BAB 1
1.1 Penyataan
Masalah
ü Mengapa tahap
penerimaan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan kini semakin kurang mendapat
sambutan dan lebih mengutamakan bahasa kaum sendiri dan Bahasa Inggeris?
ü Mengapa tahap
penggunaan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan dilihat kurang penting dan
sering timbul konflik dalam masyarakat terutama dalam bidang pendidikan?
ü Benarkah Bahasa
Melayu yang diiktiraf sebagai Bahasa Kebangsaan ini berperanan sebagai alat
komunikasi yang membantu memupuk perpaduan antara kaum menurut persepsi
pelajar?
1.2 Objektif Kajian
ü Mengenal pasti tahap
penerimaan pelajar UKM terhadap Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan.
ü Mengenal pasti tahap
penggunaan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan di kalangan pelajar UKM.
ü Mengkaji sejauh mana
perpaduan kaum dapat dipupuk hasil
daripada penerimaan dan penggunaan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan di
kalangan pelajar UKM .
1.3 Metadologi
Kajian dan Rekabentuk Kajian
Reka bentuk kajian yang digunakan ialah
kuantitatif dan temuduga tokoh di Fakulti Institut Alam dan
Tamadun Melayu (ATMA). Tujuan reka bentuk
kes dan temuduga dijalankan ialah untuk mengenal pasti dan mencari secara data
secara intensif.
Sampel kajian
Seramai 30 orang
responden yang dipilih untuk menjalan kajian ini yang terdiri daripada pelajar
kaum Cina dan India iaitu dari Fakulti Sains Teknologi (FST), Fakulti Ekonomi
dan Pengurusan (FTSM) dan Fakulti Sains
Sosial dan Kemanusiaan (FSSK).
Alat Kajian
Alat kajian yang
digunakan untuk kajian ini ialah satu set soal selidik. Set soal selidik ini
mengandungi 2 bahagian iaitu bahagian A (butir diri responden). Manakala
bahagian B (soal selidik).
1.4 Lokasi
Universiti Kebangsaan Malaysia : Bangi
BAB 2
2. PENGENALAN
Malaysia mempunyai rakyat yang berbilang kaum,
berbeza dari keturunan , budaya, agama, dan bahasa. Untuk melahirkan rakyat yang bersatu dan
patriotik kepada Malaysia, perlu membuat perancangan sosial yang dapat
menyatukan mereka.
Dalam perancangan sosial
ini, pendidikan menjadi alat utama yang dimanipulasi untuk melahirkan rakyat
yang bersatu. Bahasa menjadi wahana menyampaikan pendidikan. Falsafah ini
termaktub dalam penyata Razak (1956) . Gagasan Tun Razak ialah kanak-kanak di
persekutuan Tanah Melayu ini dikendaki belajar tentang perkara yang sama
melalui bahasa kebangsaan yang sama untuk melahirkan rakyat yang bersatu dan
yang menganggap Persekutuan Tanah Melayu ini sebagai negara mereka (Abdullah
Hassan: 252-253).
Bahasa yang dimaksudkan
ialah bahasa Melayu yang menjadi bahasa kebangsaan rakyat Malaysia. Umum telah
mengetahui bahawa bahasa Melayu ialah bahasa rasmi , bahasa pentadbiran, bahsa
perdagangan, bahasa ilmu, bahasa perhubungan dan bahasa harian negara ini sejak
zaman Kesultanan Melayu Melaka pada kurun ke-15 lagi. Taraf bahasa Melayu ini
diakui bukan sahaja oleh sumber-sumber sejarah Melayu tetapi juga Portugis,
Belanda dan Inggeris. Maka tidak hairan sekiranya bahasa Melayu adalah bahasa
kebangsaan dan bahasa rasmi Malaysia. Bahasa Melayu juga sebagai bahasa
penghantar utama dalam sistem pendidikan kebangsaan serta sebagai alat untuk
mencapai perpaduan kebangsaan dan pembentukkan satu bangsa Malaysia ( Zainal
Abidin 1996: 243).
Namun, timbul usaha sebahagian
pihak untuk menukar bahasa penghantar dari bahasa Melayu ke bahasa Inggeris
dimana ia boleh mengugat kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa penghantar dan
bahasa perpaduan. Ia juga memberi kesan kepada pemikiran etnik lain untuk
menukar dan mengelak daripada menggunakan bahasa Melayu dalam pendidikan mereka
. Ini sekali gus menghancurkan penyata Razak 1956 yang pernah berjaya
menyatukan rakyat Malaysia suatu ketika dahulu. (Abdullah Hassan: 1996)
Oleh itu, dalam bab dua
ini mengkaji akan persoalan sejarah bagaimana rakyat berbilang kaum merancang dan
mencapai perpaduan yang melibatkan Bahasa Kebangsaan. Dimana bahasa kebangsaan
telah menjadi bahasa rasmi yang digunakan dalam pelbagai perkara seperti
pendidikan, pentadbiran, kebudayaan, kesusteraan, ekonomi, sosial dan
lain-lain. (Abdullah Hassan: 252-253). Selain itu juga mengkaji peranan atau fungsi
bahasa Melayu sebagai bahasa Kebangsaan seterusnya hala tuju bahasa Melayu.
2.1 SEJARAH
2.1.1 Kemunculan rakyat berbilang kaum
Pada awal kurun ke-19, sekitar 150 000 orang
Melayu mendiami Semenanjung Tanah Melayu yang terbahagi kepada beberapa buah
negeri. Setiap negeri pula diperintah oleh seorang sultan. Ketuanan orang
melayu dalam negeri ini tidak menjadi isu. Pedagang dan pendakwah datang ke
tanah Melayu dari pelbagai negara. Tanah Melayu aktif dengan ekonomi,
perdagangan, dan lain-lain (Abdullah Hassan 1996: 253).
Pada akhir kurun ke-19,
kuasa barat mula datang ke wilayah ini. Inilah peristiwa sejarah yang membawa
perubahan kepada dunia Melayu. Melalui manipulasi kuasanya , Syarikat Hindia
Timur kepunyaan Inggeris dapat memaksa raja-raja Melayu menerima nasihat mereka
dalam pemerintahan. Penasihat-penasihat ini mempunyai kepentingan terhadap
hasil getah dan timah. Untuk menghasilkan hasil ini, mereka membawa masuk buruh
murah dari negeri China dan India. Buruh China digunakan untuk mengerjakan
lombong biji timah dan Buruh cina pula untuk mengerjakan ladang getah. Bilangan
penduduk China dan India bertambah dengan banyaknya. Inilah peristiwa yang
mentransformasikan negeri Melayu ini daripada negara satu kaum kepada negara
berbilang kaum (Abdullah Hassan 1996: 254).
Imbangan bilangan penduduk
yang sebegini , ditambah dengan perbezaan budaya, agama, ekonomi, dan bahasa
menunjukkan betapa beratnya tanggungjawab pemimpin untuk mempersekutukan rakyat
dan membina semangat patriotik terhadap negara(Abdullah Hassan 1996: 254).
2.1.2 Bahasa Rakyat Malaysia
Di Malaysia, orang Melayu menuturkan satu
bahasa iaitu bahasa Melayu, tetapi kaum Cina
dan India memiliki lebih satu bahasa. Antaranya kaum Cina menuturkan bahasa
Hokien, kanton, Hakka, Hainan, Kwongsai,
Henghua dan Hokcia. Kaum India pula menuturkan bahasa Tamil, Telugu, Malayali,
Benggali, Gujerati, Oriya, Punjabi dan Sinhala. Di samping itu, ada juga bahasa
pribumi lain iaitu Jah Hut, Mah Meri, Senoi, Jakon, Temuan, Biduanda, Kintak,
Kensiu dan Che Wong. Di Sabah dan Serawak pula terdapat bahasa Bajau, Kadazan,
Iban, Melanau, Penan, dan beberapa kelompok lain. Bahasa Inggeris pula dibawa
oleh penjajah inggeris. Dalam senario begini , isu bahasa sering menjadi isu
yang sensitif dalam usaha mempersekutukan bangsa yang pelbagai etnik.
2.1.3 Punca perpecahan masyarakat
Dasar Inggeris semasa memerintah ialah “ pecah
dan perintah ”. Dasar ini direka cipta dan diamalkan dengan jayanya melalui
sistem pendidikan. Orang Melayu diberi pendidikan asas sahaja selama enam
tahun. Selepas itu, mereka dirancangkan supaya pulang bertani di kampung.
Mereka memerlukan hanya teknik bertani , menternak dan membuat kerja tangan.
Kaum India juga diberikan pendidikan asas sehingga tahun enam. Ramai orang yang
tidak sempat menghabiskan persekolahan mereka. Hal ini sengaja dilakukan supaya
mereka tidak keluar dari daerahnya dan tidak membangun dari segi ekonomi (Abdullah
Hassan 1996: 255).
Kerajaan Inggeris juga
tidak menganggap pendidikan China sebagai tanggungjawab mereka kerana mengaggap
masyarakat ini tidak akan menetap di Tanah Melayu. Oleh itu, kaum China membina
sekolah sendiri dan mengambil sukatan daripada negeri China. Mereka juga
membawa guru dan buku teks daripada Cina. Oleh sebab banyak bahasa China yang
dituturkan, mereka memilih Mandarin (Kuo Yu) sebagai bahasa penghantar(Abdullah
Hassan 1996: 255).
Kerajaan Inggeris pula
membina sekolah Inggeris untuk menyediakan sumber tenaga manusia bagi
pentadbirannya. Mereka menggunakan sukatan pengajaran , guru, buku teks, dan
sistem peperiksaan sekolah Inggeris. Sehingga kini , kita terikat dengan sistem
pendidikan mereka Lembaga Peperiksaan Cambridge. Hasilnya, masyarakat terpecah
mengikut kaum, daerah dan profesion. Walaubagaimanapun, masih menjaga dan
menghormati antara satu sama lain (Abdullah Hassan 1996: 256).
Namun begitu, setelah
berlaku peperangan Dunia Kedua telah membawa kesedaran bahawa kuasa eropah
tidaklah seagung yang disangka. Mereka telah dikalahkan oleh orang Asia.
Justeru itu, mana-mana negara di bawah jajahan Eropah berusaha menuntut
kemerdekaan. Pada tahun 1955 persekutuan Tanah Melayu akhirnya diberi taraf “
berkerajaan sendiri ” dan seterusnya
mencapai kemerdekaan pada tahun 1957(Abdullah Hassan 1996: 256).
2.1.4 Memilih bahasa pribumi sebagai bahasa
kebangsaan
Isu bahasa sering menimbulkan reaksi yang
hangat namun ia akan mudah diatasi sekiranya semua kaum bersatu menggunakan
satu bahasa sebagai bahasa kebangsaan. Sebagaimana daripada kata-kata Perdana
Menteri Pertama Malaysia Tunku Abdul Rahman bahawa “ kita berhak menghendaki
bahasa kita sendiri. Sekiranya kita mempunyai Bahasa Kebangsaan sendiri, kita
akan bersatu dan mempunyai watak sendiri. Pertimbangan untuk kepentingan
kebangsaan menuntut supaya bahasa penjajah diganti dengan suatu bahasa pribumi”
(Abdullah Hassan 1996: 257).
Penerimaan Bahasa Melayu
sebagai Bahasa Kebangsaan berlaku seawal tahun 1947. Suatu perlembagaan
Cadangan telah dibentuk oleh All Malaya Council of Joint Action (AMCJA) yang
mewakili kaum bukan Melayu dan pusat Tenaga Rakyat (PUTERA) yang mewakili kaum
bukan Melayu. Mereka mencadangkan supaya “ Bahasa Melayu dijadikan Bahasa
Kebangsaan tunggal negara. Walaubagaimanapun , penggunaan bahasa-bahasa lain
tidak dihalang. Hasarat ini menjadi kenyataan apabila bahasa Melayu dimaktubkan
sebagai Bahasa Kebangsaan Malaysia dalam Artikel 152 perlembagaan Malaysia
(Abdullah Hassan 1996: 257).
