Bahagia Allah bersama kita

Monday, April 1, 2013

PEMASUKAN ELEMEN ‘ILM AL-KALAM DALAM PENGHURAIAN KAEDAH MANTIK: ANALISIS TERHADAP PERCUBAAN ILMIAH AL-GHAZZALI








Al-Ghazzali merupakan tokoh  ilmuwan terkenal dalam bidang mantik dan digelar sebagai hujjat al-Islam. Al-Ghazzali telah  mengiktiraf  kepentingan Mantik dalam perbahasan ilmiah dan tidak melihat Mantik sebagai suatu ilmu asing yang haram dipelajari serta dilihat sebagai suatu alat yang menjadi neraca ukuran(mi’yar) bagi menilai kesahihan sesuatu pandangan atau fikrah dengan memasukkan elemen ilmu Islam dan menyelitkan isu-isu pemikiran Islam dalam penghuraian kaedah Mantik yang diwarisi oleh tamadun Greek.

Isu-isu kalamiyyah dalam perbahasan Mantik
‘Ilm al-Kalam dalam perbahasan Mantik
‘ilmu al-Kalam adalah suatu ilmu yang asas dan penting dalam tradisi ilmu Islam. ’Ilm al-Kalam pada asalnya bersih dan tidak bercampur aduk dengan fikrah asing sehinggalah munculnya kurun kelima hijrah kerana dimasuki dengan elemen asing khususnya ilmu falsafah yang dikaitkan dengan Aristotle.
Ia membolehkan individu yang menguasai ilmu Mantik mempertahankan pandangan terutamanya para Mutakallim dan amalan terpuji yang dinyatakan oleh Allah SWT sebagai penggubal prinsip agama ( Wadi’ al- Millah) serta membatalkan segala pandangan yang bertentangan dengannya. Ilmu ini diklasifikasikan sebagai religious sciences kerana semua ilmu agama yang lain bergantung pada disiplin ilmu mantik . Antara nama lain yang sinonim atau hampir sama seperti al-Fiqh al-Akhbar, ‘ilm Usul al-al-Din, ‘ilm al-Aqa’id , ‘ilm al-Tawhid dan ‘ilm al-Tawhid wa as-Sifat.
Menurut al-Ghazzali: Tidak semua orang perlu mempelajarinya, hanya individu yang mempunyai tahap keilmuan absolut yang tinggi dan mempunyai pengetahuan tentang semua disiplin ilmu agama yang lain. 
Kecenderungan  umum di kalangan mutakallimin untuk mengguna suai Mantik sebagai kaedah berhujah dalam karya ‘Ilm al-Kalam dengan tujuan untuk menegakkan al-Burhan bagi membuktikan kewujudan Allah SWT, sifat dan perbuatan-Nya dan kebenaran kerasulan para Rasul.
Antara karya-karya Mantik al-Ghazzali iaitu kitab al-Mustasfa min ‘ilm al-usul, Kitab al-Qistas al-Mustaqim (Neraca Timbangan Yang Tepat) , Mi’yar al- Ilm (Neraca Ukuran Ilmu) dan Mihak al-Nazar (Penentu Kesahihan Pandangan) dan al-Ghazzali juga banyak menghasilkan beberapa karya sebelum kitab al-Mustafa iaitu kitab al-Iqtisad fil al-I’tiqad ( Keseimbangan Dalam Berakidah) dan kitab Iljam al-Awam an ‘ilm al-Kalam (Penghindaran Orang Awam Dari Ilmu Kalam).
Kitab al-Iqtisad fi al-I’tiqad
Dihasilkan oleh al-Ghazzali bertujuan untuk berdebat dengan pemuka-pemuka bid;ah pada zamannya supaya tertolak fikrah-fikrah bid’ah yang dibawa oleh mereka terhadap orang awam. Karya yang dihasilkan setelah beliau mempelajari dan menguasai ilmu falsafah dengan baik iaitu kaedah utama - metod al-qiyas (al-Burhan). Beliau juga mengemukakan tiga kaedah pendalilan yang lebih mudah dan dapat dibentangkan dengan lebih jelas serta sebagai garis panduan bagi menimbang suatu pendapat yang dikeluarkan oleh seseorang dalam mentafsir dan membahaskan persoalan akidah.

