F
|
enomena filem cinta yang selalu
ditayangkan di Malaysia seperti telah mengaburi hati masyarakat dengan
cinta-cinta manusia. Malah mesej yang ingin disampaikan melalui filem cinta ini
hanya berkaitan dengan cinta manusia yang tidak pernah ada kesudahannya. Filem
yang diterapkan jua tiada nilai malah mengubah pemikiran dan tingkah laku
masyarakat umum untuk lebih seronok dengan dunia cinta mereka.
Didalam mengejar cinta, masyarakat terlalu
sibuk dengan cinta manusia sehingga lupa bahawa cinta yang teragung itu ialah
mengejar cinta Allah. Masyarakat seperti telah mabuk dan leka dengan nikmat
cintanya bersama manusia. Siang dan malam lebih mengabdikan diri dengan cinta
manusia sehingga lupa bahawa cinta Allah itu yang harus dikejar dan cinta
itulah sepatutnya diagungkan kerana cinta Allah adalah cinta yang haqiqi.
Ketahuilah bahawa wujudnya cinta pada anda itu datangnya daripada Allah
jua. Allah jualah yang memberikan cinta itu kepada anda. Dengan nikmat cinta
itu, anda bahagia, harmoni dan tenang bersama dengan orang yang anda cinta.
Namun, manusia sekarang seperti lupa untuk bersyukur dengan nikmat cinta yang
diberi oleh Allah kepada setiap hambanya bahkan lebih menjauhkan diri daripada
Allah dengan maksiat yang mereka cipta.
Lalu, dimanakah kedudukan cinta kita di
sisi Allah?Adakah kedudukan cinta kita di sisi Allah itu mulia? Atau sebenarnya
kita sahaja yang berangan-angan bahawa kita telah pun berada dekat di sisi-Nya?
Terdapat di dalam hadis Nabi Muhammad saw
dalam sabdanya yang bermaksud:
“Siapa yang hendak
mengetahui kedudukannya di sisi Allah, maka lihatlah kedudukan Allah di dalam
hatinya. Sesungguhnya Allah SWT meletakkan kedudukan hamba di sisi-Nya
sebagaimana hambanya meletakkan Allah dalam dirinya”.
Bukti Kecintaan Manusia
Kepada Allah
Menurut Muhammad Said Ramadhan al-Buti ,
perasaan cinta kepada Allah tidak akan dapat diketahui dengan jelas kecuali
apabila seorang hamba telah melihat buktinya di dalam kehidupan sehariannya. Di
mana keperibadian dan tingkah laku seseorang akan menampakkan secara terus
sejauh mana cinta-Nya kepada Allah.
Bukti kecintaan seorang hamba kepada Allah
itu ialah apabila setiap aggota badan seorang hamba itu melakukan ketaatan
sesuai dengan rasa kecintaan dalam dirinya kepada Allah seperti taat kepada
perintah Allah, meninggalkan larangan Allah, menyebarkan syariat dan agama Allah serta mengajak kepada
kebaikan dan mencegah kemungkaran. Maka, ketahuilah bahawa seorang hamba itu
telah mendapat kedudukan di sisi Allah sesuai dengan kadar kewujudan Allah SWT
di dalam hatinya.
Dan perlulah diketahui bahawa setiap daripada
anda yang diakui kebenaran akidahnya, semestinya memiliki kecintaan kepada
Allah sama ada sedikit atau banyak. Ini kerana dengan kecintaan itulah membuatkan anda
beriman dan menerima ajaran Islam sebagai jalan hidup anda. Sebagaimana firman
Allah:
“ Allah menjadikan kamu cinta
kepada keimanan dan menjadikan iman itu indah dalam hati kamu serta menjadikan
kamu benci kepada kekafiran, kefasikan dan derhaka. Mereka itulah orang-orang
yang mengikuti jalan yang lurus sebagai kurnia dan nikmat dari Allah. Dan Allah
Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana.”[Surah al-Hujurat: 7-8]
Demikianlah, kedudukan setiap Muslim akan
bertambah dekat di sisi Allah apabila setiap kali bertambahya tingkat keimanan dan amal ibadat
kepada-Nya dan begitulah sebaliknya jika seorang hamba itu lalai dan ingkar
akan setiap tuntutan kewajipan dan ibadat yang ditaklifkan kepadanya, maka
tiadalah cinta Allah untuknya.
Kembali untuk Menemui Cinta
Allah
Adapun sekiranya anda yang tidak menemui
hidayah Allah dan cinta-Nya kerana hanyut dengan kezaliman, jauh dari ajaran
agama, tidak mengingati akhirat , sebuk dengan dunia, dan merasa senang dengan
maksiat dan tidak merasa bersalah meninggalkan ibadah dan amal soleh , maka
ketahuilah bahawa anda telah jauh kedudukannya di sisi Allah.
Dan ketika mana, anda telah jauh
menyimpang dari ajaran Islam, maka, masih belum terlambat untuk anda kembali
bertaubat kepada Allah iaitu dengan cara bermula dengan melakukan muhasabah
diri terhadap dosa yang telah dilakukan sehingga merasa hina di dalam diri. Kemudian mengadu kepada Allah
akan setiap dosa yang telah dilakukan dan bermohon keampunan kepada Allah akan
kelalaian sepanjang hidup ini dan memohon
kepada-Nya akan petunjuk jalan bagi membaiki kesilapan serta memohon
akan perlindungan dan kekuatan untuk tidak kembali kepada maksiat dan yakin
akan bantuan dan pertolongan-Nya.
Bermula dari itu, maka akan terbukalah untuk
anda pintu rahmat daripada Allah seterusnya diperkenankan doa dan menerima
taubat buat hambanya.
Tetapi, sekiranya anda angkuh dan menyombongkan
diri serta enggan memohon keampunan kepada Allah maka, anda akan melalui jalan
yang sempit dan sukar kemudian merasai
kehidupan ini tidak pernah memberikan ketenangan dan kedamaian sehinggalah anda
menemui ajal. Ketika itu tiada lagi untuk anda bertaubat dan berharap melainkan
azab dan seksaan api neraka, Nauzubillah. Sebagaimana firman Allah yang
bermaksud:
“Sesungguhnya orang-orang yang mendustakan
ayat-ayat kami dan menyombongkan diri terhadapnya, sekali-kali tidak akan
dibukakan pintu-pintu langit bagi mereka dan tidak pula mereka masuk ke syurga
sebelum unta masuk ke dalam lubang jarum. Demikianah kami memberi balasan
kepada orang-orang yang berbuat kejahatan. [Surah al-A’raf: 40]
Oleh itu, marilah kita bersama-sama berdoa
agar mendapat cinta Allah melalui jalan
hidayah-Nya dengan meneruskan amal kebaikan di dunia serta memohon perlindungan
Allah agar dijauhkan sikap sombong bagi memudahkan taubat di sisi-Nya. Selain
itu, peranan setiap Muslim khususnya pendakwah mestilah berusaha melibatkan
diri dalam perfileman yang lebih menjurus meraih cinta Allah. Semoga ia menjadi
harapan dan matlamat buat penulis dan pembaca agar kehadapan mencorak pemikiran
dan tingkah laku masyarakat kita sehingga kedudukan kita terasa dekat di sisi-Nya.InsyaAllah.
rujukan kitab syarah hikam Ibn Ataillah
zakiah_dakwah@yahoo.com
0 comments:
Post a Comment