2.1.5 Merancang bangsa Malaysia melalui
pendidikan kebangsaan.
Apabila bahasa Melayu menjadi bahasa
Kebangsaan , beberapa langkah segera diambil untuk memungkinkannya memenuhi
fungsinya. Dimana pendidikan merupakan saluran yang paling sesuai. Tun Razak
dengan wawasan yang jauh ke hadapan, mengambil keputusan untuk membina
perpaduan dan menanamkan patriotisme melalui pendidikan. Dimana bahasa Melayu mula
digunakan dalam pendidikan rendah dan Maktab Perguruan Sultan Idris (Abdullah
Hassan 1996: 258).
Oleh sebab itu, bahasa ini
perlu dirancang supaya dapat berfungsi sebagai bahasa penghantar pendidikan dan
bahasa pentadbiran. Dewan bahasa dan pustaka ditubuhkan untuk membina dan
menyelaraskan ejaan , sebutan, istilah serta menyusun kamus dan tata bahasa.
Pada hari ini Bahasa Kebangsaan berjaya menjalankan fungsinya sebagai bahasa
penghantar pendidikan sampai ke peringkat universiti dan menjadi bahasa
pentadbiran dalam kerajaan (Abdullah Hassan 1996: 252).
2.1.6 Perkembangan yang membawa kepada
pembentukkan Dasar Pendidikan Razak
a) Laporan Cheeseman 1946
Cheeseman dilantik menjadi pengarah Pendidikan
Malaya selepas peperangan dunia kedua. Tujuan utamanya adalah untuk membina
semula sistem pendidikan Malaya yang dihapuskan oleh pemerintahan Jepun. Beliau
menyedari masalah yang dihadapi kerana wujudnya pelbagai kaum etnik pada masa
itu(Abdullah Hassan 1996: 259).
Chessman juga telah
mengusulkan supaya pendidikan rendah dan juga menengah disampaikan dalam empat
bahasa iaitu Inggeris, Melayu, Cina dan Tamil. Chessman juga dilihat tidak
mempunyai sebarang hasrat untuk mempersekutukan rakyat. Beliau hanya bertujuan
membina semual sistem pendidikan yang terputus semasa pemerintahan Jepun. Dasar
ini diketepikan dengan pemansuhan Malayan Union pada tahun 1949 (Abdullah
Hassan 1996: 259).
b) Laporan Barnes 1950
Apabila Malayan Union dihapuskan , orang
Melayu mengkaji kedudukannya. Penjajahan Inggeris selama 150 tahun menyebabkan
orang Melayu berada dalam keadaan yang merugikan berbanding dengan kaum etnik
lain. Oleh sebab itu, Laporan Barnes merancang supaya orang Melayu mengembalikan
kedudukan mereka terutamanya pendidikan (Abdullah Hassan 1996: 260).
Barnes mengusulkan satu
jenis sekolah rendah untuk semua kaum dan gurunya boleh didatangkan daripada
pelbagai kaum. Sekolah yang diusulkan dihadiri oleh pelbagai kaum. Antara ciri
yang ditetapkan ialah pada mulanya semua sekolah menjadi sekolah aliran Melayu.
Selepas itu, semua pendidikan dijalankan dalam bahasa Inggeris. Mereka
menganggap bahawa bahasa Melayu akan digunakan dalam hubungan sosial. Selepas
tahun ketiga, bahasa Inggeris akan menggantikan bahasa Melayu. Murid-murid akan
menjadi penutur dwi-bahasa apabila mencapai umur dua belas tahun dan mampu
bertutur dan menulis dalam bahasa Inggeris dengan baik (Abdullah Hassan 1996:
261).
Pelaksanaan sistem Barnes
bermakna bahawa kaum Cina dan India mesti menutup sekolah-sekolah mereka. Dan
sekolah Melayu juga akan ditukarkan ke bahasa Inggeris. Laporan Barnes
menyedari bahawa usul mereka itu akan gagal sekiranya semua mahu meneruskan
sistem pendidikan rendah mereka seperti sebelumnya (Abdullah Hassan 1996: 261).
Kaum China menentang laporan
tersebut dengan kuat kerana ia boleh mematikan sekolah Cina sehingga berlaku
tunjuk perasaan di Singapura, Kuala Lumpur dan Pulau Pinang. Termasuk juga
orang Melayu menentang kerana ia akan mengorbankan bahasa Melayu. Hasil
daripada peristiwa itu, jawatan kuasa Fenn-Wu dibentuk (1952) untuk melihat
keperluan masyarakat Cina (Abdullah Hassan 1996: 262).
c) Laporan Fenn-Wu 1952
Sebagai hasil daripada reaksi kaum Cina itu,
maka kerajaan Inggeris mengundang Dr. William P. Fenn iaitu seorang setiausaha
Eksekutif Bersekutu bagi Lembaga Pemegang Amanah beberapa bauh institusi
pendidikan tinggi di negeri Cina dan Dr. Wu Teh- Yao iatu seorang pegawai
pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk mengkaji keperluan kaum Cina (Abdullah
Hassan 1996: 262).
Fenn-Wu tidak bersimpati
dengan bahasa Melayu walaupun ia mengiktiraf Bahasa Melayu sebagai bahsa rasmi
dan perlu dipelajari dan boleh meningkatkan kefahaman antara kaum. Fenn-Wu juga
mementingkan bahasa Inggeris kerana ia bahasa perdagangan dan juga menekankan
bahasa Cina keran ia bahasa agung dunia. Fenn-Wu juga menyokong pendidikan
dwi-bahasa iatu Cina dan Inggeris kemudian baru diajarkan bahasa lain atau
Bahasa Melayu (Abdullah Hassan 1996: 262).
Fenn-Wu menganjurkan
supaya dikekalkan dan ditingkatkan pendidikan dalam bahasa Cina. Sebagai hasilnya
Universiti Nanyang ditubuhkan di singapura pada tahun 1956. Laporan Fenn-Wu
juga membuat tuntutan yang sama untuk masyarakat India (Abdullah Hassan 1996:
263).
d) Penyata Razak 1956
Pada hari-hari menjelangnya kemerdekaan, suatu
jawatan-kuasa pendidikan ditubuhkan untuk membentuk dasar pendidikan baru bagi
sebuah negara merdeka. Jawatan-kuasa ini dipimpin oleh Encik Razak Hussein,
menteri pendidikan pada masa itu. Jawatankuasa itu mengambil kira Laporan
Fenn-Wu dan laopran lain sebelumnya. Laporan inilah yang meletakkan asas bagi
dasar pendidikan Malaysia hari ini. Tumpuan khusus diberikan kepada isu bahasa (Abdullah
Hassan 1996: 263).
Razak menyatakan bahawa
“Tujuan dasar pendidikan negara ini ialah membawa kanak-kanak daripada
berbilang kaum ini ialah membawa kanak-kanak daripada berbilang kaum ini
mempelajari perkara yang sama di dalam
satu pendidikan yang sama melalui satu bahasa penghantar. Namun demikian , kita
mengakui bahawa kemajuan menuju matlamat ini tidak boleh dipaksa tetapi mesti dilakukan
secara berperingkat-peringkat. Hal ini bermakna bahawa status quo dikekalkan
untuk sementara iaitu bahasa Melayu, Inggeris, Cina dan Tamil dikekalkan dalam
sistem pendidikan sebelumnya (Abdullah Hassan 1996: 264).
Apabila Malaysia mencapai
kemerdekaan pada 31 ogos 1957, suatu perlembagaan dibentuk. Perlembagaan itu
menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa Kebangsaan. Bahasa Kebangsaan ialah
bahasa yang digunakan untuk menyampaikan pendidikan dan mentadbirkan negara.
Namun demikian , oleh sebab bahasa Melayu belum berkembang, bahasa Inggeris
dikekalkan sebagai bahasa rasmi untuk menyampaikan pendidikan dan mentadbir
negara (Abdullah Hassan 1996: 264).
Selepas sepuluh tahun,
pada tahun 1967, bahasa Melayu akan mengambil alih semua tugasan bahasa Inggeris.
Bahasa Melayu menjadi bahasa penghantar di sekolah dan bahasa pentadbiran
tunggal (Abdullah Hassan 1996: 263).
Perkara kedua yang
dicadangkan dalam Penyata Razak ialah “ mengajarkan sukatan pelajaran yang sama
untuk membentuk suatu sikap kebangsaan yang sama”. Sukatan pelajaran yang sama
dilaksanakan di semua sekolah. Tetapi proses pembinaan negara bangsa melalui
sistem pendidikan masih menghadapi masalah. Kanak-kanak masih pergi ke sekolah
yang berlainan dengan bahasa yang berlainan. Bahasa yang berlainan memberi
nilai yang berlainan. Rakyat Malaysia masih terpecah dan isu menggunakan satu
bahasa penghantar menjadi isu serius (Abdullah Hassan 1996: 265).
Kesan buruk ini terbukti
apabila rusuhan kaum tercetus pada tahun 1969. Akhirnya pada tahun 1970,
pemimpin politik dan kaum menerima hakikat bahawa pendidikan yang sama sahaja
tidak membawa perpaduan. Penggunaan Bahasa Kebangsaan sebagai bahasa penghantar
utama diberi perhatian serius. Menteri pendidikan ketika itu, Abdul Rahim
Yaacob mengarahkan semua sekolah kebangsaan aliran Inggeris menggunakan bahasa
Melayu secara berperingkat-peringkat. Pada masa ini, semua pendidikan rendah
dan tinggi dijalankan dalam bahasa Kebangsaan. Hanya beberapa sekolah Cina
persendirian sahaja yang mengekalkan bahasa Cina sebagai bahasa penghantar.
Kepercayaan terhadap kemampuan Bahasa Kebangsaan menjadi bahasa penghantar
terus meningkat (Abdullah Hassan 1996: 266).
f) Penyata Rahman Taib 1960
Penyata ini menegaskan semula Penyata Razak.
Penyata menyedari kesulitan untuk membina sikap kebangsaan melalui Bahasa
Kebangsaan tetapi dalam masa yang sama, perbezaan kaum dan bahasa masih
diteruskan dalam sistem pendidikan kebangsaan yang dibiayai oleh kerajaan. Oleh
sebab itu, pendidikan menengah di sekolah dijalankan dalam bahasa Kebangsaan
dan Inggeris dengan tujuan hanya bahasa Kebangsaan sahaja yang digunakan
sebagai bahasa penghantar utama (Abdullah Hassan 1996: 266).
g) Semakan pelaksanaan dasar pendidikan
malaysia( Hussein Onn 1971)
Pada tahun 1971, menteri pendidikan Hussein
Onn menyemak pelaksanaan dasar pendidikan ngara. Hasilnya menggalakkan. Beliau
mendapati bahawa tujuan asas memberikan pendidikan rendah dalam bahasa
kebangsaan, Inggeris, Cina dan Tamil dijalankan dengan berhasil. Pendidikan
menengah dijalankan terus dalam bahasa Melayu dan Inggeris (Abdullah Hassan
1996: 267).
Namun begitu, ini tidak
bermakna sekolah Cina berakhir.mereka membiayai sendiri pendidikan. Dan
seterusnya kedudukan bahasa Inggeris masih tinggi bagi memenuhi keperluan
pendidikan, perdagangan dan hal ehwal antarabangsa (Abdullah Hassan 1996: 267).
h) Laporan kabinet (Mahathir Mohamad 1985)
Jawatankuasa Kabinet yang dipimpin oleh
Timbalan Perdana Menteri , Mahathir Mohammad 1985 menyemak dasar pendidikan
kebangsaan dan pelaksanaannya. Laporan itu menegaskan semula dsar Penyata Razak
(1956) dan melihat perkembangan yang positif di samping berasa komited kepada
usaha meneruskan pelaksanaan sistem pendidikan kebangsaan dengan bahasa
kebangsaan sebagai bahasa penghantar(Abdullah Hassan 1996: 267-268).