Kitab Iljam al-Awam an ‘ilm al-Kalam
Al-Ghazzali menegaskan bahawa pembenaran (tasdiq) yang dicapai oleh seseorang menerusi penggunaan burhan Mantik: suatu kaedah pengeluaran atau penghasilan konklusi menerusi derivasi minda dari premis yang mempunyai nilai kebenaran mutlak dengan syarat burhan tersebut lengkap dan bertepatan dengan syarat-syarat yang telah ditentukan oleh ulama mantik, merupakan kemuncak kepada peringkat atau martabat al-Tasdiq.

Kitab al-Qistas al-Mustaqim
Al-Ghazzali banyak berbicara tentang persoalan kalamiyyah dalam menghuraikan kaedah-kaedah al-burhan. Al-Ghazzali banyak memetik ayat-ayat al-Quran yang berhubung dengan akidah , kemudian menyusun semula kaedah pendalilan al-Quran tersebut menurut format susunan  kias.

Kitab al-Mustafa min ‘ilm al-usul
Antara persoalan utama yang diketengahkan ialah persoalan ketuhanan. Al-Ghazzali banyak menyentuh kewujudan tuhan dan sifat-sifat-Nya yang Maha Agung.
1)      Beliau menerangkan kaedah-kaedah al-hadd .Beliau telah menyebut sebahagian dari sifat-sifat Allah seperti al-Khaliq (pencipta) , al-Mutakallim( Tuhan yang berkata-kata), Amir ( Tuhan yang mengeluarkan perintah berbentuk suruhan) , Nahin ( Tuhan yang mengeluarkan perintah berbentuk larangan) , al-Qadir (Tuhan yang berkuasa) , al-Wahid ( Tuhan yang satu) , al-Qadim ( Tuhan yang bersifat sedia kala) , al-Baqi ( Tuhan yang bersifat kekal)  dan al-Hayy ( Tuhan yang hidup) .Sifat-sifat ini  mempunyai konsep dan pengertiannya yang tersendiri.

2)      Perbincangan tentang ‘konsep’ adalah antara fokus perbahasan Mantik. Konsep dan pengertian adalah dua elemen yang penting. Pengertian merupakan subset kepada konsep.Ini diberi perhatian oleh sarjana Islam kerana hakikat sebenar tidak akan dapat difahami dengan jelas sekiranya konsep telah dikelirukan atau tidak difahami dengan baik oleh seseorang.  

3)      Begitulah konsep ketuhanan atau sifat-sifat Allah adalah berbeza dan  tidak akan sama sekali menyerupai dengan makhluk sebagaimana ditegaskan oleh al-Quran dan diperakui oleh akal yang waras. Sebagai contoh, konsep dan pengertian sifat “hidup” bagi Allah  SWT yang berbeza sama sekali dengan konsep dan pengertian hidup yang dikaitkan dengan makhluk ciptaan-Nya.

4)      Al-Ghazzali turut mengulas tentang sifat kekuasaan Allah dengan dua hujah yang berasaskan kepada nas al-Quran. Berikut:

§  Pertama: sekiranya alam ini ada lagi tuhan yang lain , selain dari Allah, nescaya rosaklah pentadbiran kedua-duanya.

§  Kedua: sekiranya ada tuhan-tuhan lain bersama Allah , tentulah tuhan-tuhan itu akan mencari jalan kepada Allah yang mempunyai Arasy (kekuasaan yang mutlak) .Ini dibuktikan , alam ini masih dalam keadaan yang baik.

5)      Al-Ghazali juga menerangkan hakikat sifat ilmu yang dimiliki oleh Allah SWT. Menurutnya ‘ilmu yang dimiliki Allah adalah lebih mulia dan lebih tinggi kedudukannya berbanding dengan semua jenis ilmu yang dimiliki oleh makhluk ciptaan-Nya serta Allah SWT mampu mengetahui segala perkara secara terperinci.

6)      Sifat al-qudrah ( kuasa) juga telah diterangkan oleh al-Ghazzali iaitu yang dimiliki oleh Allah SWT yang tertakluk secara langsung dengan al-mumkin iaitu perkara bersifat mumkin iaitu mungkin ada atau mungkin tiada. Menurut-Nya Allah SWT berkuasa melakukan semua perkara dengan syarat perkara tersebut adalah dikategorikan sebagai al-mumkin. Tetapi sebaliknya , maka sifat al-Qudrah tersebut tidak tertakluk langsung dengan-Nya. Sebab itu,  Allah tidak boleh disifatkan sebagai tuhan yang berkuasa juga menjadikan zat dan sifat-Nya sendiri. Ini kerana zat dan sifat-sifat Allah dikategorikan sebagai wajib al-wujud iaitu sesuatu yang mana kewujudan adalah wajib , bukannya al-Mumkin.

