Bahagia Allah bersama kita

Monday, April 1, 2013

SUMBANGAN AL-BUKHARI DALAM BIDANG AKIDAH





Imam al-Bukhari adalah seorang tokoh hadis yang paling agung dari segi keilmuan dalam bidang hadis dan juga termasuk  sumbangannya dalam bidang akidah. Namanya lebih terkenal berbanding imam-imam hadis yang lain. Di antara kitabnya ialah al-jami al-sahih atau lebih dikenali sebagai sahih al-Bukhari iaitu merupakan kitab yang paling sahih dan telah  menjadi sumber pegangan utama selepas al-Quran kepada pengikut Mazhab Sunni.

Riwayat Hidup Imam al-Bukhari Secara Ringkas
Nama diberi Abu Abdullah Muhammad bin Abu al-Hassan Ismail bin Ibrahim bin al-Mughirah al-Bukhari bin Bardizbah al-Ju’fi. Dilahirkan pada hari Jumaat 13 Syawal tahun 194H/21 Julai tahun 810M. Imam al-Bukhari mulai berkecimpung dalam ilmu hadis serta menghafaznya pada umurnya dalam lingkungan 10 tahun. Ketika berumur 25 tahun, beliau sudah menjadi ahli hadis yang disegani oleh para ulama. Lebih 1000 orang ahli hadis yang ditemui di antaranya di Negara Asia Barat dan Mesir. Beliau juga seorang tokoh yang sangat bijaksana dan kuat ingatnya. Ini terbukti beliau telah menghafaz tidak kurang 600,000 hadis. Beliau telah meneliti dan menyaring hadis-hadis dengan cermat , akhirnya yang diakui kesahihannya hanyalah sekitar 7,275 hadis sahaja. Kemudian hadis itu di himpun menjadi kitab sahih al-Bukhari. Antara sifat-sifat keperibadiannya ialah beliau seorang yang rajin bangun malam dan membaca al-Quran, dermawan serta sangat menjaga maruah dan kehormatan diri. Akhirnya beliau wafat pada umur 62 tahun pada malam Sabtu bersamaan 256H.

Peranan al-Bukhari dan Sumbangannya dalam Akidah
Ini terbukti apabila dilihat dan diteliti dua perkara berikut :

Pertama: Usaha al-Bukhari mengumpul hadis-hadis akidah yang dan disusun dalam bab-bab khusus dalam kitabnya al-jamiai al-sahih.
Beberapa tajuk aqidah dalam bab-bab hadis yang disusun oleh beliau yang menjadi asas dan hujah oleh tokoh Akidah Sunni dalam menghurai permasalahan akidah .Berikut mengenai:
1.      Konsep Iman pengertiannya dan cabang-cabangnya dijelaskan dalam kitab al-Iman Bab 1-58
2.      Keimanan kepada Allah dan mentauhidkan-Nya dijelaskan dalam kitab al-tauhid Bab 1-58
3.      Keimanan pada Malaikat dijelaskan dalam kitab badi’ al-khalq Bab 6 dan 7.
4.      Kitab-kitab Allah khususnya al-Quran diterangkan dalam kitab fadail al-Quran Bab 1-36
5.      Rasul-rasul dijelaskan dalam kitab al-ambiya’ bab 1-54 dan mengenai Nabi Muhammad S.A.W diterangkan dalam kitab al-manaqib bab 17-28.
6.      Hari Kiamat dan alamat-alamatnya dijelaskan dalam kitab al-Ruqaq bab 39-49 dan bab 23-28
7.      Syurga dan Neraka diterangkan dalam kitab badi al-khalaq bab 4-15 dan dalam kitab al-riqaq bab 48-53
8.      Qada’ dan Qadar pula diterangkan di dalam kitab al-qadar bab 1-17

Kesimpulannya ialah bahawa hadis-hadis yang dikumpul oleh al-Bukhari mengenai akidah telah mencukupi menjadi asas akidah Islam yang sempurna dan sah bagi pegangan seorang Muslim.

Kedua: Imam al-Bukhari juga menulis sebuah kitab khusus mengenai akidah yang dinamakan Khalq Af’al al-Ibad.
Antara perkara yang dibincangkan ialah pada mulanya membincangkan tentang al-Quran dan menolak pandangan golongan Jahmiah yang menyatakan al-Quran itu makhluk. Kemudian mengenai perbuatan manusia, beliau menyatakan pandangan dan sokongan dengan Ahl-Hadis iaitu dengan menyatakan bahawa perbuatan manusia itu ialah berusaha dan berikhtiar sahaja.

Akidah al-Bukhari dan Mazhabnya
Beliau berpegang kepada kitab Allah dan Sunnah Rasulnya sama ada isbat atau nafi iaitu mengisbatkan apa yang diisbatkan dan menafikan apa-apa oleh Allah dan Rasul-Nya dalam semua permasalahan akidah tanpa membuat apa-apa takwilan mengikut akal fikirannya sendiri dan berpegang kepada kata-kata sahabat dan ulama-ulama salaf.

Antara permasalahan akidah yang dijelaskan oleh al-Bukhari
a)      Masalah sifat Allah dan namanya
Al-Bukhari mengisbatkan semua sifat Allah dan nama-nama-Nya sama ada sifat zat dan sifat perbuatan.
b)      Perbuatan Manusia
Al-Bukhari mengatakan bahawa pergerakan mereka (manusia) , suara, usaha dan tulisan mereka adalah makhluk. 
c)      Masalah Kalam Allah / Al-Quran
Al-Bukhari juga berpegang pada golongan ahl-Sunnah iaitu mengatakan bahawa kalam Allah itu bukan makhluk iaitu bukan kejadian Allah bahkan satu sifat daripada sifat-sifat-Nya yang qadim.
d)     Berlafaz dengan al-Quran
Al-Bukhari jelas membezakan antara bacaan dengan yang dibaca, antara tulisan dengan yang ditulis. Bacaan al-Quran, suara bacaan , dan tulisan al-Quran adalah perbuatan makhluk. Manakala yang dibaca dan yang ditulis adalah kalam Allah yang qadim bukan makhluk.  

Kesimpulan
Al-Bukhari telah memainkan peranannya dengan menyumbang nas-nas yang berkaitan dengan akidah terutamanya sumbangan beliau dalam mengumpulkan hadis yang sohih berikutan ia merupakan asas-asas kukuh dalam nas-nas untuk dijadikan hujah dan dalil-dalil selepas al-Quran. Demikian itu, beliau berpegang kepada zahir nas sama ada al-Quran atau sunnah tanpa membuat takwilan. Kerana itu, beliau bermazhab ahli salaf . Tambahan pula,  bagaimana beliau telah menyelesaikan masalah yang berkaitan dengan akidah dengan menyediakan hujah-hujah yang sohih, agar mampu mengelakkan penyelewengan dalam sudut pegangan  akidah masyarakat terdahulu dan kemudiannya boleh terus digunakan pada akhir zaman ini. 























0 comments:

Post a Comment