Ia juga menjelaskan bahawa
pengajaran Bahasa Kebangsaan adalah untuk menyatukan kaum-kaum etnik di negara
ini dan menjadikan bahasa itu wahana mencapai ilmu. Bahasa kebangsaan
diwajibkan di semua peringkat pendidikan dan kelulusan diperlukan dalam
peperiksaan kerajaan. Bahasa Inggeris pula sebagai bahasa kedua untuk digunakan
oleh pelajar dalam kegiatan tertentu dan kedua untuk membina kelompok yang akan
meningkatkan ilmunya dalam pendidikan(Abdullah Hassan 1996: 268).
i)Penyata Najib 1995
Isu bahasa Melayu sebagai bahasa penghantar
selesai apabila abdul Rahman Yaacob (1970) menetapkan bahasa kebangsaan sebagai
bahasa penghantar di semua sekolah kebangsaan. Bahasa Kebangsaan mantap sebagai
bahasa penghantar hingga ke peringkat universiti. Ini adalah kejayaan wawasan
Tun Razak (Abdullah Hassan 1996: 268).
Setelah berjaya,isu ini
dibangkitkan semula oleh Perdana Menteri Malaysia Dr. Mahathir Mohamad dimana
beliau membolehkan bahasa Inggeris digunakan untuk mengajarkan mata pelajaran
tertentu dalam sains dan teknologi di universiti. Langkah ini dianggap untuk
mencapai wawasan 2020. Ekoran daripada itu, Menteri Pendidikan Malaysia Dato
Sri Najib dilaporkan membuat arahan mendadak dalam sistem pendidikan (Abdullah
Hassan 1996: 268).
Dasar pendidikan yang
dibina oleh Tun Razak Hussein ternyata berjaya namun selepas perubahan yang
dibuat oleh Dato Sri Najib , sekiranya
benar akan meruntuhkan dasar pendidikan dalam Penyata Razak tersebut dan akan
mengembalikan keadaan negara kepada keadaan sebelum merdeka dan perpecahan kaum
akan bermula (Abdullah Hassan 1996: 269).
Hasil daripada itu, bantahan
telah dibuat oleh Persatuan Linguistik Malaysia, kongres Cendikiawan Melayu dan
sebahagian individu. Selain itu akan menimbulkan implikasi yang amat serius
terhadap pembangunan bangsa Malaysia yang telah dibentuk oleh Razak (Abdullah
Hassan 1996: 269).
2.1.7 Kejayaan dasar pendidikan Razak
Dasar pendidikan dalam penyata Razak telah
berjaya. Tiga daripadanya iaitu bahasa kebangsaan menyampaikan ilmu dengan
berkesan dan rakyat yang berilmu membangunkan negara. Kedua ialah dasar ini
berjaya membentuk masyarakat yang lebih positif terhadap terhadap pembentukkan
rakyat Malaysia yang mempunyai sikap Malaysia. Ketiga iaitu dasar ini membentuk
minda asli Malaysia dan keaslian minda ini menjadi ciri jati diri rakyat
Malaysia yang kreatif (Abdullah Hassan 1996: 270).
2.2 KEPENTINGAN BAHASA MELAYU
Dalam masyarakat majmuk dengan bahasa dan
budaya yang pelbagai, peranan bahasa yang difahami oleh rakyat terbanyak amat
penting untuk menyatukan mereka.
Berdasarkan pengamatan di peringkat akar umbi, ternyata tidak ada bahasa
lain yang dapat menandingi bahasa Melayu sebagai bahasa pengucapan dan bahasa
komunikasi untuk menyatupadukan masyarakat pelbagai kaum di negara ini (Jeniri
Amir. 2009:78).
Seharusnya sedar bahawa
bahasa yang dapat mengikat jiwa dan emosi rakyat Malaysia ialah bahasa Melayu.
Perlu diingatkan bahawa bahasa Melayu dapat dijadikan sebagai bahasa rasmi dan
bahasa kebangsaan serta digunakan secara meluas ialah hasil daripada semangat
perjuangan membara rakyat sebelum ini. Suara rakyat sebagai suara keramat perlu
diiktiraf dan didengar walaupun pemimpin punyai pengaruh yang besar dalam
menentukan untung nasib bahasa Melayu (Jeniri Amir. 2009:78).
Dalam hal ini, harus wujud
keseimbangan yang dinamik antara keinginan untuk mengantarabangsakan diri agar
tidak terpukul oleh gelombang globalisasi dengan semangat untuk berpegang pada
akar budaya bangsa yang berteraskan bahasa Melayu. Kemajuan yang hendak dicapai
tidak seharusnya sampai mengorbankan bahasa Melayu (Jeniri Amir. 2009:79).
Ditinjau dari perspektif
ini, rakyat pelbagai kaum dan peringkat di negara ini perlu sedar akan hakikat
bahawa sebuah negara yang sedang menuju ke arah keunggulan tidak seharusnya
mengetepikan peranan bahasa utama negaranya. Rakyat dan pemimpin terutamanya
perlu bersifat lebih pragmatik dan realistik dengan mengakui bahawa inilah
bahasa yang akan menentukan kestabilan sosial dan politik negara, serta bahasa
yang dapat dijadikan wadah untuk mencapai kemajuan ekonomi (Jeniri Amir.
2009:80).
Perpaduan jitu dalam
kalangan pejuang dan rakyat pula akan terus dapat menjamin bahawa bahasa Melayu
akhirnya akan mendapat tempat sewajarnya di negara ini. Bahasa itu perlu
diletakkan di bawah persada sebagai lambang kemerdekaan, azam kemalaysiaan dan
jati diri bangsa. Kesedaran ini penting bagi mengambil semangat daripada bulan
terbentuknya Malaysia yang terdiri dari pelbagai negeri dan suku kaum dengan
pelbagai keunikan bahasa dan budaya, tetapi tetap menjunjung tinggi bahasa
Melayu (Jeniri Amir. 2009:81).
Peranan bahasa Melayu
sebagai bahasa pemersatu dan bahasa perpaduan terbukti berkesan apabila
golongan tua daripada pelbagai suku kaum yang buta huruf kelihatan selesa dan
fasih menggunakan bahasa Melayu apabila berkomunikasi dengan kaum lain dalam
pelbagai kegiatan kemasyarakatan yang dianjurkan. Bahasa Melayu sentiasa dekat
di hati mereka walaupun sekali-sekala keyakinan mereka tergugat ekoran
perubahan dan ketidaktentuan dasar tentang bahasa itu (Jeniri Amir. 2009:82).
Rakyat Malaysia harus
memiliki kebanggaan terhadap bahasa rasmi dan bahasa kebangsaannya sendiri.
Bahasa itu akan hilang maruahnya jika rakyat tidak mempunyai sikap positif
terhadapnya. Kehebatan bahasa itu sebagai bahasa penunjuk dan pembina jati diri
bangsa dan sebagai bahasa kesatuan dan perpaduan akan hanya terjamin jika
rakyat terus bangga akan kedudukannya sebagai bahasa yang akan menentukan
keperibadian bangsa (Jeniri Amir. 2009:82).
Jurang perbezaan dari segi
ideologi, pemikiran, emosi dan sebagainya antara bandar dan luar bandar, elit
dengan rakyat, serta masyarakat pelbagai suku kaum dapat dihubungkan melalui
bahasa Melayu. Oleh itu, bahasa Melayu berpeluang untuk menjadi lingua franca
sosial, budaya, politik, dan ekonomi dalam seluruh urusan kehidupan masyarakat
di negara ini (Jeniri Amir. 2009:82-83).
Pembentukan sesuatu bangsa
melalui bahasa Melayu akan dapat ditiupkan ke dalam jiwa masyarakat ketika
etnisisme kelihatan membelenggu pelbagai dominan kehidupan. Usaha untuk
mencapai keperibadian bangsa yang unggul akan terserlah luas kepada rakyat.
Bahasa Melayu adalah bahasa rakyat dan tidak ada alasan kukuh untuk meragui
keupayaannya sebagai bahasa ilmu, bahasa komunikasi utama, dan bahasa
perpaduan. Bahasa yang sentiasa dekat dijiwa rakyat pasti akan dapat terus
bertahan dan mampu memainkan peranannya sebagai alat perhubungan yang berkesan
(Jeniri Amir 2009:83).
2.3 CABARAN BAHASA MELAYU DAN PERMASALAHANNYA
Terdapat empat cabaran atau masalah yang patut
difikirkan iaitu pertama , bahasa Inggeris semakin mencabar kedudukan bahasa
Melayu dalam hampir semua bidang. Kedua ialah keadaan kepelbagaian dan
keragaman bahasa di Malysia sudah menjadi kompleks , ketiga ialah budaya bahasa
Melayu di kalangan orang Melayu nampaknya sudah berubah kerana dipengaruhi oleh
budaya globalisme yang menjalar ke dalam masyarakat Malaysia melalui pelbagai
punca hingga menyebabkan orang melayu rata-rata tidak mengambil berat lagi
tentang masalah yang dihadapi oleh bahasa Melayu. Keempat iaitu kita tidak
mempunyai “ pengguna teladan” bahasa Melayu yang baik di kalangan pemimpin
negara yang dapat dicontoh bukan sahaja oleh rakyat, tetapi juga oleh golongan
elit korporat dan birokrasi kerajaan yang kelihatan semakin tidak berminat untuk menggunakan bahasa Melayu
sepenuhnya dalam ruang sosial dan profesionalisme mereka (Hassan Ahmad 1996:
46).
Penyataan Perdana Menteri,
Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad pada 27 Disember 1993 tentang keputusan
kerajaan mengizinkan penggunaan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar bagi
bidang sains dan teknologi di institusi pengajian tinggi disambut dengan
pandangan yang berbelah bahagi oleh pelbagai pihak. Kalangan yang selama ini
resah menyaksikan penggunaan bahasa Melayu dalam sektor pendidikan,
pentadbiran, dan undang-undang tentu saja berasa lega dan gembira. Kalangan
yang masih prihatin akan nasib bahasa Melayu sebagai tonggak tamadun bangsa
pula kecewa dan duka cita (Awang Sariyan 1996: 186).
Perbezaan pandangan
tentang isu tersebut jelas berasas pada dua fahaman yang berbeza. Satu golongan
menganggap isu itu menurut fahaman pragmatisme. Satu golongan lagi menyatakan
sikap berdasarkan idealism yang kental terhadap kedudukan dan peranan bahasa
Melayu pada hari muka. Apakah sebenarnya impian golongan pragmatis dan idealis
itu? Adakah sang pragmatis tidak perlu akan idealism, dan sebaliknya adakah
sang idealis pula tidak pragmatis? (Awang Sariyan 1996: 186).
2.3.1 Dasar Bahasa
Dasar bahasa bagi negara kita memang bermula
dengan idealisme – idealisme untuk menyaksikan satu rupa bangsa yang bersatu,
idealisme untuk memupuk ciri-ciri pengenalan rakyat yang relatif seragam, dan
idealisme untuk menobatkan bahasa Melayu sebagai sarana komunikasi yang
berkesan dalam sektor-sektor penting negara. Demikianlah tiga taraf dan fungsi
penting yang telah diberikan kepada bahasa Melayu oleh generasi pemimpin era
kemerdekaan, iaitu bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi, dan
bahasa ilmu. Penyataan tentang taraf dan fungsi bahasa Melayu itu telah
diperundang-undangkan melalui Perlembagaan, Akta Bahasa Kebangsaan, dan Akta
Pendidikan (Awang Sariyan 1996: 187).