7)      Al-Ghazzali juga menghuraikan format al-burhan :Antara dalil yang dikemukakan:
ü  Pertama: Pernyataan mengisbatkan : Allah sebagai pencipta (khalid) bagi alam.
Premis 1: setiap yang baharu, mesti ada yang menciptanya
Premis 2:alam bersifat baharu
Kesimpulan : Alam ada pencipta
ü  Kedua : Pernyataan mengisbatkan : Allah sebagai pencipta alam ini
Premis 1: semua benda yang harus, ada yang pembuatnya
Premis 2:alam ini adalah sesuatu yang harus
Kesimpulan: Alam ini ada pembuatnya
ü  Ketiga : pernyataan menafikan : Allah SWT sebagai sesuatu yang berjisim
Premis 1: Allah yang Maha Suci (al-Bari) adalah bukan suatu jisim, kerana zatnya adalah bersifat ghair mu’allaf.
Premis 2:semua jisim adalah bersifat mu’allaf
Kesimpulan: Allah yang Maha Suci adalah bukan suatu jisim

8)      Al-Ghazzali juga banyak menukilkan pandangan-pandangan yang dikemukakan oleh aliran-aliran kalamiyyah mengenai beberapa permasalahan kalam. Antaranya ialah:

Ø  Pertama: pandangan golongan al-Jabariyyah yang berpendapat bahawa “ Manusia dipaksa atau digagahi untuk melakukan semua pergerakannya( iaitu sama ada untuk melakukan amal kebaikan atau maksiat kepada Allah SWT. -  Pandangan ini ditolak oleh jumhur ulama Islam

Ø  Kedua : pandangan golongan Muktazilah yang mendefinisikan ilmu sebagai “kepercayaan terhadap sesuatu” berdasarkan realiti atau hakikat ilmu itu sendiri. Definisi ini ditolak oleh al-Ghazzali kerana tidak tepat.

Ø  Ketiga :pandangan golongan Ahl-sunnah wa al-jema’ah berkenaan permasalahan ru’yatullah (melihat Allah) sama ada boleh melihat Allah dengan mata kasar di akhirat kelak.al- Ghazzali menjelaskan : Allah boleh dilihat oleh orang-orang mukmin pada hari akhirat atas alasan Allah SWT adalah sesuatu yang wujud.

Ø  Keempat : pandangan golongan Ahl-sunnah wa al-jema’ah dari kalangan ulama khalaf berkenaan dengan ayat-ayat mutasyabihat. Pandangan yang menyatakan Allah tidak bersemayam di atas arasy kerana jika berbuat demikian, bermakna Allah itu muqaddar ( sesuatu yang bersaiz dan ditentukan kadar saiznya). Al-Ghazzali berhujah :Tidak mungkin sesuatu yang muqaddar terdiri dari benda yang tidak berjisim seperti Allah. Maka. Pandangan yang menyatakan bahawa Allah bersemayam di atas secara fizikal adalah terbatal dengan sendirinya.

Kesimpulan
Al-Ghazzali telah berperanan besar dalam memasukkan elemen pemikiran ‘ilm al-kalam semasa menghuraikan kaedah-kaedah Mantik.Ini bertujuan bagi mendekatkan Mantik dengan disiplin ilmu Islam dan menunjukkan bahawa disiplin ilmu Mantik adalah disiplin ilmu yang ditinggalkan oleh Aristotle , namun ia boleh digunakan sebagai alat atau metodologi untuk menyebarkan ilmu Islam serta menguatkan hujah-hujah dengan bersandarkan kepada pernyataan-pernyataan yang logik dan menyakinkan.Ini terbukti, keilmuan yang dibawa oleh al-Ghazzali memartabatkan kedudukan ilmu Islam dan terbukti bahawa al-Ghazzali juga tokoh yang unggul dalam bidang Mantik.







1 comments:

sehinggalah munculnya kurun kelima hijrah kerana dimasuki dengan elemen asing khususnya ilmu falsafah yang dikaitkan dengan Aristotle....


BUKTI ???

Post a Comment