kejadiannya khususnya Muallaf dan Islam memberikan hak persamaan dari sudut agama, pemilikan harta , sosial, ekonomi , pentadbiran , pendidikan dan sebagainya perlu difahamkan secara menyeluruh kepada golongan Muallaf dari pandangan perspektif Islam.

*Bina Ukhuwah dalam bersama mengajak Muallaf ke syurga bersama~ 

0 comments:

Post a Comment