Ketiga-tiga taraf dan
fungsi itu bukan sekadar slogan untuk membakar semangat nasionalis, tetapi
sebaliknya mempunyai erti yang cukup besar dan penting sebagai salah satu asas
pembinaan sebuah negara baru. Konsep bahasa kebangsaan berkaitan rapat dengan
idealism atau cita-cita membentuk satu rupa bangsa yang memiliki ciri-ciri
pengenalan yang sama. Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dapat menjadi
salah satu ciri pengenalan bangsa yang dimaksudkan itu, sebagaimana pakaian
kebangsaan, lagu kebangsaan, bendera kebangsaan, dan malahan bunga kebangsaan
diketengahkan untuk menimbulkan rasa persatuan di kalangan rakyat. Bahkan jauh lebih
penting peranan bahasa, jika dibandingkan dengan unsur-unsur kebangsaan yang
lain itu, dalam membina pemikiran dan sikap rakyat (Awang Sariyan 1996: 187).
Dalam teori perancangan
bahasa, fungsi bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan itu dikenal sebagai
fungsi pemersatu dan fungsi pembeda. Bahasa Melayu menjadi unsur pemersatu
apabila diwujudkan sebuah negara bangsa, iaitu Malaysia. Fungsi pemersatu itu
amat jelas juga dengan penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa perhubungan
antara kaum di negara ini. Kalau fungsi pemersatu bahasa Melayu berlaku di
peringkat negara, fungsi pembeda bahasa Melayu pula dilihat dalam skop
supranasional. Maksudnya, bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dapat menjadi
salah satu pembeda entiti politik negara kita daripada negara lain. Berdasarkan
realiti wujudnya negara berbahasa Melayu, maka fungsi pembeda itu lebih relevan
dalam hubungan negara kita dengan negara
yang tidak meletakkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan (Awang Sariyan
1996: 188).
2.3.2 Bahasa Melayu Sebagai Bahasa Rasmi
Sebagai bahasa rasmi, bahasa Melayu ditetapkan
menjadi sarana komunikasi dalam bidang pentadbiran. Takrif dan skop penggunaan
bahasa rasmi amat jelas dinyatakan dalam Perlembagaan. Perkara 152 Perlembagaan
menyatakan bahawa bahasa rasmi digunakan untuk semua uruusan rasmidi peringkat
kerajaan persekutuan, kerajaan negeri, dan badan berkanun. Dengan menghayati
dan menghormati semangat Perlembagaan itu, setiap pelaksana dasar kerajaan
wajib menggunakan bahasa Melayu dalam semua urusan rasmi. Maksudnya semua
mesyuarat patut dilaksanakan dalam bahasa Melayu. Surat, notis, minit,
memorandum, dan dokumen lain mesti ditulis dalam bahasa Melayu. Inilah
idealisme yang tersirat di balik pendaulatan bahasa Melayu sebagai bahasa
rasmi. Apabila idealisme ini diremehkan, terjadilah penafian terhadap taraf dan
fungsi bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi. Tindakan meremehkan taraf dan fungsi
bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi itu tergambar oleh penggunaan bahasa asing
atau penggunaan bahasa Melayu yang bercampur aduk dengan bahasa asing dalam
urusan rasmi kerajaan, dalam mesyuarat misalnya (Awang Sariyan 1996: 188-189).
Apakah ertinya penobatan
bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi? Jawabnya tidak lain ialah untuk
meningkatkan dan meluaskan penggunaan bahasa Melayu yang canggih dan mampu
mengungkapkan hal ehwal professional. Pengangkatan taraf ini jelas berkaitan
dengan idealisme menggantikan bahasa Inggeris yang dijadikan oleh kerajaan
Inggeris sebagai bahasa rasmi sebelum negara kita merdeka. Bukankah idealisme
ini berkaitan pula dengan usaha mengangkat martabat bangsa yang bebas dan
merdeka? Mungkinkah agaknya idealisme ini sudah tidak relevan lagi dengan
suasana dan impian masyarakat masa ini yang lebih melihat sesuatu menurut
fahaman pragmatism demi faedah dab manfaat diri masing-masing? (Awang Sariyan
1996: 189).
2.3.3 Bahasa Melayu Sebagai Bahasa Ilmu
Dengan taraf dan fungsinya sebagai bahasa ilmu
pula, bahasa Melayu direncankan menjadi bahasa yang ekspresif dalam pelbagai
bidang ilmu, termasuk sains dan teknologi. Dengan demikian bahasa Melayu dapat
mencapai taraf kecendekiaan dan bahasa saintifik. Bahasa Melayu tidak dilihat
lagi sebagai bahasa golongan petani, buruh, nelayan dan yang seumpamanya.
Sebaliknya, bahasa Melayu diwakili juga oleh golongan cerdik pandai yang
bertanggungjawab membentuk acuan pemikiran masyarakat dan yang ikut
bertanggungjawab membangunkan negara (Awang Sariyan 1996: 189).
Perancangan secara
bertahap-tahap melalui sistem pendidikan kebangsaan, dengan penegasan bahasa
Melayu sebagai bahasa penghantar, telah berhasil melahirkan ahli ilmu yang
terdidik dalam bahasa Melayu, sekurang-kurangnya hingga ke peringkat ijazah
pertama. Universiti Kebangsaan Malaysia, yang telah didirikan pada tahun 1970,
telah mendahului tahun sasaran penggunaan bahasa Melayu sepenuhnya di pusat
pengajian tinggi 13 tahun lebih awal. Ternyata bahwa siswazah keluaran
universiti tersebut telah memperlihatkan kecemerlangan dalam pelbagai bidang
kerjaya, tidak terkecuali dalam bidang sains dan teknologi. Mengapakah secara
tiba-tiba pucuk pimpinan negara menjadi tidak sabar untuk menguasai teknologi
sehingga perlu menegaskan penggunaan bahasa Inggeris yang dipercayainya begitu
ampuh menyerapkan konsep sains dan teknologi ke dalam masyarakat negara ini?
Adakah terlalu perlahan kadar pertumbuhan industri kita? (Awang Sariyan 1996:
189-190).
Demikianlah bagaimana
perancangan menjadikan bahasa Melayu bahasa kebangsaan, bahasa rasmi, dan
bahasa ilmu memiliki sejarah yang cukup bererti dalam hubungannya dengan
pembinaan bangsa dan negara, baik secara simbolis mahupun secara amali.
Perjuangan mendaulatkan bahasa Melayu memang sarat dengan idealisme yang bukan
pula slogan kosong. Jika ada orang yang beranggapan bahwa idealisme sudah tidak
mempunyai ruang lagi dalam suasana yang menuntut setiap orang bersikap
pragmatis, maka sirnalah sudah perjuangan orang itu. Kisah perjuangan
menobatkan bahasa Melayu menjadi bahasa kebangsaan, bahasa rasmi, dan bahasa
ilmu itu pada sang pragmatis tidaklah lebih daripada cerita wayang yang apabila
tamat segera diulang. Lupakah agaknya mereka bahwa itulah landasan perjuangan
selama berpuluh-puluh tahun yang tidak patut dikorbankan atas nama “Kemajuan Bangsa”? Bagaimanakah
akan menjadi realiti ungkapan “majulah bangsa, majulah bahasa” andaikata bahasa
bangsa itu tidak diyakini dan tidak diberi kesempatan secukupnya untuk
berfungsi? (Awang Sariyan 1996: 190).
2.3.4 Alasan-Alasan Yang Tidak Wajar Daripada
Golongan Pragmatis
Tampaknya dalam kegairahan menguasai teknologi
canggih, cepat sekali hilangnya rasa yakin golongan pragmatis akan keupayaan
bahasa Melayu menangani konsep baru yang dianggap sejagat itu. Maka tanpa perlu
menunggu, diputuskanlah penggunaan bahasa Inggeris sebagai bahasa penghantar
bagi bidang sains dan teknologi. Untuk mewajarkan keputusan itu, ditegaskanlah
bahwa karya terjemahan dalam bahasa Melayu tidak mungkin cukup untuk menampung
kepesatan ilmu sains dan teknologi, sedang kita semua tahu bahawa bidang
terjemahan masih amat muda di negara ini dan menuntut iltizam yang sungguh-sungguh
daripada kerajaan sendiri (Awang Sariyan 1996: 191).
Demikianlah juga,
kekurangan di sana sini dalam aspek korpus bahasa Melayu tampaknya dijadikan
alasan juga untuk menegaskan penggunaan bahasa Inggeris bagi bidang sains dan
teknologi. Kekurangan istilah, perubahan istilah, ketidakselarasan ejaan dalam
beberapa juzuk tertentu, dan ijmak yang belum putus di kalangan ahli bahasa
tentang aspek khusus tata bahasa Melayu dianggap faktor yang tidak dapat
menyakinkan pimpinan politik tentang kewibawaan
bahasa Melayu. Belum terlambat bagi golongan yang berpandangan demikian
untuk menginsafi hakikat jalan sejarah penentuan dasar bahasa di negara ini
(Awang Sariyan 1996: 191).
Ketika pemimpin politik
sendiri meletakkan dasar pembinaan sebuah negara baru yang merdeka, dengan
dasar bahasa sebagai salah satunya, baru ada dua atau tiga jawatankuasa
istilah. Sistem ejaan pada waktu itu pun belum dikemaskan. Penyusunan tata
bahasa yang rapi pun belum terancana. Tidak pula kedengaran ketika itu suara
yang meminta jaminan ahli bahasa agar dapat meyakinkan pimpinan politik tentang
kemasnya dan sempurnanya aspek korpus bahasa Melayu. Hal itu tidak barbangkit
kerana kesemuanya ketika itu faham bahwa perancangan taraf bahasa memang perlu
mendahului perancangan korpus bahasa.
Demikianlah yang berlaku di semua negara menurut teori perancangan bahasa. Oleh
itu, soal adanya beberapa masalah dan persoalan dalam aspek korpus bahasa tidak
wajar dijadikan hujah untuk surut ke belakang dalam soal dasar bahasa,
khususnya penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa penghantar (Awang Sariyan
1996: 191).
Demikianlah, pemantapan
dasar bahasa kita kelihatannya tergugat bukan oleh orang lain, tetapi oleh
kalangan yang terlibat dan bertanggungjawab meletakkan dasar bahasa itu
sendiri. Kalau selama ini sektor swasta dikritik kerana mengabaikan penggunaan
bahasa Melayu, kini nampaknya sektor kerajaan sendiri seakan-akan menurut
langkah sektor swasta apabila bahasa Inggeris dijadikan bahasa penghantar ilmu
sains dan teknologi di institusi pengajian tinggi. Selain berharap bahwa
pelaksaan dasar baru itu tidak diteruskan, kita hanya mampu berdoa agar tidak
berlaku keadaan “lulus jarum luluslah kelindan” (Awang Sariyan 1996: 192).
2.3.5 Cabaran Bahasa Melayu dalam Media
Ketika menjelang kemerdekaan hampir setengah
dekad lalu, salah satu perkara yang hebat diperjuangkan ialah bahasa. Pemimpin
dan rakyat mahu agar bahasa Melayu dinobatkan sebagai bahasa rasmi dan bahasa
kebangsaan negara (Jeniri Amir 2009;
161).
Sejak mendapat tempat
dalam Perlembagaan negara dan digunakan dengan berkesan dalam sisstem
pendidikan kebangsaan, hingga ke peringkat universiti, bahasa Melayu sentiasa
berhadapan dengan jalan yang berliku. Bahasa kebangsaan itu turut bergolak
bersama-sama perkembangan politik dan perubahan dasar, yang ada ketikanya
memberikan kesan buruk terhadap bahasa itu sehingga menimbulkan kebimbangan
dalam kalangan aktivis dan pejuang bahasa. Minda rakyat terhadap bahasa
kebangsaan negara dapat diukur dari segi sikap mereka terhadap bahasa itu
(Jeniri Amir 2009; 162).
Bahasa Melayu mengalami
pertumbuhan dan perkembangan yang hebat dari segi kosa kata, istilah, laras dan
gaya, hasil daripada perjuangan dan komitmen semua pihak, termasuk media cetak
dan media elektronik. Media menjadi wahana penting untuk memperkembang dan
memajukan bahasa kebangsaan. Banyak kosa kata, laras dan gaya baharu
diperkenalkan dan dimantapkan oleh media, sesuai dengan perkembangan politik,
sosial dan ekonomi negara (Jeneri Amir 2009; 162).
Begitu banyak buku dalam
bahasa Melayu untuk semua peringkat diterbitkan, Namun begitu banyak tesis pada
peringkat sarjana dan doktor falsafah dihasilkan dalam bahasa itu. Wang dan
masa juga banyak diperuntukkan untuk membina dan memajukan bahasa itu hingga
mencapai tahap yang membanggakan. Walau bagaimanapun, cabaran tetap dihadapi
oleh bahasa Melayu ketika memasuki alaf baru (Jeniri Amir 2009; 162).
Bagi pejuang bahasa, dasar
penggunaan bahasa Inggeris untuk mengajarkan mata pelajaran sains dan teknologi
akan membawa kesan buruk terhadap bahasa Melayu. Ini kerana perubahan dasar
tersebut menjadikan bahasa Melayu tidak berupaya digunakan sebagai bahasa
pengantar sains dan teknologi. Isyarat yang dihantar daripada dasar tersebut
yang dibantu oleh media arus perdana dalam menyebarkan pandangan para pemimpin
tertentu tidak membawa kebaikan terhadap bahasa Melayu, ketika pejuang bahasa
berusaha untuk mengangkat martabat bahasa itu menjadi bahasa antarabangsa.
Tidak hairanlah, ada yang menyifatkan langkah tersebut sebagai usaha untuk
membunuh bahasa itu kerana tentu ada yang hilang keyakinan terhadap bahasa
Melayu daripada tindakan berkenaan, seolah-olah menujukkan bahawa bahasa Melayu
ialah bahasa yang tidak berupaya mengungkapkan ilmu tinggi, malah, tidak
mempunyai nilai ekonomi yang boleh dibanggakan (Jeniri Amir 2009; 163).
Golongan elit dan pemimpin
politik, mencuba menafikan peranan bahasa kebangsaan dalam membina suasana yang
membolehkan negara mencapai kemajuan dengan begitu pesat. Persoalan yang kerap
dibangkitkan oleh mereka melalui strategi yang merendah-rendahkan keupayaan
bahasa kebangsaan sebagai bahasa ilmu dan bahasa perhubungan telah menimbulkan
krisis keyakinan masyarakat terhadap keupayaan bahasa kebangsaan. Malah, beliau
berpendapat bahawa masalah psikologi yang dihadapi oleh golongan ini, sedikit
sebanyak telah mempengaruhi dasar kerajaan berhubung dengan isu bahasa di
negara ini (Jeniri Amir 2009; 164).
Dalam hal yang lain pula,
perhatikan iklan dalam media massa, terutama iklan televisyen, Iklan begitu
banyak menggunakan bahasa Inggeris, sedangkan sebahagian besar masyarakat
Malaysia faham akan bahasa kebangsaan. Radio swasta pula keseluruhannya
menekankan rancangan dalam bahasa Inggeris kerana mempunyai kepercayaan bahawa
penutur dalam bahasa Inggeris lebih berpengaruh dan mempunyai kuasa beli yang
tinggi. Mitos agung tentang kehebatan bahasa Inggeris dan kekurangan bahasa
Melayu yang turut disebarkan dengan giat oleh akhbar, terutama akhbar bahasa
Inggeris di negara ini perlu dihentikan. Alangkah malangnya nasib bahasa Melayu
di buminya sendiri apabila itu dianggap tidak akan dapat menjamin kemajuan
bangsa, dan lebih parah lagi bahasa itu bukan menjadi syarat untuk mendapatkan
pekerjaan (Jeneri Amir 2009; 164).
Generasi muda juga tidak
kurang kelirunya kerana mereka terpengaruh oleh dakwaan dan propaganda yang
diasak bertubi-tubi ke dalam minda mereka, betapa mereka perlu menguasai bahasa
Inggeris. Mereka menggunakan bahasa Melayu yang tidak sempurna, walhal seluruh
pembelajaran diikuti melalui bahasa itu. Untuk kelihatan hebat, mereka
mencampuradukkan bahasa melayu dengan bahasa Inggeris sehingga menjadi bahasa
rojak. Bahasa yang digunakan tidak murni hanya kerana mereka ingin menunjukkan
bahawa mereka juga dapat menguasai bahasa Inggeris (Jeneri Amir 2009; 165).
Perlu disedari bahawa
ramai pihak terutama pejuang bahasa telah berjuang untuk memajukan bahasa
Melayu dan mengangkat martabatnya hingga ke tingkat yang tepuji. Segala usaha
yang dilakukan selama berpuluh-puluh tahun akan menjadi sia-sia jika ada
golongan tertentu mengambil langkah tidak langsung untuk menguburkan bahasa
itu. Sebagai rakyat yang merdeka, semua golongan seharusnya memperlihatkan
kemerdekaan yang sebenar, dengan menunjukkan kecintaan dan kebanggan terhadap
bahasa itu. Bukti kebanggaan dan kecintaan adalah dengan menggunakan bahasa
Melayu sebaik dan seluas mungkin, tanpa dibelenggu rasa rendah diri dan minda
yang tertawan (Jeneri Amir 2009; 167).
2.3.6 CABARAN SISTEM PENDIDIKAN KEBANGSAAN
SEKARANG
Pada saat sistem pendidikan ini menunjukkan
kejayaannya, datang pula cabaran-cabaran dari kalangan pemimpin orang melayu
sendiri. Cabaran pertama ialah ada pemimpin yang tidak menyakini kemampuan
bahasa Melayu untuk menyampaikan ilmu
sains dan teknologi. Oleh itu bahasa Melayu hendak diganti dengan bahasa Inggeris
sebagai bahasa penghantar sains dan teknologi di pusat pengajian tinggi.
Kedua iaitu timbul
keghairahan untuk mengizinkan penubuhan universiti swasta. Bilangan universiti
ini semakin banyak sehingga melebihi bilangan universiti tempatan. Universiti-universiti
swasta ini menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa penghantar. Perkembangan
ini mencairkan sistem pendidikan kebangsaan yang menggunakan bahasa Melayu.
Ketiga ialah wujud
persepsi bahawa bahasa Melayu itu hanya melambatkan pembangunan. Jawapan kepada
masalah ini dikatakan berada pada bahasa Inggeris.
Ketiga-tiga isu ini
mencabar sistem pendidikan kebangsaan sekarang dimana ketiga-tiga isu ini
dahulunya merupakan perjuangan oleh orang bukan Melayu dan pasti mencetuskan
reaksi politik orang Melayu pada masa dahulu.
2.4 PERANAN BAHASA MELAYU DALAM PENDIDIKAN
Kedudukan dan peranana bahasa Melayu dalam
bidang pendidikan sama pentingnya dengan kedudukan dan peranan bahasa melayu
sebagai bahasa rasmi dalam pentadbiran. Menurut teori perancangan bahasa, dasar
bahasa dalam pendidikan merupakan pecahan daripada dasar bahasa rasmi. Dengan
kata lain, penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa penghantar pendidikan
sebagaimana ayang tercatat dalam dasar Pendidikan Kebangsaan bertujuan memenuhi
konsep dan peranana bahasa rasmi juga ( Awang Sariyan1996: 5).
Inti sari dasar pendidikan
Kebnagsaan di Malaysia ialah “ mewujudkan suatu masyarakat yang bersatupadu
melalui sistem persekolahan yang menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa
penghantar’’. Dua dokumen yang terpenting dalam hubungannya dengan pembentukkan
dasar pendidikan kebangsaan yang menekankan penggunaan bahasa penghantar ialh Penyata Razak 1956 dan Penyata Abdul
Rahman Talib 1960. Ordinan pendidikan 1957 berdasarkan pada usul-usul Penyata
Razak dan Akta Pendidikan 1961 pula berdasar pada Penyata Abdul Rahman Talib.
Penyata Abdul Rahman Talib pada hakikatnya memperkukuh usul-usul Penyata Razak
( Awang Sariyan1996: 6).
Pandangan secara kasarnya,
penggunaan Bahasa Melayu dalam bidang pendidikan Malaysia sudah mencapai tahap
yang memuaskan kerana bahasa Melayu sudah dapat dijadikan sarana ilmu
pengetahuan dari peringkat dasar hingga peringkat pengajian tinggi. Bahkan
terdirinya Universiti Kebangsaan Malaysia pada tahun 1970 yang mendukung
penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa penghantar menunjukkan kemajuan yang
patut dibanggakan. Walaupun bagaimanapun, terdapat sedikit masalah di dalam
perkembangan itu (Awang Sariyan1996: 6).
2.5 PERANAN BAHASA MELAYU SEBAGAI ALAT
PENGUCAPAN KEBUDAYAAN KEBANGSAAN
Apabila negara mencapai kemerdekaan sebagai
hasil perjuangan gigih para nasionalis sejak beberapa lama, telah dibuat
ketetapan politik untuk menabalkan bahasa Malayu sebagai bahasa kebangsaan
negara pada ketika itu. Dengan yang demikian, bahasa tersebut dipilih menjadi
salah satu petanda yang melambangkan keperibadian bangsa baru. Berdasarkan
latar belakang infrastruktur perkembangan bahsa kebangsaan kita yang selama
lebih daripada suku abad pembangunan negara ini, maka wajarlah kita
mengharapkan bahasa kebangsaan itu kini sudah merupakan bahasa pengucapan dan
perantaraan kebudayaan kebangsaan moden dalam bidang intelektual, dan ilmu. (Rustam
A.Sani. 1993:2).
Akan tetapi, apabila
diperhalusi, ternyata bahawa hal tersebut masih belum terjadi. Paling banyak,
kita hanya dapat mendakwa bahawa bahasa kebangsaan kita hanya berada pada
peringkat rasmi sahaja, iaiatu digunakan dengan meluas dalam surat-surat rasmi
pemerintah dan dalam pengajaran formal di sekolah-sekolah dan pusat pengajian
tinggi. Jika ditinjau pada peringkat penggunaan sehari-hari dalam kegiatan para
profesional dan golongan terpelajar masyarakat kita dalam ilmu-ilmu moden, ternyata
bahawa bahasa kebangsaan masih belum mencapai kedudukannya dan peranannya
secara jitu. (Rustam A.Sani. 1993:3).
Oleh yang demikian, bahasa
kebangsaan sebagai bahasa pengucapan kebudayaan intelektual di negara ini
amatlah mundur. Kerana tuntutan rasmi pengajaran, ilmu-ilmu tersebut di pusat
pengajian tinggi dilakukan dalam bahasa kebangsaan tetapi hakikat budaya
profesion adalah berlainan. Selain beberapa buku teks, bilangan buku dalam
ilmu-ilmu moden dalam bahasa kebangsaan amatlah terbatas. Satu sebabnya ialah
sebahagian besar golongan profesional kita hanyalah merupakan pengguna
pengetahuan barat dalam bahasa barat. (Rustam A.Sani. 1993:3).
Kesan dari suasana
intelektual bangsa kita terhadap peranan bahasa kebangsaan sebagai alat
pengucapan kebudayaan moden amatlah suram. Amat menggerunkan bahawa sejak
akhir-akhir ini, para pemimpin politik yang kita harapkan sebagai kuasa
pendorong perkembangan bahasa kebangsaan sebagai alat pengucapan kebudayaan
kebangsaan sudah mulai kendur. Meluasnya penggunaan bahasa Inggeris oleh para
pemimpin, dengan mudah sekali akan ditafsirkan oleh golongan-golongan yang
masih belum mantap keyakinannya terhadap bahasa itu sebagai petanda tentang
betapa tidak pentingnya bahasa itu untuk kehidupan nasional negara baru yang
berusaha menjelma menjadi negara moden. (Rustam A.Sani. 1993:7).
2.6 PERANAN BAHASA MELAYU SEBAGAI ALAT
PERPADUAN
Peranan bahasa Melayu sebagai alat perpaduan tidak boleh diperkecil-kecil. Dalam
keadaan pembangunan ekonomi mengakibatkan jurang sosial yang bertambah besar,
peranan bahasa Melayu lebih penting lagi. Kita tidak harus menolak pentingnya
mempelajari bahasa Inggeris. Bahkan kita mahu, jika dapat anak-anak kita
mempelajari bahasa-bahasa besar yang lain sperti Perancis, Cina, Rusia, Jerman,
Arab, Tamil dan selain bahasa Inggeris. Yang tidak harus berlaku ialah bahasa
Inggeris itu mengatasi taraf serta nilai bahasa Melayu sebagai bahasa
penghantar pentadbiran dan bahasa pendidikan (Husin Ali 1996: 171).
Bahasa Innggeris serta
bahasa-bahasa lain itu perlu diajar sebagai mata pelajaran sahaja dari
peringkat awal dan menengah lagi untuk member kecekapan yang kukuh di peringkat
universiti (Husin Ali 1996: 171).
Pemimpin-pemimpin politik
yang bekuasa mempunyai pengaruh yang besar untuk mencorakkan masa depan bangsa
dan negara kita. Mereka perlu mempunyai azam, iltizam, visi dan “political
will” untuk menentukan supaya ada keseimbangan serta penggabungan yang rasional
serta menguntungkan antara unsur-unsur antarabangsa (atau global) dengan
kebangsaan (atau lokal), antara pemodenan dengan keperibadian bangsa, antara
kemajuan dengan keadilan, antara pembangunan ekonomi dengan perkembangan
manusia serta budaya, antara bahasa Inggeris dengan bahasa Melayu serta bahasa
setempat yang lain. Tamadun yang hendak kita capai boleh dibina tanpa mengorbankan perkembangan bahasa
ibunda. Dalam dunia ini banyak masyarakat yang membangun serta bertamadun
dengan bahasanya sendiri tanpa meletakkan bahasa asing, iaitu bahasa Inggeris,
sebagai bahasa utama mereka. Sebaliknya, ada negeri yang terus mundur, walaupun
mengutamakan bahasa Inggeris lebih daripada bahasa ibunda sendiri (Husin Ali
1996: 171).
2.7 PERANAN BAHASA MELAYU DALAM EKONOMI
2.7.1 Bidang Industri
Penggunaan bahasa dalam bidang Industri,
bahasa Melayu telah memperlihatkan keupayaan. Ini berlaku kerana dua sebab,
iaitu :
Kejayaan sistem pendidikan
negara, yang telah melahirkan lulusan yang mampu memperkatakan segala ilmu
pengetahuan dalam bahasa Melayu, walaupun sebahagian besar daripada
istilah-istilahnya terdiri daripada istilah pinjaman. Antara contoh-contoh
penggunaan bahasa Melayu ialah penyampaian arahan-arahan kepada pekerja,
manual-manual ringkas, dan pentadbiran.
Proses pembinaan bahasa
Melayu telah berjalan dengan rancaknya, melalui usaha Dewan Bahasa dan Pustaka
dan pihak-pihak lain. Di samping pembinaan istilah dan bahan-bahan rujukan,
penyediaan bahan-bahan bacaan dalam pelbagai laras dilaksanakan dengan amat
berkesan.
Dengan itu bahasa Melayu
perlu dipertahankan, walaupun bahasa Melayu dikatakan dapat mengungkapkan
segala ilmu pengetahuan yang ada, namun usaha-usaha peningkatan masih perlu.
Istilah-istilah yang lebih sesuai dan pelbagai perlu diperkembangkan. Cara-cara
pengungkapan bidang industri perlu dimantapkan, untuk melahirkan laras-laras
yang benar-benar berkesan. Bidang industri itu sendiri berubah dan berkembang.
Maka itu, bahasa Melayu juga perlu turut berkembang, dengan istilah dan
cara-cara pengungkapan baharu. Potensi bahasa Melayu dalam bidang Industri
bukan sahaja perlu diperlihatkan, tetapi juga perlu dipertahankan dalam proses
peredaran zaman ( Nik Safiah 2000 : 15-17 ).
2.7.2 Bidang perdagangan
Hakikat sejarah kita menyedari bahawa gagasan
bahasa Melayu sebagai perdagangan di samping gagasan bahasa Melayu sebagai
bahasa ilmu, bahasa undang-undang, bahasa kesusasteraan tinggi, bahasa
ketatanegaraan, dan sebagainya bukan suatu yang baru. Bahasa Melayu pada zaman
yang lebih awal memang telah menjadi bahasa perdagangan. Konsep lingua franca
yang dikaitkan dengan kedudukan dan peranan bahasa Melayu beberapa abad yang
silam itu sebenarnya peranan bahasa Melayu sebagai bahasa perdagangan.
Peranan bahasa Melayu
sebagai bahasa perdagangan di rantau ini secara jelas bermula pada zaman
Sriwijaya, iaitu kuasa kelautan bumiputera yang pertama menyebabkan bahasa
Melayu melalui pengaruh politik dan
ekonominya pada pertengahan abad ke -7 Masihi. Rakyat Sriwijaya dikenal sebagai
kaum pedagang yang pintar. Sehingga akhir ke-13, Sriwijaya menjadi kuasa
politik dan ekonomi yang besar, meliputi Sumatera, Jawa, Semenanjung Tanah Melayu, Segenting Kera, dan Sri Lanka.
Melalui peluasan kuasa politik itulah bahasa Melayu turut berkembang sebagai
bahasa perdagangan.
Tahap kedua kegemilangan
bahasa Melayu sebagai bahasa perdagangan berlaku pada zaman kerajaan Melayu
Melaka yang bermula pada akhir abad ke-14. Sejarah membuktikan bahawa Melaka,
selain menjadi kuasa politik Melayu yang agung sehingga awal abad ke -16
menjadi pelabuhan dan pusat perdagangan bagi kepulauan Melayu. Pelbagai rupa
bangsa berhimpun melaksanakan urus niaga
di Melaka dengan menggunakan bahasa Melayu sebagai lingua franca. Oleh
itu, pedagang asing, bahasa Melayu dipelajari kerana nilai ekonominya yang
tinggi, sehingga bahasa Melayu merupakan bahasa terhormat di antara
bahasa-bahasa negeri timur, dan orang yang tidak menguasai bahasa Melayu
samalah dengan orang tidak menguasai bahasa Perancis di negeri Belanda pada
ketika itu (Nik Safiah 2000 : 86-87 ).
2.7.3 Sektor-sektor perdagangan yang terlibat
Dalam perencanaan strategi memulihkan peranan
bahasa Melayu sebagai bahasa perdagangan, kita perlu mengenal pasti
sektor-sektor yang terlibat. Dengan demikian, barulah dapat kita rencanakan
pelaksanaan berjadual penggunaan bahasa Melayu dalam perdagangan.
Sektor-sektor penting dalam bidang perdagangan
yang berkaitan dengan pelaksanaan bahasa Melayu ialah:
§ Sektor korporat : Berkaitan
dengan pengurusan dan pendokumentasian .
§ Sektor publisiti dan
promosi : Berkaitan dengan pengiklanan,
penamaan syarikat, dan penggunaan bahasa di tempat awam.
§ Sektor urus niaga : Berkaitan
dengan penggunaan bahasa Melayu dalam interaksi perdagangan yang sebenarnya.
(Nik Safiah 2000 : 88).
2.8 KESIMPULAN
Kesimpulannya ialah kita perlulah mengekalkan
bahasa Melayu sebagai suatu bahasa rasmi sekalipun di mana-mana bidang. kita
juga seharusnya mempunyai pendirian yang tetap dan perlulah mengenang semula pejuang-pejuang
bahasa Melayu terdahulu sehingga berlaku tragedi 13 Mei 1969 bagi menjadikan bahasa
Melayu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi yang tunggal dan bahasa
penghantar utama dalam sistem pendidikan negara semata-mata untuk mencapai
matlamat perpaduan antara etnik tercapai . Maka perjuangan bahasa Melayu ini
perlu diteruskan.
Tambahan lagi kita
perlulah menyemak semula tujuan Laporan Razak dan Laporan Rahman Talib yang hendak
menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa penghantar utama di semua sekolah dan
universiti terus dikekalkan dan dilaksanakan sepenuhnya agar perpaduan
kebangsaan dapat dicapai. Ini kerana, bahasa Melayu sebagai teras keperibadian
kebangsaan hendaklah terus dipupuk dan diperkembang.
Demi kepentingan
kebangsaan, perpaduan negara, keperibadian Malaysia dan keamanan, maka langkah
menjaga bahasa Melayu sebagai bahasa Kebangsaan perlu diperkukuh dan ditingkatkan
bukan dihilangkan dan digantikan dengan bahasa lain. Ini kerana, perlu
diketahui untuk mencapai perpaduan adalah dengan penggunaan satu bahasa yang
sama bagi memudahkan interaksi antara etnik.
Justeru fungsi bahasa Melayu adalah pelbagai mengikut bidang dan untuk
kesejahteraan negara kita.
Tambahan lagi, sekalipun
untuk pembangunan negara dengan menggunakan bahasa Inggeris dalam bidang
ekonomi , perindustrian, dan perdagangan , apa salahnya jika Bahasa Melayu itu
digunakan . Dasar dwibahasa ini lebih baik daripada kita mengetepikan terus bahasa
Melayu dalam sektor tersebut. Perlu diketahui bahawa kemajuan bahasa Melayu
bergantung pada keluasan penggunaannya. Ketidakmampuan orang menggunakan bahasa
Melayu dalam bidang-bidang yang tinggi jangan dijadikan alasan untuk menyekat
penggunaan bahasa Melayu ini dalam semua sektor pembangunan negara.
Demikianlah jika kita mahu
menyelamatkan dasar bahasa yang ada dan kedudukan bahasa Melayu di negara ini
sebagai bahasa kemajuan, bahasa pendidikan, bahasa ilmu , perlu ada kempen
besar-besaran untuk memusnahkan persepsi dan andaian yang salah terhadap bahasa
Melayu dan hubungannya dengan kemajuan bangsa Melayu ( Hassan Ahmad 2006:
42).
Justeru, bagi mencapai
tahap penerimaan , penggunaan bahasa Melayu oleh etnik yang lain khususnya
bangsa Cina dan India, orang Melayu mestilah terlebih dahulu menyakini akan
kemampuan bahasa Melayu boleh mencapai tahap kemajuan kepada negara Malaysia
tanpa merasa sangsi dan menggunakan bahasa Melayu dalam pendidikan, pentadbiran
dan lain-lain. Oleh itu, barulah perpaduan dapat dicapai sekiranya orang Melayu
sendiri menunjukkan bukti kejayaan bahawa rakyat Malaysia boleh maju ke hadapan
dengan bahasa Melayunya sendiri bukan maju dengan bahasa lain. Demikianlah,
sekiranya ingin melangkah jauh biarlah membawa bersama dengan bahasa Melayu
kita kerana ia merupakan identiti rakyat Malaysia dan perpaduan dapat dipupuk .
Oleh itu, langkah kesedaran semula dan penelitian dan kajian yang mendalam
perlu dilakukan bagi meningkatkan semula peranan bahasa Melayu di dalam
kehidupan masyarakat di Malaysia.
BAB 3
TAHAP PENERIMAAN DAN PENGGUNAAN BAHASA MELAYU
SEBAGAI BAHASA KEBANGSAAN DI MALAYSIA: KAJIAN DI KALANGAN PELAJAR KAUM CINA DAN
INDIA DI UNIVERSITI KEBANGSAAN MALAYSIA (UKM)
3. 1 Pengenalan
Di dalam bahagian ini, kajian ini telah dibuat
khususnya kepada pelajar kaum china dan India di Universiti Kebangsaan
Malaysia. Terdapat sepuluh soalan yang merangkumi tiga objektif utama iaitu
ü Mengenal pasti tahap
penerimaan pelajar UKM terhadap Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan.
ü Mengenal pasti tahap
penggunaan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan di kalangan pelajar UKM.
ü Mengkaji sejauh mana
perpaduan kaum dapat dipupuk hasil
daripada penerimaan dan penggunaan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan di
kalangan pelajar UKM .
Sebanyak 30 kertas soal selidik telah
diedarkan kepada pelajar UKM. Pada soalan 1 hingga soalan 3 untuk mencari
objektif pertama, soalan 4 hingga soalan 6 untuk mengenalpasti objektif kedua
dan pada soalan 7 sehingga 10 untuk mengkaji objektif ketiga.
3.2 Analisis Kajian
(BAHAGIAN 1)
Pada bahagian 1 ialah mengkaji latarbelakang
pelajar UKM yang terdiri daripada jantina, umur, bangsa, agama dan fakulti.
Berdasarkan Rajah dibawah
menunjukkan bahawa kadar peratusan untuk perempuan ialah 60% lebih tinggi
berbanding 40% pelajar lelaki yang telah memberi respondan. Ini kerana, pelajar
perempuan lebih senang dan mudah untuk memberi kerjasama. Dan faktor lain ialah
kami mengedarkan soal selidik ini di sekitar UKM seperti di perpustakaan, kolej
dan fakulti. Jadi hasil kajian ini lebih tertumpu kepada perempuan kerana
faktor tempat dan keadaan.
Rajah 1.1 Peratusan bagi jantina
Seterusnya berdasarkan
rajah 1.2 di bawah hasil kajian peratusan Cina ialah 37% dan India ialah 63%.
Ini menunjukkan bahawa responden pelajar Cina
lebih banyak berbanding pelajar India. Ini berkemungkinan kerana jumlah
pelajar Cina di UKM lebih banyak berbanding jumlah pelajar India. Namun
begitu, kajian ini hanya memberi tumpuan
kepada pelajar Cina dan India sahaja bagi mengetahui tahap penerimaan dan
penggunaan mereka terhadap Bahasa Melayu
sebagai Bahasa Kebangsaan.
Rajah 1.2 peratusan bagi bangsa Cina dan India
Selain itu, peringkat umur
juga dikaji dan berdasarkan gambar rajah 1.3 dibawah menunjukkan purata
bagi kalangan umur pelajar Cina dan India. Terdapat umur 18 tahun ke bawah seramai
2 pelajar dan umur 26 sehingga 30 seramai 3 pelajar. Dan kebanyakkan umur ialah di kalangan pelajar yang berumur sekitar 19 sehingga 25
tahun iaitu seramai 25 pelajar. Ini bertepatan dengan peringkat umur responden
kami yang terdiri daripada prasiswazah
dan siswazah.
Rajah 1.3 peratusan peringkat umur
Seterusnya Rajah 1.4
menunjukkan bahawa terdapat tiga agama yang terdiri daripada Hindu , Budha, dan
kristian. Terdapat 15 pelajar yang
terdiri daripada agama Budha dan 10 pelajar yang beragama kristian. Oleh itu, kajian
mendapati bahawa kebanyakkan responden yang terdiri daripada bangsa Cina
menganut agama Budha dan Kristian. Ini bertujuan bagi mengenalpasti latar
belakang budaya dan agama mereka.
Rajah 1.4 peratusan agama yang dianuti
Seterusnya , rajah 1.5
menumpukankan fakulti yang paling ramai terdiri daripada Fakulti Sains dan
teknologi sebanyak 9 pelajar, Teknologi Sains dan Maklumat seramai 6 pelajar
dan Sains Sosial dan kemanusiaan seramai 6 pelajar yang menjadi responden.
Kemudian jumlah bagi fakulti yang terdiri daripada lain-lain seperti fakulti ekonomi
dan pengurusan, pendidikan, sains kesihatan , kejuruteraan dan alam bina serta
permata pintar. Ini bagi mengenalpasti kebarangkalian etnik lain di dalam
fakuti tersebut dan sejauh mana penggunaan Bahasa Melayu mereka di setiap
fakulti yang mereka duduki.
Rajah 1.5 bilangan pelajar mengikut fakulti
(Bahagian 2)
Pada bahagian 2 ini terdapat 10 soalan bagi mencapai tiga objektif secara
keseluruhannaya iaitu mengenalpasti tahap penerimaan dan penggunaan Bahasa
Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan di kalangan pelajar UKM yang terdiri bangsa
Cina dan India seterusnya sejauh mana Bahasa Melayu sebagai alat perpaduan
di kalangan etnik yang pelbagai.
a) Berikut ialah hasil kajian bagi mengenal
pasti tahap penerimaan pelajar UKM terhadap Bahasa Melayu sebagai Bahasa
Kebangsaan.
Pada Rajah 2.1 memperlihatkan
peratusan penerimaan terhadap
peruntukkan yang disentuh dalam perlembagaan melalui perkara 152 iaitu Bahasa
Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan. Sebanyak 80% setuju dan 20% tidak pasti dan
0% tidak setuju.
Rajah 2.1 Peratusan
penerimaan terhadap peruntukkan yang disentuh dalam perlembagaan melalui
perkara 152 iaitu Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan.
Rajah ini memberi
penjelasan bahawa 24 pelajar UKM yang berbangsa Cina dan India mengetahui
bahawa terdapat peruntukkan yang disentuh dalam perlembagaan melalui perkara
152 iaitu Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan. Seterusnya terdapat 6
pelajar sahaja yang tidak pasti dan tiada pelajar yang tidak setuju. Justeru, kajian ini mendapati bahawa pelajar
UKM yang berbangsa Cina dan India telah didedahkan tentang pengetahuan yang
berkaitan di dalam perlembagaan iaitu perkara 152. Ini berkemungkinan berikutan
daripada pendedahan subjek Hubungan Etnik yang diwajibkan dan dipelajari oleh
setiap pelajar UKM. Subjek Hubungan Etnik sedikit sebanyak membantu memberi
pengetahuan tambahan kepada pelajar berkenaan. Tambahan lagi, pendedahan
matapelajaran Sejarah di Sekolah Menengah dan Sekolah Rendah membantu menambah
pengetahuan mereka.
Seterusnya pada rajah
2.2 menunjukkan bahawa peratusan penerimaan
bagi setiap etnik di Malaysia menerima bahawa Bahasa Melayu sebagai
Bahasa Rasmi Negara Malaysia. Peratusan memperlihatkan bahawa terdapat 83% yang
setuju, 14% yang tidak pasti dan 3% yang tidak setuju.
Rajah 2.2 Peratusan
penerimaan bagi setiap etnik di Malaysia
menerima bahawa Bahasa Melayu sebagai Bahasa Rasmi Negara Malaysia.
Rajah ini memberi
penerangan bahawa tahap keyakinan pelajar Cina dan India bagi setiap etnik di
Malaysia menerima Bahasa Melayu sebagai Bahasa Rasmi Negara Malaysia. Sebanyak
25 pelajar yang setuju, 4 pelajar yang
tidak pasti dan seorang pelajar yang tidak setuju. Ini menunjukkan bahawa
pelajar Ukm yang berbangsa Cina dan India majoriti menyakini setiap etnik
menerimanya. Ini memberi kemungkinan bahawa, melihat kepada gambaran sosial
pelajar Cina dan India yang menerima Bahasa Melayu di dalam perkara-perkara
yang melibatkan perkara rasmi seperti di dalam bidang pendidikan dan
pentadbiran. Kemudian terdapat 14% yang kurang pasti dan 3% tidak setuju. Ini
menunjukkan bahawa sebahagian pelajar Cina dan India kurang pasti atau tidak
meneliti akan penerimaan pelajar Cina dan India terhadap Bahasa Melayu sebagai
Bahasa Kebangsaan bagi setiap etnik.
Seterusnya rajah 2.3
yang menunjukkan peratusan penyataan sokongan pelajar Cina dan India terhadap
Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan Malaysia. Terdapat 77% setuju, 20%
tidak pasti dan 3% tidak setuju.
Rajah 2.3 menunjukkan bahawa tahap peratusan
sokongan terhadap Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan Malaysia.
Rajah ini menunjukkan
bahawa sebanyak 23 pelajar yang menyokong , 6 pelajar tidak pasti dan seorang
pelajar tidak setuju. Berikutan daripada jumlah tersebut menjelaskan bahawa
majoriti pelajar Cina dan India menyokong Bahasa Melayu sebagai Bahasa
Kebangsaan Malaysia. Walaubagaimanapun, terdapat 6 orang yang tidak pasti dan
seorang yang tidak setuju. Ini berkemungkinan bahawa mereka lebih selesa dengan
menggunakan bahasa etnik mereka dan lebih senang untuk menggunakan bahasa Inggeris
yang kini dilihat sebagai satu bahasa yang penting.
Oleh itu, di sini memberi kesimpulan
bahawa tahap penerimaan pelajar UKM yang berbangsa Cina dan India adalah tinggi
dan memuaskan. Ini disebabkan peratusan bagi “ sangat setuju” untuk ketiga-tiga
pernyataan melebihi jumlahnya berbanding yang tidak pasti dan yang tidak
setuju. Justeru, kajian mendapati bahawa jumlah pelajar UKM yang berbangsa Cina
dan India secara puratanya mengetahui, menyakini dan menyokong Bahasa Melayu
sebagai Bahasa Kebangsaan Malaysia di tahap yang memuaskan.
b) Berikut ialah hasil kajian terhadap tahap
penggunaan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan di kalangan pelajar UKM.
Seterusnya jadual 2.4 menunjukkan
bahawa peratusan yang sangat setuju menggunakan Bahasa Melayu sebagai bahasa
seharian ialah 37%, tidak pasti 27% dan 36% tidak setuju.
Rajah 2.4
peratusan tahap penggunaan Bahasa
Melayu sebagai bahasa harian mereka
Rajah 2.4 menunjukkan
bahawa terdapat 11 pelajar yang menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa harian
mereka. Kemudian, 8 pelajar yang tidak pasti dan 11 pelajar yang tidak
menggunakannya. Ini menjelaskan bahawa tidak banyak perbezaan jumlah bagi yang
menggunakan dan yang tidak menggunakan Bahasa Melayu sebagai bahasa Harian. Ini
berkemungkinan bahawa faktor persekitaran sosial dan tempat belajar serta
tempat tinggal mereka mempengaruhi bahasa harian yang mereka gunakan dalam kehidupan
mereka.
Seterusnya rajah 2.5
menunjukkan bahawa terdapat sebanyak 47% bersetuju menggunakan Bahasa Melayu
apabila berkomunikasi dengan etnik lain sahaja. Kemudian 40% yang tidak pasti
dan 13% tidak bersetuju.
Rajah 2.5 menunjukkan tahap peratusan penggunaaan Bahasa Melayu apabila
berkomunikasi dengan etnik lain sahaja.
Rajah 2.5 menunjukkan
bahawa sejumlah 14 pelajar menggunakan Bahasa Melayu apabila berkomunikasi
dengan etnik lain sahaja adalah tinggi. Seterusnya 12 pelajar lagi tidak pasti
dan 4 pelajar tidak setuju menggunakannya pada etnik lain sahaja. Peratusan ini
sekali gus menguatkan bahawa tahap
penggunaaan Bahasa Melayu apabila berkomunikasi dengan etnik lain sahaja
adalah tinggi dan interaksi tersebut berlaku pada etnik lain sahaja seperti
Orang Melayu. Kajian mendapati bahawa terdapat kemungkinan pelajar tersebut
lebih senang untuk menggunakan Bahasa Melayu pada etnik lain kerana faktor
bahasa yang berbeza dan bahasa Melayu lebih mudah digunakan sebagai satu
interaksi sosial di sekitar mereka berikutan jumlah komuniti Orang Melayu lebih
ramai daripada jumlah kaum mereka.
Seterusnya rajah 2.6 menunjukkan bahawa
bilangan yang bersetuju ialah 80% , 17% tidak pasti dan 3% tidak setuju.
Rajah 2.6 menunjukkan bahawa tahap peratusan
persetujuan matapelajaran Bahasa Melayu
digunapakai sebagai matapelajaran wajib di sekolah rendah dan sekolah menengah.
Rajah 2.6 menunjukkan
bahawa terdapat 24 pelajar bersetuju matapelajaran Bahasa Melayu digunapakai
sebagai matapelajaran wajib di Sekolah Rendah dan Sekolah Menengah adalah
tinggi. Kemudian 5 pelajar tidak pasti dan seorang pelajar tidak bersetuju.
Kemungkinan kebanyakkan yang bersetuju ini kerana kesedaran mereka kepada
fungsi Bahasa Melayu itu sendiri. Dimana Bahasa Melayu sudah menjadi suatu
perkara yang mesti diketahui dan boleh digunakan bagi interaksi antara kaum.
Selain itu juga penekanan daripada pihak kerajaan Malaysia dan pihak Universiti
Kebangsaan Malaysia akan kesedaran Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan telah
membuka minda kesedaran mereka akan kepentingan mempelajari Bahasa Melayu.
Oleh itu, bagi objektif
kedua iaitu tahap penggunaan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan adalah di
tahap sederhana dimana hanya sebahagian sahaja daripada mereka menggunakan
Bahasa Melayu sebagai bahasa harian mereka dan mereka hanya menggunakan Bahasa
Melayu apabila bersama dengan etnik lain sahaja. Walaubagaimanapun, tahap
persetujuan Bahasa Melayu digunapakai sebagai matapelajaran wajib di Sekolah
Rendah dan Sekolah Menengah adalah tinggi dan memuaskan. Ini berikutan kerana faktor
persekitaran mereka menjadikan matapelajaran Bahasa Melayu adalah satu
keperluan lebih-lebih lagi apabila telah memasuki Universiti Kebangsaan
Malaysia yang menekankan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan.
C) Berikut ialah hasil kajian bagi mendapatkan
objektif ketiga iaitu sejauh mana perpaduan kaum dapat dipupuk hasil daripada penerimaan dan penggunaan
Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan di kalangan pelajar UKM
Seterusnya rajah 2.7 yang menunjukkan
bahawa terdapat 67% pelajar yang bersetuju, 27% yang tidak pasti dan 6% yang
tidak bersetuju.
Rajah 2.7 menunjukkan tahap keyakinan bahawa Bahasa Melayu sebagai Bahasa
Kebangsaan diwujudkan sebagai medium komunikasi atau bahasa pertuturan antara
kaum
Rajah 2.7 menunjukkan
bahawa terdapat 20 pelajar yang terdiri bangsa Cina dan India menyakini bahawa
Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan diwujudkan sebagai medium komunikasi
atau bahasa pertuturan antara kaum. Tahap peratusan yang bersetuju ini
berkemungkinan besar kerana mereka sendiri telah melihat akan kepentingan
Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan diwujudkan sebagai medium komunikasi
atau bahasa pertuturan antara kaum melalui suasana persekitaran sosial mereka
terutamanya di Universiti Kebangsaan Malaysia .Meskipun begitu, terdapat juga 8
pelajar tidak pasti dan 2 pelajar tidak menyakininya. Ini berkemungkinan kerana
tahap kesedaran dan pengetahun mereka belum tercapai dan kebarangkalian sentiasa
berinteraksi dengan etnik mereka sahaja atau menggunakan Bahasa Inggeris
sebagai Bahasa pengantar mereka apabila berinteraksi dengan etnik lain.
Seterusnya rajah 2.8 menunjukkan bahawa
terdapat 60% bersetuju, 33% peratus tidak pasti dan 7% tidak mempercayai bahawa
Bahasa Melayu berperanan sebagai alat yang menyatukan rakyat yang terdiri
daripada pelbagai etnik.
Rajah 2.8 menunjukkan tahap kepercayaan
pelajar bahawa Bahasa Melayu berperanan sebagai alat yang menyatukan rakyat
yang terdiri daripada pelbagai etnik.
Rajah 2.8 menunjukkan terdapat 18 pelajar yang
mempercayai bahawa Bahasa Melayu berperanan sebagai alat yang menyatukan rakyat
yang terdiri daripada pelbagai etnik. Ini berkemungkinan bahawa mereka telah
menyakini sejarah terdahulu bahawa Bahasa Melayu pernah mencapai perpaduan kaum
setelah dasar pendidikan dalam penyata Razak 1956 telah berjaya. Tambahan lagi,
melihat kepada suasana kebudayaan Malaysia sangat menitikberatkan “bahasa jiwa
bangsa” di dalam mengajak mereka bersama mencintai Bahasa Melayu walaupun
daripada pelbagai etnik.
Namun begitu, terdapat 10
pelajar yang tidak pasti dan 2 pelajar yang tidak mempercayai bahawa ianya alat
yang menyatukan rakyat yang terdiri daripada pelbagai etnik. Ini memberi
kemungkinan bahawa mereka masih belum mengetahui sejarah kejayaan Bahasa Melayu
dan tidak mengetahui fungsi sebenar Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan
diwujudkan.
Seterusnya, rajah 2.9
merupakan peratusan keyakinan pelajar
terhadap perpaduan kaum dapat dibentuk melalui penggunaan satu bahasa yang
sama iaitu sebnayak 60% dan yang tidak pasti 40% serta tidak ada yang
bersetuju.
Rajah 2.9 menunjukkan bahawa tahap peratusan
keyakinan pelajar terhadap perpaduan
kaum dapat dibentuk melalui penggunaan satu bahasa yang sama.
Rajah 2.9 memperlihatkan bahawa
terdapat 14 pelajar yang mempercayainya. peratusan yang mempercayai perpaduan
kaum dapat dibentuk melalui penggunaan satu bahasa yang sama adalah sama
peratusannya dengan Bahasa Melayu berperanan sebagai alat yang menyatukan
rakyat yang terdiri daripada pelbagai etnik iaitu sebanyak 14 pelajar. Ini
menguatkan lagi bahawa terdapat kaitan di antara kedua pernyataan tersebut dan
mereka mengakui ia boleh mencapai perpaduan. Namun begitu masih terdapat
sebilangan yang tidak pasti akan kewujudan penggunaan satu bahasa yang sama
boleh membantu tahap perpaduan kaum di Malaysia. Ini menunjukkan bahawa ia
masih di tahap yang masih kabur dan tidak memuaskan. Pun begitu, sebahagian
yang menyakininya adalah di tahap yang memuaskan.
Seterusnya
pada rajah terakhir iaitu rajah 2.10 kajian mendapati bahawa terdapat 30%
sahaja pelajar yang mempercayai bahawa rakyat Malaysia bersatu pada hari ini
kerana menggunakan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. Selebihnya iaitu
57% tidak pasti dan 13% tidak bersetuju.
Rajah 2.10 menunjukkan bahawa tahap peratusan
kepercayaan pelajar terhadap rakyat
Malaysia bersatu pada hari ini kerana menggunakan Bahasa Melayu sebagai bahasa
kebangsaan.
Justeru, rajah 2.10 telah
menjelaskan bahawa bilangan pelajar yang mempercayainya adalah sedikit iaitu
hanya 9 pelajar sahaja. Ini juga memberi perbezaan yang banyak dimana
pernyataan sebelum ini mendapat 60% bersetuju bahawa Bahasa Melayu sebagai alat
perpaduan. Namun, selepas persoalan ke sepuluh kadar peratusan itu menurun
kepada 30% sahaja yang bersetuju akan perpaduan hari ini adalah kerana
penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa Kebangsaan.
Ini berkemungkinan kerana tanggapan
mereka terhadap Bahasa Melayu pada hari ini bukan alat perpaduan. Kemudian tahap
kesedaran dan kepercayaan terhadap fungsi Bahasa Melayu semakin kabur dan
lenyap. Ini berikutan kerana, melihat kepada suasana politik semasa yang
sentiasa berlaku kekacauan dan ketidakpuasan oleh setiap rakyat memberi
gambaran kepada mereka bahawa Bahasa Melayu belum cukup untuk menyatupadukan
rakyat Malaysia.
Seterusnya terdapat 17
pelajar yang tidak pasti dan 4 pelajar yang tidak bersetuju. Ini mengurangkan
lagi pernyataan bahawa Bahasa Melayu itu boleh dijadikan sebagai alat perpaduan
adalah di tahap yang kurang memuaskan. Sekali gus, mengambarkan bahawa tahap
keberkesanan Bahasa Melayu sebagai satu cara untuk menyatupadukan rakyat adalah
tidak diyakini oleh pelajar terutamanya pelajar daripada bangsa Cina. Ini
kerana 63% daripadanya adalah responden daripada bangsa Cina.
Justeru objektif untuk
mengenalpasti sejauhmana perpaduan kaum dapat dipupuk hasil daripada penerimaan dan penggunaan
Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan di kalangan pelajar UKM adalah sedikit
, namun kajian mendapati bahawa secara puratanya 54% daripada objektif ketiga ini
adalah di tahap yang memuaskan dan 39% yang tidak pasti dan yang tidak setuju
adalah 7% sahaja.
Kesimpulannya ialah hasil
daripada kajian ini mendapati bahawa keseluruhan responden pelajar Cina dan
India untuk kesepuluh soalan berdasarkan kepada tiga objektif tadi. Bagi
objektif pertama, kajian mendapati
bahawa pelajar UKM yang berbangsa Cina dan India menerima Bahasa Melayu adalah
di tahap yang baik , seterusnya penggunaan Bahasa Melayu dalam kehidupan mereka
adalah di tahap yang memuaskan dan kemudian pengakuan mereka bahawa Bahasa
Melayu ini membantu untuk menyatukan rakyat adalah di tahap yang memuaskan juga.
Justeru, ini memberi kesimpulan besar bahawa, penerimaan , penggunaan dan
pengakuan bahawa Bahasa Melayu itu sebagai alat perpaduan adalah di tahap yang
baik, dimana sebanyak 62% yang bersetuju dan mengakuinya. Kemudian selebihnya
29% tidak pasti dan 9% tidak bersetuju.
4. RUJUKAN
Rustam A. Sani. 1993. Politik dan Polemik
Bahasa Melayu. Kuala Lumpur : Utusan Publications
Jeniri Amir. 2009. Bahasa Negara dan
Bangsa. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka
Asraf.
1996. Manifesto Budaya, Pupus Bahasa , Pupuslah Bangsa. Kuala Lumpur Dewan Bahasa dan Pustaka.
Idris Aman. 2011. Aksen Bahasa Kebangsaan :
Realiti Identiti Integrasi. Bangi : Kuala
Lumpur
Abdullah Hassan. 2008. Kongres Bahasa dan persuratan Melayu VII. Kuala
Lumpur : Persatuan penterjemah
Malaysia.
0 comments:
Post a Comment